1MDB pinjam RM4 bilion untuk pelaburan ‘tak wujud’ di Mongolia, kata PKR


Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli mempersoalkan wang RM4 bilion yang dipinjam 1MDB daripada KWAP untuk satu pelaburan di Mongolia, yang selepas disiasat, tidak wujud. – Gambar fail  The Malaysian Insider, 13 Januari, 2015. 

Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli mempersoalkan wang RM4 bilion yang dipinjam 1MDB daripada KWAP untuk satu pelaburan di Mongolia, yang selepas disiasat, tidak wujud. – Gambar fail The Malaysian Insider, 13 Januari, 2015.

 Persoalan berhubung 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) berterusan apabila PKR mendedahkan anak syarikat kepada syarikat pelaburan strategik negara itu meminjam RM4 bilion daripada dana Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) untuk melakukan pelaburan yang "tidak wujud" di Mongolia.

Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli berkata, anak syarikat 1MDB tersebut adalah SRC International Sdn Bhd yang meminjam dana KWAP ‎pada 2011, tetapi hasil siasatannya mendapati  pelaburan itu langsung tidak wujud dan menimbulkan persoalan ke manakah RM4 bilion itu dibelanjakan.

"Pada awalnya ia bertujuan membeli syarikat perlombongan bernama Gobi Coal &Energy untuk melabur di Mongolia sepertimana dilaporkan akhbar The Business Times," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya hari ini.


Rafizi berkata, sepertimana ‎1MDB, dana yang diambil SRC itu juga turut dijamin Putrajaya. "Pelaburan itu tidak berlaku sehingga serangan dan tidak diketahui bagi tujuan apakah RM4 bilion itu dibelanjakan," katanya.

Rafizi mendesak Ketua Pengarah Eksekutif (CEO) 1MDB yang baru, Arul Kanda untuk menjelaskan isu pinjaman tersebut.

"Ini ujian awal kepada kepimpinan Arul Kanda di 1MDB untuk menilai apakah beliau akan berlaku telus dalam menangani soalan penting rakyat terhadap 1MDB.

"Jika beliau bersifat telus, beliau boleh menjelaskan bagaimanakah pinjaman RM4 bilion itu dibelanjakan setakat ini dan hasilnya kepada negara memandangkan ia wang rakyat.

Rafizi yang juga naib presiden PKR berkata, sekiranya tidak ada penjelasan memuaskan daripada ‎CEO 1MDB itu, beliau tidak-agak untuk mengambil tindakan perundangan.

"Saya akan mengatur supaya wakil pesara yang pencen mereka dicarum di dalam KWAP mengambil tindakan mahkamah terhadap badan itu, 1MDB dan menteri kewangan kerana sewenang-wenangnya menggunakan wang pencen rakyat bagi pelaburan yang diragui," katanya.

Rafizi turut membidas kenyataan Arul yang mengatakan pengkritik 1MDB hanya membuat spekulasi tanpa mengetahui fakta sebenarnya.

"Kenyataan Arul Kanda itu adalah bongkak dan mengetepikan kebimbangan rakyat termasuk dari kalangan pimpinan dan penyokong BN yang ingin mendapat penjelasan munasabah mengenai 1MDB," katanya. – 13 Januari, 2015.



No comments: