Kembalikan PAS ke era Fadzil Noor



Oleh Pukul Canang

Sekiranya almarhum ustaz Fadzil Noor masih hidup beliau adalah orang yang paling sedih melihat PAS pada hari ini. Semua legasi yang ditinggalkan oleh ustaz Fadzil dihancur musnahkan oleh puak Hj Hadi, Geng Ustaz dan puak UG.
Fadzil walaupun seorang ustaz tetapi beliau bijak menseimbangkan antara agama dan demokrasi. Di bawah pemerintahan beliau sebagai presiden PAS, parti itu melakukan tahaluf siyasi bersama rakan-rakan politik bukan beraliran agama.

Fadzil membuka jalan untuk bertahaluf dengan Parti Melayu Semangat 46 pada 1989 dan juga DAP serta beberapa parti kecil lain. Tahaluf atau kerjasama politik itu berjaya membuahkan hasil menawan Kelantan pada PRU 1990 dan meluaskan pengaruh PAS di Kedah serta Terengganu.

Tahaluf yang berjaya

Pada 1998, sekali lagi Fadzil membuka jalan bertahaluf dengan penyokong gerakan Reformasi membela  Anwar Ibrahim. Hasilnya terbentuklah Barisan Alternatif yang berjaya menguasai Terengganu dan 1/3 DUN Kedah pada PRU 1999.

Kejayaan awal itulah menjadi platform kepada Pakatan Rakyat hari ini yang menguasai 3 negeri dan 1 Wilayah Persekutuan serta berjaya meraih 52 peratus undi popular rakyat Malaysia dalam PRU 2013.

Selepas PAS merasakan diri mereka kuat dengan keahlian 1 juta anggota maka mereka mula melupakan rakan-rakan gabungan. Puak ustaz yang sejak 1998 membenci Anwar tetapi kurang wibawa menentang Fadzil Noor kini telah menjadi pendesak dalam PAS.

Puak ulama mahu PAS dikuasai sepenuhnya mereka. Malah parti politik Iran pun tidak mempraktikkan semua jawatan dalam parti dikuasai ulama, tetapi PAS ingin melakukannya dalam muktamar akan datang. Geng Ustaz merasakan PAS cukup kuat untuk bergerak seperti Hezbollah di Lubnan. Parti itu walaupun dikuasai golongan agama tetapi disokong oleh penduduk Kristian dan golongan sekular.

Namun puak agama ini lupa demografi Lubnan yang bergolak memaksa rakyat penyokong sebuah parti yang mempunyai tentera sendiri. Malaysia tidak bergolak dan rakyat mahukan pentadbiran kelas 1 sebagaimana di Eropah. Hezbollah akan lingkup punah jahanam jika bertanding di Malaysia. Majoriti rakyat Malaysia akan menolak penampilan keras amalan parti itu.

Majlis syura di atas

Atas semangat Hezbollah inilah puak agama menunjukkan kuasa dalam krisis MB Selangor pada pertengahan 2014 lalu. Mereka yang menguasai Majlis Syura Ulama PAS memveto keputusan AJK PAS Pusat melantik Dr Wan Azizah sebagai MB baru Selangor.

Malah dikemuncaknya, majlis syura telah memveto ketetapan Majlis Presiden Pakatan Rakyat yang mencalonkan Dr Wan Azizah sebagai calon tunggal. Belum pernah terjadi jawatankuasa dalaman parti dibenar memveto keputusan yang dibuat dalam mesyuarat antara parti-parti. Tetapi majlis syura melakukannya. Menonjolkan mereka paling berkuasa di negara ini!

Tauladan itulah yang diikuti DAP dalam konvensyen mereka pada pertengahan Disember lalu dengan mengeluarkan usul agar PAS balik kepada perjuangan Pakatan tanpa Hudud. DAP mengusul agar Pakatan membincangkan secara mendalam mengenai langkah PAS memanggil sidang khas DUN berkenaan Hudud.

Akibatnya, seluruh kepimpinan PAS menghentam DAP. Rakyat melihat tindakan pemimpin PAS itu lucu kerana merekalah yang membuat duluan ketika majlis syura memveto pencalonan Dr Wan Azizah sebagai MB baru Selangor beberapa bulan lalu.

Adakah puak agamawan ini mahu memberitahu dunia jika PAS melakukannya maka ia sesuatu yang boleh diterima tetapi jika parti lain melakukannya maka tindakan itu tidak boleh diterima sama sekali. Apakah jenis perjuangan yang ditunjukkan oleh pemimpin PAS ini?

Tidak cukup dengan imej tidak peduli dengan bantahan parti sekutu, PAS juga sejak krisis MB Selangor tidak lagi peka dengan perjuangan rakyat. PAS bergelut untuk memastikan Hadi terus berkuasa, mencari jalan untuk memusnahkan golongan profesional.

Hari-hari yang berlalu digunakan oleh puak agamawan bukan untuk membela kebajikan rakyat tetapi mempertahankan struktur ulama agar terus menguasai parti. Ekonomi negara jatuh, seorang pun ulama PAS tidak mengeluarkan kenyataan. Hanya pemimpin DAP dan PKR sahaja yang bersungguh-sungguh menyerang BN dalam isu 1MDB dan kejatuhan nilai ringgit.

Hj Hadi kelihatan tidak mahu ambil tahu mengenai nilai ringgit, Nik Abduh yang kuat menghentam Anwar  bersuara mengenai pasukan bola sepak, Tantawi hulubalang mempertahankan Khalid Ibrahim tidak mengeluarkan satu kenyataan pun mengenai prestasi ekonomi.

Adakah kepimpinan yang tidak tahu apa-apa ekonomi seperti ini mampu meyakinkan rakyat mereka berupaya memimpin negara? Sebaliknya, tokoh-tokoh ustaz muda PAS itu akan melompat dan mengaum jika Hj Hadi disentuh atau dikritik.

Politik matang

Politik PAS yang mencapai tahap kematangan pada era ustaz Fadzil kini kembali bertaraf kampung dan pondok. Tindakan Tantawi, Nik Abduh, Zuhdi dan lain-lain yang tidak memperdulikan hal-hal rakyat tidak ubahnya seperti JKKK Umno yang bertempik, bergaduh dalam isu pengagihan peruntukan tetapi diam membisu apabila Tanah Rizab Melayu dilelong pemimpin Umno.

Begitu lemahnya idealism kepimpinan PAS, taksub dan asabiyah selepas lebih sedekad pemergian ustaz Fadzil. Maka melihat kepada kemerosotan itu tidak menjadi kesalahan sebahagian ahli PAS menubuhkan Pasma dan menjadi NGO pendesak agar PAS kekal dalam Pakatan.

Namun bukan pengekalan PAS bersama Pakatan yang sepatutnya diperbincangkan oleh golongan yang rasional itu tetapi penghijrahan untuk menubuhkan parti baharu. Atau sekurang-kurangnya mereka mengerakkan akar umbi menuntut PAS kembali kepada perjuangan era ustaz Fadzil.

Jika puak profesional sayangkan rakyat maka mereka perlu berkorban menentang golongan ustaz yang mahu membuat PAS menjadi parti jumud sehingga lebih buruk prestasinya berbanding Perkasa dan Isma.

Pada 2015, negara akan mengalami krisis ekonomi. Rakyat perlukan parti yang boleh membela kebajikan mereka bukannya parti yang sibuk mempertahankan golongan tertentu memimpin parti.

Jika golongan profesional menubuhkan parti baharu, rakyat yang kelemasan akan mengundi mereka sebagai jalan penyelamat. Orang yang terdesak tidak akan mengambil kira ustaz atau profesional dan tidak akan mengambil kira PAS atau PasMa. Apabila Umno BN telah gagal dan mereka sengsara maka sesiapa sahaja yang mahu membawa perubahan akan disokong.

Perjuangan Parti Keadilan dan Pembangunan atau AK parti di Turki perlu dijadikan contoh. Rakyat pernah mengundi parti Refah yang diketuai oleh Necmettin Erbakan sebagai pemerintah tetapi dengan sikap keras golongan ustaz maka kerajaan tidak bertahan lama.

Lalu golongan profesional dalam parti itu keluar dan menubuhkan AK. Golongan ulama pula menubuhkan Saadet. Ternyata profesional AK mampu mentadbir Turki sejak pilihan raya 2002 sehingga ke hari ini. Golongan profesional PAS perlu bertindak berani.

Tiada guna berjuang bersama para agamawan tetapi apabila pemimpin PAS membuat keputusan bersama parti lain dalam Pakatan maka majlis syura akan memveto. Nabi Muhammad saw pun menghormati perjanjian Hudaibiyah dengan  kaum kafir Quraisy, inikan pula PAS bersama rakan kerjasama dalam Pakatan.

Golongan profesional tidak perlu dibutakan dengan retorik ulama PAS dalam perjuangan Islam. Allah dan rasul mengutamakan hamba yang mentaati janji. Bukan pemimpin yang memungkiri janji dan mencetuskan permusuhan dalam satu pakatan kerjasama.

Kembali semangat Fadzil

Sekiranya puak profesional terlalu sayangkan PAS, sekurang-kurangnya mereka membuat gerakan kembali kepada semangat Fadzil Noor. Apa yang dilakukan oleh puak ulama dan Hj Hadi sudah jauh terpesong daripada landasan yang diasaskan oleh Fadzil. Fadzil sendiri pernah mengakui sekiranya profesional memimpin PAS tidak menjadi kesalahan asalkan terus mengekalkan perjuangan Islam.

Ulama PAS berbangga dengan Dr Burhanuddin al Helmy sebagai contoh ikutan, sedangkan tokoh itu bukanlah ulama yang rigid kepada kepimpinan ulama. Tokoh itu bekerjasama dengan puak sosialis dan penjajah Jepun pada zaman perang dunia kedua.

Ulama PAS tidak mempunyai contoh yang sesuai yang menjustifikasikan sikap berdolak-dalih mereka hari ini. Para agamawan itu sebanarnya sedang mencipta sejarah yang tidak didahului oleh mana-mana tokoh dalam perjuangan Islam Malaysia.

Malangnya, sejarah itu ke arah yang salah dan tidak demokratik. Sedangkan rakyat Malaysia sedang bergerak untuk menjadi lebih demokratik daripada sebelumnya.


No comments: