WAJIB BACA: MB Khalid bertahan hingga November?

Rabu, 03 September 2014 05:44

oleh: Amirul mukminin
WRLR


Dakwaan Naib Presiden PAS Husam Musa bahawa terdapat pasukan TPM Muhyiddin Yassin yang  menyelinap ke dalam struktur PAS di waktu hubungan parti itu dan sekutu Pakatan Rakyat berada dalam keadaan goyah, mengesahkan potensi berpanjangannya ketidaktentuan politik di Selangor.

MB sepatutnya telah dilantik apabila Dr Wan Azizah mendapat majoriti 30 kerusi DUN. Pelbagai ahli akademik, termasuk pakar Perlembagaan Persekutuan Dr Aziz Bari memberi pendapat bahawa perlantikan MB tidak boleh ditangguhkan sebagaimana dilakukan sultan Selangor sekarang.

Namun tidak mustahil sekiranya anasir Umno campurtangan mencatur politik Selangor sebagaimana didakwa Husam. Anasir itu memang telah kelihatan mencatur politik dalaman PAS sejak dua bulan lalu dan menguasai penasihat-penasihat yang rapat dengan Presiden Hadi Awang sehingga berlakunya keputusan bolak-balik, bersetuju dengan nama Dr Wan Azizah pada mesyuarat 17 Ogos tetapi presiden sendiri menentang Wan Azizah pada 25 Ogos.

Khalid sehingga November


Terbaharu, sumber dalaman yang rapat dengan MB Selangor Khalid Ibrahim mendakwa MB itu akan bertahan sehingga bulan November.

DUN akan bersidang pada November untuk meluluskan belanjawan tahunan. Sekiranya belanjawan itu tidak diluluskan maka sultan tiada pilihan selain membubarkan DUN. Pemerhati politik berpendapat tempoh sehingga November membolehkan pihak BN membuat persiapan pilihan raya yang mantap bagi merampas 29 kerusi DUN dan membolehkan BN membentuk kerajaan baharu pada Disember.

Sumber dalaman itu juga mendedahkan kakitangan dalam agensi yang rapat dengan kerajaan Selangor diarah bekerja seperti biasa kerana tidak berlaku pertukaran MB dalam masa terdekat. Dengan maklumat terbaharu ini, rakyat sangsi proses pertukaran MB dengan menyerahkan nama kepada sultan akan berjalan lancar.

Naik Azmin Ali

PAS boleh dikesan mempunyai agenda akan menentang keras Dr Wan Azizah. Sumber dalaman PAS mendakwa wujud perancangan untuk menaikkan Azmin Ali sebagai calon alternatif. Perkara itu didakwa dirancang oleh Setiausaha Agung PAS Mustafa Ali. Oleh kerana itu Mustafa bertegas untuk tidak mencadangkan calon PAS. Tetapi dalam masa sama, tindakannya pelik kerana mencadangkan nama Azmin.

Kerusi MB diakui milik PKR tetapi PAS akan menentukan calon dari parti itu, bukan PKR sendiri. Usaha ini ditentang oleh PKR dan DAP yang berasa terhina kerana perbincangan dalam Mesyuarat Majlis Presiden PR pada 17 Ogos lalu telah bersetuju meletakkan Wan Azizah sebagai calon tunggal.

Jelas gerakan ini bukan dilakukan oleh PAS secara bersendirian. Tanpa BN di belakang situasi ini tidak mungkin perlantikan jawatan penting untuk mengurus sesebuah negeri boleh ditangguhkan sedemikian lama.

PAS tidak mampu menguasai semua sumber. Rujuk sejarah parti itu di Kelantan pada 1978 apabila usaha mengganti MB yang dihalang oleh Umno berkahir dengan pilihan raya negeri boleh dijadikan tauladan. Hanya dengan campurtangan kerajaan persekutuan semua kemelut di Selangor boleh diheret semaksimum mungkin.

Cuma yang menjadi persoalan, mengapakah puak presiden PAS tidak faham dengan percaturan Umno BN ini? Sudah nyanyukkah mereka hingga terlupa ingatan Mursyidul Am Nik Aziz Nik Mat mengenai bencana bekerjasama dengan Umno pada 1970 – 1978.

Umno hanya inginkan PAS ketika parti itu kuat dan apabila menjadi sekutu, maka mereka akan berusaha melemahkan PAS sehingga tiba peluang untuk menyingkirkan parti Islam itu.

Ingatan bekas MB Selangor Mohammad Taib agar PAS jangan syok sendiri juga perlu dihadam oleh pemimpin PAS. Tanpa sokongan Cina dan India, iaitu gabungan dengan parti-parti dalam PR maka PAS tidak akan mampu berkuasa di negeri pantai barat semenanjung.

Ulama yang pro Umno jangan syok sendiri. Bekas Naib Presiden PAS Nakhaie Ahmad juga telah mengumumkan beliau meninggalkan Umno kerana tidak sebulu dengan perjuangan parti itu. Adakah ‘ustaz-ustaz muda PAS’ yang tidak putus-putus menghentam Anwar kononnya mengamal nepotisme akan mengikut jejak ustaz Nakhaie 20 tahun akan datang?

Walak membuta tuli

Satu perkara yang diakui oleh Timbalan Presiden PAS Muhammad Sabu ialah kurang matang generasi muda parti itu dalam memikirkan masa depan secara berhemah dan rasional. Mereka tidak merasakan detik PAS dihina oleh kerajaan Umno BN ketika parti itu hampir tiada kerusi pada 1980an. Mereka menyertai PAS ketika parti telah kuat selepas era reformasi pada hujung 1990an. Mereka berkata dengan semangat jihad dan pertolongan Allah akan tiba dan PAS boleh menguasai Malaysia secara bersendirian.

Akhir-akhir ini atas nama Melayu mereka merasakan penyatuan dengan Umno lebih baik daripada bersama PR. Ustaz muda PAS perlu sedar diri, mereka tidak mempunyai genetik Umno. DNA mereka lain. Umno sanggp melakukan rasuah besar-besaran, khianat dan pecah amanah.

Ustaz ini jika bersekongkol dengan Umno akhirnya akan mengecam perjuangan Umno. Umno juga tidak sesuai dengan perjuangan PAS yang terlalu islamik. Mereka menganggap PAS parti yang menggelikan. Mereka menahan sesak nafas ketika mempunyai kepentingan, sebaik sahaja kuat maka tubuh badan mereka menggeliat melontar PAS ke dalam semak samun sejarah.
Tiada ijtihad paling mengelirukan dalam  PAS kecuali yang dilakukan ke atas kemelut Selangor. Kesungguhan mereka untuk menghancurkan PR amat dikesali dan bakal dicemuh oleh generasi akan datang kerana menyempitkan peluang rakyat untuk berubah daripada sistem pemerintahan feudal-kolonial kepada kemerdekaan sebenar.

No comments: