Sunday, September 14, 2014

Tiga kali tukar nama MB: Buang tabiat, undurkan Hadi

oleh  : Amirulmukminin


Idea Presiden PAS Hadi Awang akan memantau Khalid Ibrahim sebagaimana dikatakannya kepada Ketua Angkatan Muda KEADILAN Nik Nazmi Nik Ahmad dalam pertemuan ketua-ketua pemuda Pakatan menjadi gurauan paling lucu dalam tahun ini.

"Apabila ditanya tentang pandangan Tuan Guru Haji Hadi tentang jalan keluar isu ini, beliau memberi jawapan akhirnya adalah dengan mengekalkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Tuan Guru sendiri akan memantau kelemahan Tan Sri Khalid," kata Nik Nazmi dalam satu kenyataan.

Persoalannya, dengan cara apakah Hadi akan memantau Khalid? Sebelum ini Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim yang lebih berwibawa, bekas Menteri Kewangan dan dihormati Khalid juga tidak mampu memantau Khalid yang degil itu. Bagaimanakah Hadi yang kurang pengetahuan ekonomi dan hanya pernah menjadi MB gagal di Terengganu mampu memantau dan memberi arahan?

Jelas sekali Hadi membuat jenaka dan membiarkan seluruh negara memandang sinis kepadanya. Terdahulu Hadi juga yang mencadangkan nama Dr Wan Azizah dan Azmin Ali sebagai pengganti Khalid dalam mesyuarat AJK PAS Pusat pada 17 Ogos.

Kemudian mencadangkan hanya nama Azmin pada mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS pada 25 Ogos. Bayangkan jika AJK PAS Pusat yang bermesyuarat pada hari itu bersetuju Azmin dihantar kepada sultan. Mereka akan malu besar kerana Hadi dengan kuasa vetonya menghantar nama Dr Idris Ahmad, Dr Yaakob Sapari dan Ir Iskandar Samad kepada Sultan Selangor seminggu kemudian.

Tindakan Hadi menyebabkan rakyat beragama Islam tertanya-tanya. Ustaz mengajarkan mereka jangan khianat pada janji. Malah ulama PAS sejak sedekad lalu berdakwah kerjasama dalam Pakatan mengambil model perjanjian Hudaibiah di zaman rasullullah. Namun Nabi Muhammad tidak pernah khianat pada janji sehinggalah puak Quraisy mengkhianatinya.

Adakah Hadi mempunyai dalil lain yang membenarkan beliau khianat pada janji yang dibuatnya sendiri?

Tindakan Hadi bukan sahaja merosakkan pandangan umat Islam kepada PAS tetapi juga bukan Islam. Daripada parti yang dipercayai dan dihormati oleh bukan Islam kerana mengambil Islam sebagai jaminan amanah, berakhir sebagai parti yang mungkir janji.

Janji amat penting membezakan parti yang bertanding berbanding BN. Rakyat kenal BN sering mengkhianati janji pilihan raya sebaik sahaja menang. Barang keperluan, minyak, tol dan sebagainya yang dijanji tidak naik tetapi selepas pilihan raya melambung ke langit harganya.

Jika PAS juga mengkhianati janji maka rakyat akan menyamakan PAS seperti BN. BN walaupun khianat pada janji tetapi memegang kekayaan kerajaan pusat dan masih boleh memberi pelbagai bantuan sara diri bagi memujuk rakyat. Tetapi PAS yang khianat janji tiada apa-apa yang mampu diberi kecuali sakit hati kepada pengundi.

Malah kali ini Hadi juga telah khianat pada sultan. Beliau menandatangani tiga nama dari PKR dan PAS tetapi kemudian mengusulkan penyelesaian, Khalid yang telah memohon meletak jawatan itu dikekalkan sebagai MB.

PAS dan seluruh ahlinya dalam dilema di bawah kepimpinan Hadi yang flip flop. Tidak diketahui apakah punca Hadi yang konsisten berjuang tiba-tiba seolah-olah ‘nyanyuk’ dan tidak ingat keputusan yang dibuatnya sendiri.

Sekiranya PAS mengikut aliran politik moden maka situasi yang menimpa Hadi ini dianggap hilang kredibiliti memimpin. Sama ada akibat masalah kesihatan ataupun nafsu peribadi mengatasi pertimbangan waras.

Ubatnya tidak sukar iaitu perwakilan PAS menghantar mesej jelas dalam Muktamar di Johor meminta Hadi berundur secara baik. Tidak ada seorang pun rakyat yang waras akan mengundi PAS jika presidennya boleh menukar nama MB tiga kali dalam sebulan.

Hadi tidak boleh diselamatkan. Kenyataannya yang terbaharu adalah penamat kepada karier politiknya. Setiap pemimpin mempunyai tamat tempoh tersendiri. Iaitu apabila keputusaannya tidak lagi relevan buat ahli parti dan rakyat yang akan mengundi.

Perwakilan perlu menunjukkan jalan keluar buat Hadi dengan menolak ucapan dasarnya. Hanya itu yang mampu dilakukan perwakilan bagi menyelamatkan PAS daripada dianggap parti nyanyuk oleh rakyat dan kalah besar dalam PRU 14.

Jika perwakilan kali ini tetap membodek Hadi sebagaimana muktamar lalu maka mereka perlu bersiap sedia menjadi parti kecil dan hanya berkuasa di beberapa kerusi di Kelantan, Terengganu dan Kedah. Tiada lagi kerajaan negeri.
Post a Comment

Blog Archive

My Blog List

Followers