: TERKINI.WAJIB BACA ; Muslihat politik PAS tidak boleh diterima

Jumaat, 05 September 2014 07:43

oleh: Amirulmukminin WRLR

Tidak diketahui siapakah yang menjadi dalang sehingga terlepasnya satu surat yang tidak diketahui oleh kepimpinan tertinggi PAS mencalonkan nama Iskandar Samad, Sallehen Mukhyi dan Yunus Hairi sebagai MB baharu Selangor.

Media hanya diberitahu surat itu dihantar melalui seorang Exco Pemuda PAS bersama seorang kerabat diraja Selangor. Surat tersebut menimbulkan kemarahan pemimpin kanan PAS sehingga surat kedua dihantar secara rasmi mengandungi nama Dr Idris Ahmad, Dr Yaakob Sapari dan Iskandar Samad sebagai calon MB.

Masalahnya, surat pencalonan MB pastinya ditandatangani oleh Presiden PAS Hadi Awang supaya ia sah dan boleh dipertimbangkan sultan. Adakah Hadi terlibat dalam menandatangi surat pertama itu? Jika terlibat maka kewibawaannya dalam parti telah hancur.

Pada 17 Ogos, dalam mesyuarat AJK PAS Pusat, Hadi sendiri mencadangkan nama Wan Azizah dan Azmin. Sewajarnya Hadi berpegang pada janji untuk menamakan mereka berdua sebagai calon MB. Namun apabila nama kedua-duanya diganti dengan nama lain maka Hadi telah melanggar janji.

Peristiwa besar ini menambah kecurigaan rakan PR terhadap PAS. Adakah PAS sengaja ingin mencetuskan kekecohan agar komponen lain memecat parti itu dari PR?

Dalam kalangan penyokong PAS sendiri semakin banyak yang mempertikaikan kewibawaan Hadi memimpin PAS. Hadi hilang kawalan terhadap institusi yang dipimpinnya. Tidak mungkin terdapat surat yang tidak diketahui isi kandungannya oleh mana-mana pemimpin tertinggi PAS tetapi melibatkan pejabat Hadi boleh dihantar dalam organisasi berusia lebih 50 tahun.

PAS memaparkan imej parti itu sangat tidak teratur. Malah lebih buruk berbanding JKKK Umno yang menguruskan sebuah kampung kecil.

Sebelum 4 September, masih banyak penyokong puak ulama menentang golongan profesional PAS yang pro PR. Mereka juga menyokong Dewan Ulama mengecam dua Adun PAS yang menandatangani pengakuan bersumpah mencalonkan Wan Azizah sebagai MB.

Namun selepas 4 September, mereka tidak lagi mempercayai ulama mampu mentadbir PAS. Malah PAS dianggap membuat keputusan yang tidak rasional, tidak bertrategi dan tidak bertindak sebagai sebuah organisasi dalam isu perlantikan MB Selangor.

Sukar untuk sesiapa yang waras mempercayai PAS berupaya memerintah negara jika di antara sesama mereka pun berlaku tikam belakang rakan sendiri. Surat-surat penting boleh dibuat tanpa melalui prosedur standard dan janji boleh dimungkiri sesuka hati.

Bagi Cina dan India, mereka bertegas untuk tidak lagi mengundi PAS selagi mana isu kebolehpercayaan para pemimpinnya tidak ditangani.

Cara paling baik memanggil semula kepercayaan rakyat ialah dengan mengundurkan beberapa pemimpin lama yang menimbulkan ketidak tentuan itu sejak dua bulan lalu, seperti Hadi Awang, Mustafa Ali dan beberapa yang lain dalam Dewan Ulama serta Majlis Syura. Tanpa mengetepikan mereka PAS akan kembali ke zaman kepimpinan Asri Muda dan dipencilkan rakyat.

No comments: