TERKINI : Puak Presiden huru-harakan PAS?

OLEH: Airulmukminin

Tindakan kira-kira 50 perwakilan Dewan Pemuda PAS yang bermuktamar di Johor meninggalkan majlis ketika Timbalan Presiden PAS Muhamad Sabu berucap dilihat sebagai percubaan untuk menghuru-harakan parti itu.

















Walaupun mereka tidak mahu memberi komen apabila diminta pengesahan oleh wartawan namun vest yang dipakai bertulis 'Kami bersama Presiden dan Majlis Syura Ulamak' merujuk mereka adalah penyokong puak Presiden Hadi Awang.

Sebelum ini, Hadi dan Mat Sabu bersengketa di belakang tabir lewat krisis kepimpinan Selangor. Mat Sabu menyokong Pakatan Rakyat dan menolak bertahaluf siyasi dengan Khalid Ibrahim tetapi Hadi berkeras untuk bertahaluf secara peribadi dengan Khalid biar pun terpaksa membentuk kerajaan campuran bersama Umno di Selangor.

Hadi move vs kajang move

Puak yang dipercayai berasal dari pemuda PAS Pahang itu juga mungkin penyokong Naib Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man yang sebelum ini mengeluarkan arahan ahli PAS jangan menyertai NGO pro Pakatan, PasMa.

Sehingga kini PAS Terengganu dan Kuala Lumpur telah mengeluarkan arahan haram menyertai PasMa. Namun kebanyakan ahli PAS tidak pun walak kepada arahan yang langsung tiada nilai-nilai demokrasi itu.

Huru-hara yang berlaku dalam PAS kali ini berkait langsung dengan Hadi Move yang mensabotaj Kajang Move dikepalai Anwar Ibrahim. Hadi menentang Mat Sabu. Bagaimanapun, separuh daripada ahli PAS adalah golongan non ulama dan mengiktiraf peranan Mat Sabu berjuang di jalan raya.

Mereka memuji Mat Sabu kerana mampu mengumpulkan massa dalam siri demonstrasi besar yang menggerunkan Umno BN. Pemansuhan akta ISA, OSA dan terencatnya usaha berleluasa kerajaan BN merompak kekayaan negara adalah usaha Mat Sabu.

Rakyat tidak nampak jasa besar Hadi melawan BN secara langsung. Hadi telah bersama PAS sejak 1970an tetapi parti itu kekal kecil dan tidak dikenali sehinggalah Mat Sabu menggerakkan tunjuk perasaan massa bersama puak Reformasi.

Sahabat terdekat Hadi boleh mengesahkan tuan guru itu melarang menyertai gelombang Reformasi 1998. Kumpulan ulama pula menentang tahaluf siyasi bersama gerakan reformasi dan DAP pada muktamar PAS 1999. Mujurlah presiden PAS ketika itu Fadzil Noor – abang angkat Anwar Ibrahim – amat  faham keperluan PAS mengambil kesempatan gelombang kebangkitan rakyat.

Sekiranya PAS dipimpin Hadi maka sikap bermusuhnya dengan Anwar sejak pemimpin itu meninggalkan Abim dan menyertai Umno pada 1982 akan menyebabkan PAS kekal bertanding seorang diri dalam pilihan raya umum 1999 dan tidak mungkin mendapat Terengganu.

Sesungguhnya jasa Mat Sabu kepada PAS besar dan tidak layak untuk dipulaukan oleh perwakilan Pemuda yang walak kepada Hadi. Biar pun walak tetapi mestilah berfikiran waras. PAS bukan syiah yang walak membabi buta kepada Ayatollah. PAS sesuai dengan pemikiran ahli sunnah wal jamaah yang sederhana dan perlu bersikap terbuka.

Empat imam mazhab ahli sunnah memberitahu umat Islam bahawa fatwa atau ijtihad mereka berkenaan hukum hakam terbatal sekiranya terbukti wujud pendapat yang lebih baik. Hadi tidak pun bertaraf ulama mazhab, pasti ada kelemahan dan kekurangan. Tidak adil menghukum Mat Sabu dan menyucikan Hadi semata-mata kerana Mat Sabu ingin PAS kekal dalam Pakatan.

Khalid Ibrahim tak walak

Hadi Move sejak awal-awal lagi telah sumbang kerana terlalu membela kepentingan segelintir ulama yang berkepentingan di Selangor dan Khalid Ibrahim yang tidak telus dalam perjanjian air bersama kerajaan persekutuan serta engkar arahan parti.

Untuk pemuda PAS yang ekstrem menyokong Hadi, ditanyakan satu soalan: Bolehkah diterima sekiranya PAS melantik MB, kemudian MB itu tidak walak kepada arahan Hadi?

Khalid Ibrahim tidak melaksanakan arahan ketua Umum PKR Anwar Ibrahim dan presiden Dr Wan Azizah. Beliau tidak walak. Tetapi Hadi menganggap Khalid manusia suci. Bermakna Hadi menyokong keengkaran kepada arahan ketua. Pemuda PAS yang walak seratus -peratus kepada Hadi tidak pula bertanya kepada tuan guru itu apakah hukuman Khalid yang tidak taat kepada arahan Anwar dan Azizah sebelum mereka menentang mana-mana pemimpin PAS yang tidak walak kepada Hadi.

Precedence (duluan) yang dilakukan Hadi menyokong Khalid yang tidak walak kepada ketua itu sebenarnya telah melepaskan dua Adun PAS yang menyokong wan Azizah, Saari Sungip dan Hasanudin pada 6 Ogos lalu.

Oleh itu, pemuda PAS tidak perlu membuat langkah terburu-buru memulaukan pemimpin PAS yang pro Pakatan. Presiden yang mereka agungkan pun bukanlah guru terbaik mengajarkan konsep patuh kepada ketua.

Hadi beberapa kali berkata jangan samakan PAS dengan parti-parti lain. Mungkin beliau merujuk kepada apa yang dilakukannya. Dalam parti lain, sekiranya presiden mendahulukan kepentingan peribadi atau beberapa kerat rakan tertentu maka beliau akan didesak berundur. Tetapi tidak dalam PAS. Majlis syura mengarahkan walak kepada presiden dan memberinya kuasa veto.

Pemuda perlu bersikap terbuka seperti dalam parti-parti moden yang lain. Tanpa keterbukaan separuh ahli bawahan akan meninggalkan PAS. Kelompok profesional tidak akan bergabung dengan parti yang tidak mengikut undang-undang dan perlembagaannya sendiri.

Ada ketikanya presiden perlu ditegur dan jangan memusuhi puak yang menegur presiden. Jika tidak PAS akan menjadi parti kecil dan kembali terperap di ceruk rantau pantai timur. 

No comments: