Presiden PAS sedar realiti, separuh ahli adalah reformis

Sebagai parti yang memperjuangkan Islam, ucapan Hadi di Marang meminta pengkritik beliau dalam parti agar menubuhkan parti serpihan amat mengejutkan.

Islam tidak menggalakkan perpecahan jemaah. Apatah lagi mengeluarkan kenyataan yang tidak toleran sama sekali dengan kritikan.

Penyokong bawahan PAS tidak dapat menerima seorang presiden yang tidak boleh ditegur sedangkan sahabat nabi khalifah Umar r.a ketika bertanya adakah sahabat akan menegurnya jika beliau berpaling dari perjuangan Islam, lalu seorang sahabat menghunus pedang dan berkata pedang itu akan menegur Umar. Umar bersyukur kerana beliau akan sentiasa dipantau sahabat. Hadi sebaliknya meminta pengkritiknya keluar parti dan menubuhkan jemaah lain.

"Jadi mereka yang berlainan pendapat dalam PAS ni, dia nak tubuh parti sila, baik dia keluar dia tubuh parti sendiri, senang tak payah duduk dalam.

"Kalau duduk dalam, kalau ada nyamuk seekor tak jenera (lena) tidur kita pun, itu dia, senang nak tubuh parti, sila,” katanya.

Penganalisis politik berpendapat Hadi telah dinasihati oleh segolongan oportunis dalam PAS. Golongan ustaz muda itu menurut mereka telah menguasai sebarisan ulama-ulama yang melihat Melayu lebih utama berbanding perjuangan PAS sebelum ini yang mengutamakan Islam berbanding kaum.

Keangkuhan Hadi mendakwa PAS akan terus hebat jika ditinggalkan pemimpin, amat mengelirukan. Bukti sejarah mencatat setiap kali PAS berkrisis maka prestasinya dalam PRU amat buruk.

PAS kalah di Kelantan pada pilihan raya negeri 1978 selepas parti itu berpecah tiga akibat mainan politik Umno. PAS juga kalah teruk dalam PRU 1986 kerana tiada kepimpinan yang berkesan.

PAS hanya naik apabila berlaku krisis dalaman Umno dan tertubuhnya Semangat 46 pada pilihan raya 1990. Apabila S46 tidak berkesan pada 1995, PAS hampir tumbang di Kelantan. Parti itu kembali kuat pada PRU 1999 selepas Dr Mahathir memecat Anwar pada 1998.

Oleh itu, di manakah kekuatan PAS sebagai parti yang telah lama bertahan itu? Hadi juga salah dinasihatkan oleh para politikus muda yang mengelilinginya. Kononnya ahli PAS yang mencecah sejuta orang itu menyebabkan PAS mampu bergerak sendiri.

Beliau tidak menyemak rekod kemasukan ahli yang banyak hanya berlaku selepas 1998. Sebahagian ahli itu adalah penyokong reformasi tetapi inginkan politik Islam. Sebaik sahaja Hadi membawa PAS keluar daripada lingkungan politik baharu dan mencaci Anwar maka mereka tidak lagi akan menyokong PAS.

Realitinya, PAS akan kalah teruk di Selangor, Perak, Johor, Pahang dan Pulau Pinang jika ingin meneruskan agenda Hadi menyerang pemimpin Pakatan.

Sebaliknya Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) yang didakwa serpihan PAS akan lebih berjaya dan mempunyai masa depan. Sehingga kini PasMa telah melakukan usaha radikal menubuhkan jawatankuasa di setiap negeri. PasMa mendapat sokongan para penyokong agenda politik baharu.

Dijangkakan separuh ahli PAS akan beralih arah sekiranya Hadi membawa PAS ke arah hala tuju baru. Memang PAS parti lama dan mampu bertahan, tetapi tanpa terlibat sama dengan arus politik perdana maka parti itu hanya akan menjadi parti kampung dan bergerak secara kecil-kecilan seperti pada 1980an.

Penyokong Cina dan India juga akan menarik diri kerana perjuangan agama semata-mata tanpa melihat dinamisme politik semasa tidak laku di kalangan rakyat yang matang berfikir.

Sebaliknya PasMa akan mengorak langklah jauh ke hadapan sebagaimana Parti Keadilan dan Kesejahteraan (AKP) pimpinan Tayyib Recep Erdorgan di Turki. Erdogan dan rakan-rakannya menubuhkan AKP apabila kumpulan reformis dalam Virtue Party di Turki meninggalkan parti itu.

Pemimpin asal Virtue Party kini menubuhkan Saadet Party yang menjadi saingan AKP dalam politik Turki namun tidak mendapat tempat di hati rakyat.

AKP mula memerintah Turki selepas pertama kali menyertai pilihan raya sehinggalah sekarang di mana presiden dan perdana menteri Turki kini adalah daripada parti itu.

No comments: