Saturday, September 13, 2014

PasMa setuju dengan Juham, Hadi tiada kuasa veto




Menjelang forum kedua anjuran Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) Ahad ini di Kangar, Perlis, badan bukan kerajaan (NGO) yang berusaha mengekalkan PAS dalam Pakatan Rakyat itu kini mempunyai rakan baru iaitu Lujnah (Biro) Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (Luham).

Luham mengkritik kuasa pemutus atau veto Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Majlis Syura Ulama yang membuat tafsiran sedemikian.

Setiausaha PasMa Taib Ahmad berkata kenyataan Luham tentang kuasa presiden dalam kenyataan mereka baru-baru ini perlu diperhalusi kerana ia bertentangan dengan kenyataan Majlis Syura, badan tertinggi dalam PAS dan berhak menafsir perlembagaan PAS.

"Kita sedang berusaha untuk mendapatkan penjelasan Luham tentang kuasa presiden sebenarnya dan sedang menyusun pertemuan secepat mungkin," katanya.

Kenyataan Luham sangat ketara bertentangan dengan kepimpinan ulama tidak disiarkan dalam media rasmi PAS iaitu Harakahdaily tetapi sebaliknya media PAS itu menyiarkan kenyataan Kluster Undang-undang Ilmuan, sebuah badan yang berpusat di Bangi yang banyak memberi nasihat kepada presiden PAS dalam tindakannya.

Setiausaha Luham Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus dalam satu kenyataannya semalam mempertikaikan presiden PAS mempunyai kuasa penuh sebagaimana ditafsirkan Majlis Syura.

Katanya, presiden PAS didapati melanggar Perlembagaan PAS apabila membuat keputusan sendiri memilih calon menteri besar Selangor melangkaui kuasa Dewan Harian dan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.

Kardee berkata, tidak wujud sebarang peruntukan dalam perlembagaan parti itu mengenai jawatan presiden secara bersendiri, sebaliknya termasuk dalam Fasal 26 Perlembagaan PAS di bawah "Tugas-Tugas Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Pusat".

Katanya, presiden tidak mempunyai kuasa pemutus tanpa bermesyuarat dengan AJK PAS Pusat terlebih dulu mengenai apa saja perkara.

Beliau berkata, Fasal 27 (6) Perlembagaan PAS jelas menyatakan Dewan Harian yang merangkumi presiden, timbalan presiden, naib presiden, setiausaha agung dan sebagainya perlu membawa keputusan mereka kepada Jawatankuasa Kerja PAS Pusat bagi kelulusan.

Ini berikutan tindakan Hadi menamakan tiga exco kerajaan negeri Selangor daripada PAS sebagai calon untuk dipilih Sultan Selangor sedangkan mesyuarat AJK Pusat PAS pada 17 Ogos memilih Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan timbalannya, Mohamed Azmin Ali.

Namun pada 3 September dalam satu surat yang lain, Hadi menamakan 2 Adun PKR dan 1 Adun PAS sebagai calon menteri besar.

Ia dibuat selepas satu mesyuarat 5 anggota paling kanan Majlis Syura di Kota Baru diadakan.

Majlis Syura pula dalam kenyataannya selepas mesyuarat 7 September berkata, presiden mempunyai kuasa pemutus dan semua AJK PAS Pusat perlu mematuhinya.

Mengulas tentang kenyataan itu, Kardee berkata, mesyuarat Luham memutuskan MSU bertindak melampaui kuasanya apabila badan itu membuat keputusan dalam isu yang melibatkan pelantikan menteri besar Selangor.

Katanya, kenyataan MSU itu membawa makna presiden mempunyai kuasa membuat apa-apa keputusan di luar mesyuarat AJK PAS Pusat, sekali gus menjadikan peranan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat tidak lagi relevan.

"MSU silap menyatakan kuasa presiden mengikut Fasal 26 (1) (a) Perlembagaan PAS adalah satu kuasa pemutus yang secara tersiratnya satu kuasa bersifat mutlak atau veto," katanya.

Presiden PasMa Datuk Phahrolrazi Zawawi sebelum ini berkata PasMa adalah NGO yang akan berusaha untuk memperkukuhkan hubungan PAS dalam Pakatan Rakyat.

Ketika bercakap dalam forum pertama anjuran PasMa di Dewan Perhimpunan Cina, 8 September lalu, Phahrol berkata walaupun PAS Pusat menegaskan tiada usaha kerjasama antara PAS dan Umno, tetapi sesetengah tindakan pimpinan PAS dilihat ke arah itu.

Dalam forum itu, AJK PAS Pusat Datuk Mujahid Yusof berkata PAS tidak akan bekerjasama dengan Umno dan menegaskan apa yang berlaku sekarang adalah tindakan Umno untuk cuba memecahkan Pakatan Rakyat secara halus.

Antara tindakan Umno adalah menyokong Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kekal sebagai menteri besar ketika presiden PAS dan juga Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyokong Khalid kekal sebagai menteri besar.

Sementara itu, PasMa dalam kenyataannya berkata, mereka akan meneruskan program ke seluruh negara dengan Kangar, Perlis menjadi lokasi seterusnya diikuti Kedah dan Pulau Pinang (15 September), Wilayah Persekutuan (17 September) manakala di Temerloh, Pahang (27 September)
Post a Comment

Blog Archive

My Blog List

Followers