Pasang kain rentang provokasi, Umno tiada modal – Zuraida


(Ermizi Mohamad)
AMPANG 14 SEPT: Ketua Wanita KEADILAN, Zuraida Kamaruddin percaya penyokong Umno BN sengaja membuat provokasi dengan memasang kain rentang di beberapa tempat di sekitar Pandan Indah dan Ampang.
banner 2Menurut Zuraida, beliau tidak menolak tindakan sedemikian adalah strategi Umno meraih sokongan dan mahu menunjukkan seolah-olah Pakatan Rakyat membelakangkan institusi raja.
“Mereka tak ada modal dah. Jadi dengan cara begini sahajalah kononnya mereka boleh mengubah persepsi masyarakat terhadap Pakatan Rakyat.
“Sedangkan rakyat tak akan terpengaruh langsung dengan provokasi sedemikian, sebab rakyat sendiri sudah bijak menilai dan memahami permainan Umno untuk meraih sokongan,” kata Ahli Parlimen Ampang itu ketika dihubungi.
Tinjauan Keadilan Daily di sekitar Ampang baru-baru ini mendapati, beberapa kain rentang diletakkan di persimpangan jalan dan di atas jejambat yang memaparkan sokongan terhadap Sultan Selangor.
Ia tertera perkataan seperti ‘Menjunjung Kasih Ke Bawah Duli Tuanku’, ‘Allah Selamatkan Negeri Selangor Di Bawah Tuanku’ dan ‘Rakyat Selangor Tetap Setia Di Belakang Tuanku’.
Bagaimanapun, kain rentang berwarna kuning itu tidak mempunyai nama pihak yang bertanggungjawab menulis mesej tersebut.
banner 3Lebih mengundang persoalan, ia turut digantung di kawasan Bangunan Umno Ampang, pejabat KEADILAN Ampang  dan sekitar kawasan perumahan di Pandan Indah.
“Bagi saya isu ini langsung tidak timbul sebab apa yang berlaku di Selangor sekarang ini langsung tidak membelakangkan kuasa Sultan. Ini hanya cubaan dari mereka (Umno) kononnya kemelut di Selangor kini telah meruntuhkan institusi beraja,” jelas Zuraida.
Katanya lagi, beliau meminta semua pihak berhenti melakukan sebarang provokasi terhadap sentimen sistem beraja bagi menjamin kestabilan dan keharmonian di negara ini.

No comments: