WAJIB BACA Majlis Syura lebih tinggi tapi tak mesyuarat bersama PR

Jumaat, 05 September 2014
OLEH: AmirulmukmininWRLR


Rakyat bingung dengan permainan politik PAS yang menghantar dua surat kepada sultan Selangor berhubung perlantikan Menteri Besar baharu.

Lebih memeningkan kepala apabila Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS Datuk Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh mengakui tidak mengguna pakai nama-nama yang dipersetujui oleh wakil PAS, Timb. Presiden Mohammad Sabu dan Setiausaha Agung Mustafa Ali dalam mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Rakyat, 17 Ogos lalu.

"Ya... ya betul. Majlis Syura yang putus nama. Majlis Syura ini badan tertinggi (dalam PAS)," kata Zawawi ketika dihubungi Malaysiakini, 5 September lalu.

Pengakuan yang menyebut Majlis Syura merupakan kuasa pemutus tertinggi memilih nama yang dihantar kepada sultan dan ia adalah badan lebih tinggi daripada AJK PAS Pusat seolah-olah mempersendakan persekutuan PAS bersama PR selama ini. Dalam pilihan raya, Majlis Syura digunakan untuk menapis calon-calon yang akan bertanding, bukannya untuk membatalkan nama-nama yang telah dipersetujui.

Dalam hal persekutuan dengan komponen Pakatan, Majlis Syura sepatutnya tidak boleh menggunakan kuasa veto mereka sebagai badan tertinggi. Sekiranya majlis itu ingin memutuskan calon mereka sendiri maka wakil Majlis Syura perlu berbincang bersama wakil PR.

Jawatan Menteri Besar Selangor adalah keputusan konsensus ketiga-tiga parti dan bukannya keputusan yang melibatkan PAS secara individu. Memang benar surat sultan ditujukan kepada PAS secara individu tetapi sebagai parti ulama, PAS seharusnya menunjukkan toleransi sebagai pendakwah.

Pendakwah tidak mengambil jalan singkat dalam membuat keputusan. Majlis Syura tidak boleh berkata Wan Azizah tidak sesuai kerana beliau wanita atau Azmin tidak sesuai kerana mempunyai kepentingan perniagaan misalnya. Jika PAS bersikap demikian India dan Cina tidak lagi akan mengundi parti itu kerana sebarang perlantikan melibatkan pemimpin bukan Islam kelak akan ditentang oleh Majlis Syura atas faktor agama, jantina dan budaya.

PAS yang sejak 2008 semakin moderat kini telah kembali ke alam jumud dan tidak toleran terhadap perkembangan politik moden.

Namun perkara paling dikesalkan ialah sikap ulama yang tidak berpegang pada janji. Apabila wakil PAS telah bersetuju untuk meletakkan Dr Wan Azizah sebagai calon tunggal MB pada 17 Ogos lalu, sebarang pindaan perlulah melalui mesyuarat serupa.

Islam mengajar untuk berpegang pada janji. Nabi Muhammad saw berpegang pada perjanjian Hudaibiyah dengan kafir Mekah, walaupun dalam hal melibatkan nyawa penganut Islam yang berhijrah dari Mekah ke Madinah. Perjanjian adalah perjanjian.

Bagaimanakah ulama PAS yang memiliki ilmu tinggi sehingga ke tahap boleh berijtihad memutuskan hukum tiba-tiba dalam perkara asas - menghormati perjanjian - tidak melakukannya sebagaimana diperintahkan Allah.

Maka tidak hairanlah kutukan semakin banyak diterima dari penyokong PAS berhubung bolak-balik politik yang dilakukan oleh kepimpinan ulama ini. Tindakan PAS ini adalah pemusnahan diri sendiri dan bukannya dimusnahkan oleh musuh parti itu.

No comments: