Majlis syura langgar ketetapan muktamar?


Oleh: Amirulmukminin
Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (LUHAM) PAS berpendapat Majlis Syura Ulamak (MSU) parti itu bertindak "melampaui kuasanya" kerana campur tangan dalam isu menteri besar Selangor.

Setiausaha LUHAM, Abang Ahmad Kardee Abang Masagus berkata keputusan majlis itu menyokong Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk tidak memberikan kerusi itu kepada PKR, adalah bertentangan dengan keputusan muktamar - kuasa tertinggi dalam PAS.

Katanya, PAS bersetuju mengadakan kerjasama politik dalam Pakatan yang disahkan dalam muktamar PAS dan tidak pernah dibatalkan, maka Majlis Syura mahupun PAS mesti bertindak selari keputusan muktamar itu.

"Isu pokok yang berbangkit dalam isu MB Selangor ini adalah Presiden telah membuat ketetapan untuk menghantar nama daripada PAS sebagai calon MB (yang kemudiannya disokong oleh MSU).

"Sedangkan, Presiden sendiri sebelum ini telah menyatakan bahawa PAS tidak akan menuntut jawatan MB Selangor memandangkan ia adalah milik PKR.

"LUHAM percaya ini adalah berdasarkan kepada ketetapan muktamar yang memutuskan bahawa PAS bertahaluf dengan Pakatan.

"Justeru, apabila nama ADUN PAS turut dicalonkan sebagai MB Selangor, tidakkan ia menyalahi perjanjian PAS di dalam Pakatan itu sendiri?

"Tidakkah perlanggaran ini menjurus kepada pelanggaran keputusan muktamar itu sendiri?

"Oleh itu, LUHAM berpendapat tidak wujud sebarang perselisihan faham dalam hal keputusan Muktamar ini yang perlu kepada tafsiran oleh MSU," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hasil mesyuarat

Kenyataan itu adalah hasil mesyuarat lajnah itu semalam bagi membincangkan keputusan mesyuarat MSU sehari sebelumnya yang menyokong keputusan Hadi itu.

Kelmarin, MSU menegaskan presiden PAS mempunyai kuasa pemutus dalam perkara melibatkan kepentingan parti dan anggota jawatankuasa pusatnya pula harus menjalankan arahan diberikan
berdasarkan fasal 26(1)(a) dan Fasal 26(9)(m) perlembagaan parti.

Hal ini bertentangan dengan keputusan Jawatankuasa Pusat PAS sebelum ini yang mahu kerusi menteri besar kekal di tangan PKR.

Abang Kardee berkata LUHAM turut berpendapat MSU tiada keperluan untuk menghurai, menjelas dan menafsirkan mana-mana peruntukan perlembagaan parti mengenai isu ini.

Malah Lajnah itu menyatakan sekalipun MSU berkuasa memutuskan sebarang perselisihan faham, ia perlulah dirujuk terlebih dahulu dan bukannya mempunyai kuasa sedia ada untuk membuat keputusan tersebut.

"Jika MSU berpendapat isu pelantikan MB Selangor ini melibatkan perselisihan faham dan pendapat tentang tafsiran Perlembagaan PAS berdasarkan fasal 88(1) Perlembagaan PAS, badan itu hanya boleh bertindak sekiranya ada rujukan dibuat kepada badan itu.

"Di dalam bahasa perundangan, kuasa MSU adalah kuasa atas rujukan (“referral”) dan bukan kuasa "of first instance" atau kuasa yang sedia ada (inherent).

"Dengan ketiadaan perselisihan faham dan pendapat tentang tafsiran Perlembagaan PAS berhubung isu pelantikan MB Selangor dan dengan ketiadaan rujukan dibuat oleh ahli Jawatankuasa PAS Pusat kepada MSU bagi MSU menafsir Perlembagaan PAS, maka tindakan MSU mencampuri isu pelantikan MB Selangor itu, dengan hormat, adalah “non-starter”," kata beliau

No comments: