Calon MB satu nama ikut perlembagaan Selangor

Oleh: Amirulmukminin

Titah Sultan Selangor bahawa PKR dan DAP menderhaka dijawab secara berfakta oleh pakar undang-undang perlembagaan Dr Aziz Bari dalam forum PasMa kelmarin.

Dr Aziz berkata perlembagaan hanya menetapkan sesiapa yang mempunyai majoriti dalam Dewan dipilih sebagai Menteri Besar. Katanya, permintaan sultan untuk dua atau tiga nama hanyalah mengikut kebiasaan dan bukan peruntukan undang-undang.

Malah, kata Dr Aziz, kebiasaan yang dilakukan di negara ini adalah Sultan atau Agong bersetuju dengan nama yang dicalonkan apabila mendapat menjoriti Dewan.

“Tun Razak ganti Tunku (Abdul Rahman) Agong minta nama lainkah? Waktu Dr Mahathir ganti Tun Husein pun sama. Pak Lah ganti Mahathir. Najib ganti Pak Lah adalah Agong minta nama lain?” katanya.

Masalah hanya berlaku di Selangor apabila Sultan tidak perkenan kepada Dr Wan Azizah walaupun mempunyai majoriti lebih daripada separuh Adun yang menyokong.

Sistem politik raja berpelembagaan di negara ini sewajarnya mengikut acuan langsung sistem wesminister yang diamalkan United Kingdom kerana perlembagaan yang dirangka oleh Suruhanjaya Reid tidak ada bezanya dengan yang digunapakai di Britain.

Raja di Britain tidak meminta lebih nama apabila telah terdapat majoriti di Dewan. Nama yang dicalonkan terus dipanggil mengangkat sumpah.

Masalah akan berlaku sekiranya raja bertindak melantik calon lain. Jika calon itu tidak mendapat majoriti Dewan maka undi tidak percaya akan dilakukan kepadanya dan raja terpaksa pula melantik calon lain.

Oleh itu, pendapat Dr Aziz, cara terbaik adalah terserah kepada Dewan untuk menentukan dan raja tidak akan dilibatkan sama sekali atas kegagalan kerajaan yang memerintah atau kegagalan MB menghadapi undi tidak percaya atau kegagalan meluluskan undang-undang.

Krisis di Selangor sepatutnya telah selesai awal sekiranya PAS memberi persetujuan kepada penggantian MB dan segera melepaskan sokongan kepada Khalid sebaik sahaja bekas MB itu dipecat daripada parti.

Bolak-balik PAS dalam berpolitik menyebabkan Sultan kurang yakin dengan sebuah kerajaan yang dipimpin seorang Menteri Besar dengan 30 majoriti Adun. Apatah lagi dua Adun tersebut milik PAS.

Sultan akan terfikir jika dua Adun itu kembali pada PAS maka keadaan akan menjadi sebaliknya. Sekiranya PAS bertindak sebijak Dr Wan Azizah yang memutuskan PKR tidak bertanding di DUN Pengkalan Kubor kerana faktor kerusi tersebut dipinjamkan kepada PKR dan kekurangan jentera maka MB baru telah pun dilantik sebulan lalu.

Kerusi MB adalah milik PKR dan seharusnya PKR diberi kuasa untuk menguruskannya. Sebaliknya dengan campurtangan PAS maka krisis tidak selesai dan parti itu juga menerima kesan buruk berupa surutnya sokongan daripada bukan Islam dan percanggahan pendapat dalaman.

Mungkin selepas PKR menyerahkan kerusi di Pengkalan Kubor maka situasi akan reda tetapi tidak di Selangor dan tidak juga dalam kalangan ulama  UG PAS.

Bagi perwakilan muktamar, beberapa hari ini sangat kritikal. Mereka yang menyediakan ucapan untuk dibahas perlu melihat apakah puak UG masih meneruskan agenda mengganyang PKR selepas parti itu berlembut di Kelantan.

Sekiranya Mustafa Ali, Hadi, Zuhdi dan Tatawi masih menunjukkan keegoan mereka maka perwakilan wajib menyediakan nota bahas yang mengecam pemimpin-pemimpin yang tidak berpijak di bumi nyata itu.

No comments: