Cadangan kaji tahaluf siasi dijangka panaskan Muktamar PAS 2014


Muktamar 2014 yang bermula hari ini dijangka panas dengan isu mengkaji semula kerjasama PAS dalam Pakatan Rakyat. Gambar fail The Malaysian Insider.Muktamar 2014 yang bermula hari ini dijangka panas dengan isu mengkaji semula kerjasama PAS dalam Pakatan Rakyat. Gambar fail The Malaysian Insider.Cadangan Timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din yang kemudiannya menjadi resolusi Muktamar Dewan Ulama PAS semalam agar parti Islam itu mengkaji kerjasamanya dengan Pakatan Rakyat (PR) bakal menjadi isu panas muktamar PAS ke-60 yang bermula hari ini.
Ini kerana, sejak beberapa muktamar yang lalu, usul diluluskan agar kerjasama dengan PR diperkukuhkan.
Seorang peguam PAS, Fitri Asmuni berkata PAS mesti dilihat lebih berjaya berbanding kedudukan PAS yang ada sekarang jika PAS benar-benar mahu keluar PR.Haron ketika merasmikan Muktamar Dewan Ulama mencadangkan ulama PAS mengkaji balik tahaluf siasi (kerjasama politik) dalam PR, jika kerjasama yang ada melanggar syarat tahaluf.

Sehubungan itu, muktamar Dewan Ulama semalam meluluskan satu usul agar PAS menubuhkan jawatankuasa bagi mengkajinya.
Ia juga berkait dengan resolusi Multaqa Ulama yang diadakan pada 14 September 2013 di Alor Setar yang turut meminta ia dikaji.
Usul itu ialah: Mencadangkan kepada Majlis Syura Ulama dan Jawatankuasa PAS Pusat mewujudkan jawatankuasa khusus bagi mengkaji, menyemak serta menilai kekuatan dan kelemahan, kejayaan dan kegagalan pendekatan tahaluf siyasi dalam PR sepanjang ia berlangsung dari sudut mafsadah (kerosakan) dan maslahah (kebaikan) syar'iyyah dengan niat dan tujuan penambahbaikan dan pengukuhan PR untuk lonjakan PRU ke-14.
Sebelum ini, dalam Muktamar 2012 di Pengkalan Chepa, Kelantan, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam ucapan penutup muktamar itu menegaskan PR diperkasakan.
Berdasarkan usul yang diluluskan di muktamar itu, Hadi berkata, PAS terus beriltizam memperkukuhkan PR dengan mengambil kira parti itu tidak boleh bersendirian di Malaysia dalam suasana masyarakat majmuk.
Katanya, begitu juga Umno tidak boleh bersendirian memerintah negara dalam suasana masyarakat yang pelbagai.
“Kita memerintah dalam suasana masyarakat majmuk. Melalui PR kita berjaya menghasilkan resolusi dalam 3 konvensyen yang diadakan,” katanya ketika menyampaikan ucapan penangguhan pada hari akhir muktamar di Putik itu. – 18 September, 2014.

No comments: