Siapa kata Adun PAS tidak mahu Azizah, soal Adun Meru


















Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Meru Dr Abdul Rani Osman (gambar) menafikan wakil rakyat PAS menolak Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dilantik sebagai menteri besar Selangor baharu.
"Siapa kata PAS tidak mahu wanita jadi pemimpin?
"Kalau kita tidak mahu, kenapa kita letak (exco) Dr Halimah dan (Ahli Parlimen Kota Raja) Dr Mariah? Itu bukan masalah," katanya kepada pemberita di lobi Bangunan SUK di Shah Alam, hari ini.


Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilaporkan menolak Dr Wan Azizah sebagai calon menteri besar baharu dan mahu PKR menamakan calon lain.

Pertemuan Hadi dan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim di Terengganu semalam juga dikatakan menemui jalan buntu apabila enggan berganjak dengan pendiriannya sebelum ini yang mahu Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dikekalkan sebagai menteri besar.

Sementara itu, Rani yang juga bekas pesuruhjaya PAS Selangor mengingatkan kejayaan menjatuhkan Barisan Nasional (BN) di Selangor bukan hasil usaha PAS saja, tetapi bersama-sama dengan DAP dan PKR di bawah Pakatan Rakyat (PR).

"Secara peribadinya saya tidak mahu PAS keluar Pakatan. Kita akan ikut keputusan (PAS Pusat) tapi tidak mahu berpecah," katanya.

Ditanya pendiriannya mengenai krisis kedudukan menteri besar Selangor, Rani enggan memberikan sebarang komen.

"Saya bukan pesuruhjaya lagi tetapi ada dapat surat 'gag order' tunggu sehingga 17 Ogos nanti," katanya. – 12 Ogos, 2014.


No comments: