Reben Hitam untuk Khalid undur

Reben Hitam untuk Khalid undur

(Oleh Ermizi Muhamad)
KUALA LUMPUR 14 OGOS : Gabungan beberapa Agensi Bukan Kerajaan (NGO) di Selangor melancarkan kempen “Reben Hitam” bagi menuntut Tan Sri Khalid Ibrahim melepaskan jawatannya sebagai Menteri Besar.

Jurucakap Kempen Kembalikan Selangorku, Faisal Mustaffa mendakwa, Khalid mengamalkan amalan tidak demokrasi dengan mengenepikan suara rakyat yang telah memilih kerajaan Selangor dalam pilihan raya ke-13 yang lalu.
42111-single-face-satin-black-ribbon“Tindakan Khalid jelas menunjukkan beliau tidak menghormati pengundi di Selangor yang telah memilih Kerajaan Pakatan Rakyat untuk mentadbir Selangor.
“Justeru, keputusan ini  adalah suatu tindakan tidak demokrasi dan betul-betul menghina rakyat Selangor,” ujarnya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan Khalid memecat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) KEADILAN dan DAP  di negeri itu 12 Ogos lalu.

Faisal yang juga koordinator kempen tersebut turut mendesak agar Khalid mengembalikan Selangor kepada rakyat selepas memberhentikan Exco negeri itu.

Justeru Faisal memaklumkan,  ‘Kembalikan Selangorku’ adalah sebuah kempen ‘Riben Hitam’ yang menentang tindakan Khalid apabila beliau mendapat sokongan daripada  parti PAS dan BN bagi mengekalkan jawatannya sebagai Menteri Besar.

Menurutnya,  kempen itu akan dijalankan bermula 15 Ogos – 17 Ogos sebagai desakan kepada Khalid supaya berundur.

“Kempen ini akan dijalankan pada 15 Ogos ini di Pusat Khidmat Adun Pelabuhan Klang dan SUK Selangor, 16 Ogos di Pusat Khidmat Adun Cempaka dan 17 Ogos di Pejabat Agung PAS Pusat Jalan Raja Laut jam 11 pagi,” jelasnya.

Dalam pada itu, Faisal turut berkempen agar semua pengundi memakai reben hitam dan ditampal di setiap banggunan kerajaan dan pusat khidmat kerajaan negeri sebagai tanda untuk mengembalikan kerajaan Selangor kepada Pakatan Rakyat.

No comments: