Pemimpin PKR desak Khalid hormat keputusan parti


Para pemimpin akar umbi PKR menggesa Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim melepaskan jawatan menteri besar Selangor secara sukarela demi kesinambungan pentadbiran kerajaan negeri dan kesejahteraan rakyat negeri. – Gambar fail The Malaysian Insider, 2 Ogos, 2014. 


Para pemimpin akar umbi PKR menggesa Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim melepaskan jawatan menteri besar Selangor secara sukarela demi kesinambungan pentadbiran kerajaan negeri dan kesejahteraan rakyat negeri. – Gambar fail The Malaysian Insider, 2 Ogos, 2014.Beberapa pemimpin Cabang PKR menegaskan pendirian menyokong penuh ‎keputusan parti itu untuk menamakan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai menteri besar Selangor baru menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan menolak sebarang calon lain.

Pemimpin-pemimpin akar umbi PKR itu juga menggesa Khalid melepaskan jawatan secara sukarela demi kesinambungan pentadbiran kerajaan negeri dan kesejahteraan rakyat negeri Selangor.
"Kami ketua cabang dan ranting PKR  ingin mengumumkan kesetiaan tidak berbelah bahagi terhadap Presiden, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.


"Sebagai presiden parti yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kajang, beliau adalah calon paling kanan dan paling layak di kalangan Adun PKR di Selangor untuk menjadi menteri besar," kata  Ketua Cabang Subang yang juga Ahli Parlimen Subang Sivarasa Rasiah, Ketua Cabang Selayang William Leong, Ketua Cabang Klang Yew Boon Lye dan Ketua Cabang Kuala Langat David Cheong dalam satu kenyataan malam tadi.
  "Oleh itu, kami menasihatkan Khalid menghormati keputusan parti dan melepaskan jawatan dengan baik dan penuh rela hati."

Mereka turut memberi amaran sekiranya Khalid tetap berdegil, ia hanya akan merosakkan imej menteri besar Selangor penggal kedua itu.

"Akar umbi akan mempersoalkan apakah motif sebenar beliau mengambil sikap sedemikian yang hanya boleh menguntungkan musuh politik Pakatan Rakyat (PR).

"Akar umbi masih menaruh harapan yang cukup besar ke atas Pakatan untuk membawa reformasi dan perubahan yang lebih baik di negeri Selangor," kata mereka.

Empat pemimpin akar umbi PKR Selangor itu juga menggesa semua ahli PR termasuk dalam pimpinan kerajaan negeri untuk menyokong penuh keputusan yang ditetapkan dalam Majlis Pimpinan Pusat PKR pada 21 Julai lalu.

‎"Kami menggesa agar semua anggota PR termasuklah Adun dan Exco dalam pentadbiran Selangor pada waktu ini untuk mengenepikan perbezaan pendapat serta bersatu hati dalam menyokong ketetapan Majlis Pimpinan Pusat  iaitu untuk menamakan Dr Wan Azizah sebagai calon menteri besar Selangor."

Krisis menteri besar Selangor menimbulkan pergolakan dalam PR selepas Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyokong secara terbuka agar Khalid kekal sebagai menteri besar sebelum parti itu berbincang pada 10 Ogos sama ada mahu menyokong Dr Wan Azizah atau tidak.

Krisis bertambah buruk apabila perbincangan mesej kumpulan WhatsApp Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat yang mencadangkan parti Islam itu keluar PR tersebar.

Perbincangan WhatsApp itu mendedahkan Dr Mohd Zuhdi Marzuki mencadangkan kemungkinan PASbekerjasama dengan Umno untuk menubuhkan kerajaan perpaduan dan pada masa yang sama mengekalkan Khalid sebagai menteri besar. – 2 Ogos, 2014.

No comments: