PAS Pusat terima, PAS Selangor tolak Azmin?

PAS Pusat terima, PAS Selangor tolak Azmin?

Oleh: Amirulmukminin


Kesungguhan Presiden PAS Hadi Awang dan Setiausaha Agung parti itu Mustafa Ali mencalonkan Adun Bukit Antarabangsa sebagai Menteri Besar Selangor menjadi tanda tanya.


Hal itu berikutan penerimaan dingin PAS Selangor ke atas nama Azmin. Umum mengetahui Azmin tidak mempunyai hubungan baik bersama DAP dan PAS. Azmin dikatakan sering memilih klik dan tidak mesra dengan Adun yang tidak sependapat dengannya.












Bagaimanapun, PAS Pusat yang beriya-iya inginkan beliau menerajui Selangor tidak mengumumkan sebab mereka inginkan Azmin. Pada mesyuarat 17 Ogos, nama Presiden PKR Dr Wan Azizah keluar dari mulut Tuan Guru Hadi sendiri sebagai calon pertama. Kemudian diputuskan dalam mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Rakyat Azizah sebagai calon tunggal.

Rundingan belakang tabir

Tiba-tiba pada mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS, 25 Ogos Wan Azizah tidak lagi disebut oleh Hadi. Sebaliknya Azmin calon tunggal dari PAS. Apakah yang menyebabkan Hadi berubah dalam seminggu? Adakah wujud rundingan di belakang tabir dengan Azmin?

Dalam mesyuarat tersebut, MP Sepang Hanipa Maidin didakwa mendesak Hadi mengakui wujudnya rundingan bersama Azmin dan Hadi mengakui menemui Azmin. Jadi apakah butiran rundingan tersebut sehingga Hadi berubah melupakan terus nama Wan Azizah ?.

Bekerasnya Hadi ini amat menarik kerana biasanya PAS Pusat akan meminta pendapat PAS negeri. PAS Selangor dilaporkan tidak senang dengan Azmin. Pesuruhjaya PAS Selangor Iskandar Samad didakwa tidak bersetuju Azmin dianggat menjadi MB.

Biar pun Wan Azizah wanita namun beliau lebih memaparkan ketelusan dan tiada kroni di belakangnya yang akan merebut tender atau projek di Selangor. Azmin pada sisi lain mempunyai perniagaan dan mempunyai latarbelakang yang hampir sama dengan Khalid Ibrahim.

Dikhuatiri, belum pun setahun Azmin menjadi MB maka isu sama akan berulang. Isu perniaga Umno memenangi kontrak kerajaan negeri atau pun GLC tertentu diserahkan kepada orang tertentu bakal timbul semula.

Jalan selamat adalah melantik Wan Azizah yang tidak mempunyai kepentingan perniagaan dan kelihatan ‘lurus bendul’ mentadbir.

Oleh itu, menjadi persolan besar apabila beberapa pemimpin PAS Pusat yang bersetuju menolak Khalid kemudian menerima Azmin yang mempunyai ‘DNA’ hampir sama.


Tiada sokongan majoriti

Penerimaan Azmin atau nama kedua selain Dr Wan Azizah juga menimbulkan beberapa masalah. Sebelum ini, Wan Azizah telah membuktikan majoriti 30 kerusi menyokongnya. Azmin tidak diketahui siapa yang menyokong.

Sekiranya Azmin dilantik sebagai MB oleh sultan dan DAP tidak bersetuju maka adun DAP tidak akan mengundi meluluskan dasar-dasar yang dirangka pentadbiran Azmin di DUN. Maka akhirnya sultan terpaksa juga membubarkan DUN.

PAS harus sedar setiap MB yang dilantik mestilah dipersetujui oleh parti-parti dalam PR. Tidak mungkin berlaku situasi parti komponen bersama BN kelak, menentang belanjawan yang dibentang MB misalnya, kerana tidak puas hati tuntutan mereka tidak dipenuhi.

Sebagai ulama, Hadi wajib mengambil pendekatan agama seratus-peratus. Muktamar PAS, iaitu institusi tertinggi memutuskan perjalanan parti telah bersetuju memperkukuh peranan PAS dalam PR. Oleh itu Hadi dan ulama PAS lainnya wajib berpegang pada janji sehingga muktamar baru yang mungkin membahaskan usul melonggarkan peranan PAS dalam PR.

Jika prinsip menunaikan janji dilanggar maka rakyat dan ahli PAS sendiri tiada contoh untuk diikuti. Islam tidak mengajar munafik. Jadi, tiada pilihan, PAS perlu menerima Wan Azizah sebagai calon tunggal sebagaimana persetujuan dalam mesyuarat Majlis Presiden PR.

No comments: