Friday, August 8, 2014

PAS harus percepatkan mesyuarat, bukan melewatkannya – Shahbudin Husin

PAS kini diperlekehkan oleh anak muda sebagai parti yang tidak setia ,berubah ubah dan tidak jujur terhadap rakan Pakatan.

Kemelut politik di Selangor sekarang pada asasnya berpunca daripada dua sebab. Pertama, kedegilan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak mahu berundur apabila diarahkan oleh parti dan kedua, sokongan terbuka PAS yang mahu beliau terus dikekalkan.
 
Jika hanya Khalid yang berdegil tetapi tidak mendapat sokongan PAS, sudah lama ianya selesai. Begitu juga jika sekadar PAS yang menyokong tetapi Khalid akur dengan kehendak partinya, ia tidak akan menjadi kalut sehingga sekarang ini.

Disebabkan adanya kedua-dua sebab itulah dan ianya pula seolah-olah saling bahu-membahu serta senada dan seirama, walaupun berlainan parti, kekalutan ini terus berlarutan.


Ketika Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membuat kenyataan memberi sokongan kepada Khalid, parti itu sebenarnya sudah menetapkan tarikh mesyuaratnya pada 10 Ogos untuk membuat pendirian rasmi mengenainya.

Sebab itu, kenyataan Hadi yang mendahului mesyuarat dan bersifat peribadi itu adalah punca segalanya.

Jikanya Hadi lebih berhemah dan tidak mengeluarkan kenyataan tanpa bermesyuarat atau sanggup bersabar sehingga 10 Ogos dengan menghormati konsep bermuafakat dalam membuat keputusan, kemelutnya tidaklah berlarutan seperti ini.

Lantaran itu, dalam usaha membendung ianya daripada terus menjadi polemik, dua pemimpin PAS iaitu Ketua Pemudanya, Suhaizan Kayat dan AJK PAS, Dr Zulkifli Ahmad menyarankan agar PAS mempercepatkah tarikh mesyuarat daripada 10 Ogos yang diputuskan sebelum itu.

Hasrat mereka ialah agar segala kurap, kudis dan nanah dapat dibendung lebih awal lagi. Niat kedua pemimpin PAS yang tidak berserban ini adalah baik dan suci.
 
Namun demikian, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali tegas menolak saranan yang baik itu dengan alasan jika diubah ia akan mengganggu jadual lain yang ditetapkan.

Akhirnya semua orang menunggu tarikh 10 Ogos itu, walaupun hari demi hari makin banyak kekalutan dan kekeliruan yang terus berlaku.

Bermula dengan sokongan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat terhadap pendirian Hadi, tersebarnya tulisan di whatsapp oleh seorang AJK PAS Pusat, Dr Zuhdi Marzuki yang bersifat rasis dan mahu bekerjasama dengan Umno, keputusan Majlis Syura yang juga menyokong pengekalan Khalid, tindakan PAS Selangor dan Dewan Pemuda mengadakan majlis sembahyang hajat di kediaman Menteri Besar dan bermacam-macam rentetan lagi, semuanya menjurus kepada keadaan yang lebih huru-hara.

PAS jadi berpecah, PKR juga retak dan Pakatan Rakyat (PR) yang diharapkan mampu memberi cabaran kepada Barisan Nasional (BN) turut sudah hilang rentaknya di mata umum. Umno dan BN hanya senyum memerhati wayang percuma ini.

Walaupun Khalid turut dipersalahkan dalam kemelut ini sehingga ramai tidak faham kenapa beliau bersungguh-sungguh mahu bertahan, tetapi nyata sekali PAS paling banyak dipersalahkan kerana dilihat tidak lagi menghormati persetujuan yang memberi hak kerusi menteri besar Selangor kepada PKR.

Lebih menghairankan apabila Majlis Syura membuat keputusan mempertahankan Khalid, ada yang bertanya sejak bila majlis itu mempunyai hak membuat keputusan yang melibatkan parti lain selain PAS.

Majlis itu juga diingatkan bahawa penukaran pemimpin tidak memerlukan hukuman bersalah oleh SPRM atau mahkamah semata-mata kerana sejarah Islam sendiri memperlihatkan bahawa Khalid Al Walid juga pernah ditukar tanpa ada kesalahan apa-apa yang dibuktikan.

Ada juga bermulut jahat mengingatkan PAS bahawa parti itu juga pernah memecat Dr Hassan Ali, Pesuruhjaya PAS Selangor dan Exco Agama, juga berdasarkan pertimbangan politik walaupun tidak pernah dikaitkan dengan mana-mana perkhianatan kepada amanah rakyat atau didapati bersalah di mahkamah serta SPRM.

Ramai akhirnya yang mengharapkan tarikh 10 Ogos ini adalah penentu segala-galanya.
Apabila PAS bermesyuarat dan diikuti dengan mesyuarat Majlis Pimpinan PR pada sebelah malamnya, diharapkan isu ini tidak berlarutan lagi.

Ia mungkin diakhiri dengan pemecatan Khalid, pendirian rasmi PAS dan PR mengenainya atau suatu pilihan raya negeri bakal diadakan.

Apa saja kemungkinan, semua pihak sudah sedia menghadapinya.

Malangnya, dalam situasi yang semakin kalut ini, PAS melalui Mustafa yang sebelum ini menolak untuk mengubah tarikh mesyuarat, tiba-tiba mengeluarkan kenyataan tarikh baru mesyuarat ditunda daripada 10 Ogos kepada 13 Ogos.

Kemudian, belum pun sehari tarikh itu disebarluaskan, hari ini beliau menangguh lagi kepada 17 Ogos pula.

Apa sudah jadi dengan PAS ini? Kenapa asyik tangguh-tangguh dan tidak berani membuat keputusan segera?

Jika sudah berani membuat kenyataan terbuka, menulis di WhatsApp serta mengadu kepada Tuhan melalui sembahyang hajat, kenapa pula takut untuk membuat keputusan rasmi?

Tindakan PAS melewatkan tarikh mesyuarat, tidak lain akan menjadikan isu ini makin kalut dan caca-marba.

Makin banyak mulut yang bersuara, makin banyak jari yang gatal menulis di WhatsApp atau apa saja medium serta mungkin makin banyak majlis sembahyang hajat lagi selepas ini.

Tidak diketahui apa pendirian PAS, apakah penangguhan ini untuk memberi ruang mereka berfikir dan mengkaji semula sokongan kepada Khalid dan akur dengan muafakat bersama dalam PR atau untuk menambah lagi tekanan kepada PKR dan Anwar?

Banyak kekalutan dapat diselesaikan jika tarikh mesyuarat PAS diawalkan atau setidak-tidaknya dikekalkan pada 10 Ogos. Menangguhkan lagi hanya memberi ruang kekalutan makin berpanjangan.

Setelah PAS mensabotaj Anwar dengan menolaknya sebagai calon perdana menteri menjelang detik-detik akhir Pilihan Raya Umum ke-13 lalu, mungkinkah penangguhan ini suatu lagi sabotaj PAS terhadap PKR dan Anwar?





 – shahbudindotcom.blogspot.com, 8 Ogos, 2014.
Post a Comment

Blog Archive

My Blog List

Followers