WAJIB BACA: PAS akan tenggelam bersama Khalid Ibrahim?

Oleh:   AMIRULMUKMININ


Keengganan ulama PAS untuk mengubah pendirian dan terus menyokong Khalid Ibrahim sebagai MB Selangor akan menyebabkan parti itu dipersoalkan dalam apa jua kelemahan pentadbiran Khalid.

Bagaimanapun, ulama PAS menganggap mempertahankan Khalid adalah perjuangan suci seperti mempertahankan khalifah-khalifah Islam terdahulu.

Memang wujud ijtihad pada zaman khalifah melarang umat Islam menukar pemerintah biarpun khalifah zalim dan melakukan maksiat. Kezaliman dan kemaksiatan itu adalah bersifat peribadi. Selangi mana khalifah mempertahankan perundangan Islam maka perkara peribadi tidak boleh menjadi alasan menukar pemerintah. Umat Islam diseru agar bersabar.

Kesilapan itu menyebabkan akhirnya khalifah ditukar secara kekerasan sebagaimana Bani Umaiyah yang berpusat di Syiria berakhir dengan peperangan sesama Islam bagi menaikan Bani Abbassiyah yang kemudiannya berpusat di Iraq. Kejatuhan Bani Abbassiyah pula akibat diperangi puak Mongol.

Menjatuhkan kerajaan

Dalam praktik politik moden menjatuhkan kerajaan lebih mudah. Hanya dengan memangkah di kertas undi. Sekiranya pengundi Cina Petaling Jaya tidak puas hati dengan projek lebuh raya Kidex maka mereka akan mengundi BN dan DAP hilang beberapa  kerusi.

Andainya penduduk campuran di Taman Medan tidak puas hati kerana Khalid gagal melaksanakan pungutan sampah berjadual sehingga Selangor menjadi negeri mencatat angka tertinggi wabak denggi maka mereka akan mengundi BN dan PKR akan hilang kerusi.

Sekiranya penduduk Melayu Sabak Bernam tidak puas hati dengan pembangunan luar bandar yang dijanjikan Khalid maka mereka akan memangkah BN dan PAS hilang sokongan Melayu luar bandar.

Ahli parlimen Temerloh Nasrudin Tantawi menjadi budak hingusan politik apabila menggerakkan pemuda PAS berkempen membela Khalid. Beliau tidak tahu Saifudin Abdullah terkejut dan tidak percaya kalah kepada Tantawi dalam pilihan raya lalu sedangkan beliau tidak bersalah apa-apa kepada pengundi.

Dengan kebodohan Tantawi membela Khalid sehingga menghina kebijaksanaan Guan Eng membina terowong bawah laut di Pulau Pinang dan membandingkannya dengan Kidex di Selangor, Tantawi pasti akan bertanya bepuluh-puluh kali jika kalah di Temerloh pada PRU 14 nanti.

Projek Kidex mengambil tanah rakyat dan akan mengurangkan sokongan dalam PRU sedangkan projek terowong bawah laut hanya mengambil tanah laut. Mungkin Tantawi lupa ikan dan siput tidak boleh mengundi. Pulau Pinang tidak akan kalah dengan projek terowong. Berbanding hilangnya sokongan Cina bandar di Selangor.

Dalam gua

PAS seperti dalam gua menangani isu Khalid Ibrahim. Menyamakan Khalid dengan kezaliman Umno memecat dan memenjarakan Anwar tentulah tidak tepat dan merupakan fitnah kepada Anwar yang memulakan Langkah Kajang.

Anwar mempertahankan dana  Petronas daripada diguna menyelamatkan syarikat perkapalan anak Dr Mahathir yang bankrap. Sedangkan Khalid ditukar kerana menandatangani perjanjian air tanpa pengetahuan Exco Selangor, menyokong Kidex yang mengambil tanah penduduk dan dibantah secara besar-besaran oleh penduduk.

Adakah PAS secara rasmi mengisytiharkan mereka menyokong langkah kekerasan Khalid? Rakyat akan membenci parti yang tidak menghormati mereka yang memberi undi dalam pilihan raya lalu tidak kira berapa tinggi serban pemimpin parti itu.

Hanya PAS berfatwa berdosa menolak kepimpinan ulama sedangkan rakyat hanya inginkan sesuatu yang lebih baik dalam hidup mereka. Jika PAS ingin kekal relevan dalam politik moden yang berpaksikan pilihan raya mereka wajib memakai hukum pilihan raya, bukannya bertindak sebaliknya seperti mana pada zaman khalifah.

Khalid sendiri menyindir kemelut yang dialaminya membuat beliau bekerja lebih pantas. Bermakna selama ini beliau mengakui kurang pantas. Banyak isu yang tidak selesai sebagaimana disenaraikan oleh MP Petaling Jaya Utara Tony Pua, seperti permodenan ladang babi di Sepang yang dipelopori Khalid, isu rumah rakyat, projek pembersihan Sungai Klang (RM10 bilion), projek bersepadu paip (RM100 juta) yang masih tidak dilaksanakan sejak 2008 dan pelbagai lagi.

Rakyat Selangor tidak mahu kelemahan seperti itu, mereka mahukan kerajaan yang pantas bertindak. Kerajaan yang lewat dalam memberi bantuan hanya sesuai di Kelantan dan tidak sama sekali boleh diterima di negeri maju yang kehidupan berjalan pantas.

Jika PAS terus bersikap tidak matang maka kaum Cina akan melupakan mereka dan PAS For All tidak akan diterima pakai lagi dalam PRU 14.

No comments: