VIDEO INSIDE; Pakatan sedia hadapi pilihan raya negeri, kata Anwar

 

 

 

 

Pakatan sedia hadapi pilihan raya negeri, kata Anwar


Pakatan Rakyat sedia menghadapi pengundi jika pilihan raya terpaksa diadakan untuk selesai kemelut isu menteri besar Selangor, kata Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim. Gambar fail The Malaysian Insider.Pakatan Rakyat sedia menghadapi pengundi jika pilihan raya terpaksa diadakan untuk selesai kemelut isu menteri besar Selangor, kata Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim. Gambar fail The Malaysian Insider.





















 Pakatan Rakyat (PR) sedia menghadapi pengundi bagi mendapatkan mandat baharu memerintah Selangor sekiranya krisis pertukaran menteri besarnya tidak berjaya diselesaikan, kata Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mengulangi kenyataannya yang PR tidak akan berpecah semata-mata kerana isu calon MB itu, Anwar berkata, beliau yakin isu itu akan diselesaikan dengan baik.

"Persefahaman hak lantikan MB Selangor wujud di kalangan pimpinan PR, sepertimana PKR juga bersetuju hak parti lain dalam membuat keputusan yang sama di negeri lain. Persefahaman ini wajib dipatuhi.


"Kita yakin isu MB Selangor ini akan diselesaikan dengan baik sesuai dengan semangat PR, sama ada diselesaikan melalui proses peralihan yang lancar, undi tidak percaya mahupun pilihan raya negeri," katanya dalam satu kenyataan.
  Bagaimanapun, katanya, tidak ada sebarang keperluan untuk mengadakan pilihan raya negeri kerana Barisan Nasional hanya ada 12 kerusi di kalangan 56 kerusi DUN dan PRU-13 hanya diadakan kira-kira 15 bulan lalu.

"Sekiranya pilihan raya negeri terpaksa dilakukan, Pakatan bersedia untuk menghadapi pengundi dan berkeyakinan penuh rakyat Selangor akan sekali lagi menyokong kita," katanya.

Anwar berkata perpecahan di dalam PR hanya boleh dan akan berlaku sekiranya ada parti komponen yang sanggup berkompromi dalam prinsip dasar seperti kewibawaan, ketelusan dan kebertanggungjawaban di dalam pengurusan kerajaan.

"Atas prinsip-prinsip inilah PR dizahirkan sebagai sebuah kerajaan alternatif untuk rakyat. Prinsip-prinsip ini juga dicabuli oleh kerajaan BN ketika ianya berkuasa pada lima dekad yang lalu," kata Anwar.
Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata, keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 pada 8 Mac 2008 menunjukkan dengan jelas perjuangan PR yang berpaksikan atas prinsip tersebut diterima baik oleh rakyat.

"Dalam usaha murni ini, gabungan PR bersama dengan semua yang menyokong usaha ini bersama-sama menggembleng tenaga pada PRU ke-13 dalam menghadapi cabaran amat hebat untuk terus memberikan harapan kepada rakyat Malaysia.

"Usaha kita tidak sia-sia, kerana kita memenangi jiwa dan minda majoriti pengundi Malaysia walaupun kita dihalang daripada membentuk sebuah kerajaan," katanya.

"Perkara penting yang perlu difahami adalah sebuah pakatan pembangkang yang kuat berjaya menekan kerajaan untuk menjadi lebih bertanggungjawab dan mengekang sebahagian daripada keborosan mereka."

Anwar berkata, kekuatan ini tidak boleh dibina atas dasar keinginan dan impian semata, lebih bahaya lagi sekiraya kekuatan ini dilandaskan dengan perasaan curiga, dendam dan iri hati.

"Justeru, kita perlu menyatukan kekuatan ini untuk terus kekal bersama dan terus menolak sebarang percubaan untuk memecahbelahkan kita.

"Setiap parti di dalam gabungan ini wajib menghormati sebarang keputusan yang dicapai selepas rundingan bersama," katanya.

Beliau berkata, kegagalan untuk menghormati dan menunaikan kewajipan ini bakal memaksa PR membuat beberapa keputusan yang sukar.

"Rakyat perlu diyakinkan bahawa sekiranya beberapa keputusan sukar perlu dibuat, ianya akan dibuat hanya setelah mengambilkira kepentingan rakyat dan dibuat untuk maslahah atau kepentingan rakyat.

"Sama ada kita hilang sokongan akibat pendirian yang kita ambil, kita akan terus beristiqamah dan komited dengan matlamat untuk membentuk Malaysia yang lebih adil, bebas korupsi dan benar-benar demokratik," kata Anwar. – 5 Ogos, 2014.


No comments: