Sunday, August 3, 2014

BUKAN RAKYAT SELANGOR SENANG...TAPI....LANGAT 2 DAN UMNO DAPAT DURIAN RUNTUH-SILA BACA KENAPA KHALID HARUS DITUKARKAN

https://www.facebook.com/38012338900/photos/a.10152586131013901.1073742097.38012338900/10152586131073901/?type=1

Wajarkah Selangor dijadikan batu loncatan Pakatan ke Putrajaya?


Walaupun tidak dapat dinafikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim adalah pemimpin yang prihatin dengan rakyat, bukan itu sahaja yang menjadi kayu ukur seorang pemimpin yang berkesan. – Gambar fail The Malaysian Insider, 1 Ogos, 2014. Walaupun tidak dapat dinafikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim adalah pemimpin yang prihatin dengan rakyat, bukan itu sahaja yang menjadi kayu ukur seorang pemimpin yang berkesan. – Gambar fail The Malaysian Insider, 1 Ogos, 2014. Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim baru-baru ini mempersoalkan hasrat Pakatan Rakyat (PR) untuk menjadikan negeri pimpinannya sebagai papan lonjakan  ke Putrajaya.

Menurut Khalid, langkah ini “tidak memenuhi hasrat rakyat negeri Selangor”.
Untuk itu, Khalid menyarankan agar pembangkang mendapatkan “mandat baru dari rakyat” dalam pilihan raya akan datang untuk melaksanakan projek Putrajaya melalui Selangor ini.

Kenyataan Khalid ini dibuat samada sebagai alasan untuk beliau terus menguasai kerusi menteri besar Selangor atau kenaifan bacaan politiknya.
  Apa pun rasional di sebalik kenyataan Khalid ini, Selangor dan juga negeri-negeri lain di bawah PR adalah penting sebagai showcase kepada keupayaan pembangkang mentadbir dan mengurus hal ehwal rakyat berdasarkan acuan baru yang acapkali ia laungkan dalam pilihan raya.

Atas dasar inilah, Selangor amat penting kepada PR. Atas kepentingan inilah, isu kepimpinan negeri Selangor perlu ditangani segera. Dan atas logik inilah, Selangor wajar dijadikan papan lonjakan PR ke Putrajaya.

Kepentingan Selangor kepada Pakatan

Adalah suatu perkara yang lazim bahawa umum hanya akan dapat menerima sesuatu pendekatan atau dasar apabila ianya sudah lama dilaksanakan.

Strategi ‘menawan’ sesebuah pentadbiran tempatan atau wilayah untuk dijadikan modal politik untuk merebut kuasa di peringkat lebih tinggi mungkin agak luar biasa di Malaysia, tetapi ia adalah strategi politik yang popular dalam kalangan negara luar.

Sewaktu Recep Tayyip Erdogan menjadi gabenor Istanbul, beliau melaksanakan pelbagai program yang meningkatkan kualiti hidup warga kota tersebut.

Daripada kejayaan tersebut, beliau dan parti pimpinannya dapat memaparkan visi mereka kepada seluruh warga Turki.

Ini membolehkan beliau melonjak ke tampuk kuasa tertinggi di Turki. Hal yang sama turut dilalui oleh Lee Myung Bak yang menggunakan kejayaan beliau sebagai Datuk Bandar Seoul  (beberapa siri projek penambahbaikan alam sekitar yang meningkat kualiti hidup dan imej bandaraya Seoul menjadi kekuatan kepimpinan beliau) sebagai batu loncatan untuk menjadi presiden Korea Selatan.

Lebih dekat lagi adalah lonjakan kerjaya Joko Widodo (Jokowi) daripada Datuk Bandar Solo ke gabenor Jakarta sehingga dipilih menjadi presiden Republik Indonesia.

Kejayaan Jokowi didorong program-program mesra rakyat marhaen serta sikap tiada toleransi terhadap rasuah dan kelemahan birokrasi yang diamalkan sepanjang beliau memimpin Solo dan Jakarta.

Jadi, apa salahnya PR menjadikan Selangor sebagai showcase kebolehan mereka mentadbir Malaysia berasaskan dasar keadilan sosial, prinsip demokrasi serta tadbir urus yang baik?

Malah, strategi ini wajar disokong agar rakyat dapat membuat pilihan yang lebih objektif dan pragmatik dalam pilihan raya akan datang. Inilah kepentingan Selangor kepada PR.

Apa halnya dengan Khalid Ibrahim?

Masalah yang dihadapi PR ketika mentadbir Selangor adalah memastikan Khalid melaksanakan program yang sudah dipersetujui bersama.

Berasaskan pemerhatian dan perbincangan dengan individu yang berpengetahuan tentang politik Selangor, prestasi Khalid pada penggal pertama hanya bertaraf sederhana.

Ini kerana beliau mengambil masa yang agak lama untuk merencana dan melaksana program-program kerajaan negeri serta kerap dilakukan secara bersendirian tanpa penglibatan pimpinan lain.
Penggal pertama beliau sebagai menteri besar Selangor menyaksikan pelancaran beberapa program dan inisiatif yang menarik, tetapi kurang menjana perhatian umum.

Kelemahan penerangan

Seperti contoh, pelaksanaan program “Merakyatkan Ekonomi Negeri Selangor (MES)” melihat aliran dana yang besar terhadap aktiviti seperti Takaful Kifalah untuk warga tua, bantuan kebajikan untuk keluarga peladang, pelajar dan program mikrokredit.

Satu lagi elemen dalam program MES ialah bekalan air percuma 20 meter padu untuk setiap rumah kediaman di Selangor.

Pada asasnya, MES adalah program yang menguntungkan rakyat, dan Khalid wajar menerima kredit atas inisiatif mesra rakyat kerajaan negeri ini.

Bagaimanapun, Khalid tidak melabur dalam usaha mewar-warkan program ini kepada umum.
Dalam konteks program MES ini, ratusan juta ringgit dibelanjakan untuk menyalurkan bantuan, tetapi ianya tidak menghasilkan peningkatan sokongan di kalangan kumpulan sasaran.

Anda mungkin mempersoalkan kritikan yang tampak remeh ini, tetapi sedarlah bahawa khidmat kerajaan bukan sahaja perlu dilaksanakan dengan baik, ia juga perlu dilihat rakyat dilaksanakan dengan baik.

Bukankah bagus sekiranya rakyat di Pahang, Perak, Sarawak, Sabah dan Negeri Sembilan tahu tentang kebaikan yang dilakukan oleh kerajaan Selangor untuk rakyatnya?

Ia memungkinkan rakyat negeri-negeri lain mendesak kerajaan negeri masing-masing untuk menambahbaik mutu perkhidmatan mereka atau memberi peluang kepada PR untuk melaksanakan program serupa di negeri-negeri ini.

Sampah

Satu lagi inisiatif terkenal Khalid ialah menamatkan kontrak kutipan sampah syarikat Alam Flora Berhad apabila tempoh perjanjian konsesi yang bersifat monopoli ini tamat pada 2011.
Hasrat di sebalik tindakan ini adalah baik kerana ia cuba menamatkan amalan monopoli yang berleluasa semasa pemerintahan BN.

Bagaimanapun, Khalid mengundang kontroversi apabila pelan tindakan alternatif tidak dibincangkan secara terperinci dengan pimpinan tertinggi PR dan pimpinan akar umbi di Selangor.

Akibatnya apabila kontrak Alam Flora berakhir, kemampuan kontraktor-kontraktor kecil yang dilantik menggantikan syarikat ini agak meragukan sehingga menyebabkan kemerosotan mutu perkhidmatan yang menimbulkan kemarahan rakyat.

Bekalan air

Satu ‘mercu tanda’ Khalid adalah usaha pengambil alihan konsesi bekalan air yang diswastakan oleh BN pada awal tahun 1990-an yang menjadi satu ‘perjuangan’ besar Khalid Ibrahim pada penggal pertama pemerintahannya.

Pada asasnya, Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) tidak dapat memenuhi syarat pembekalan seperti yang termaktub di dalam perjanjian dengan kerajaan negeri.

Oleh itu, Khalid mahu kerajaan negeri menamatkan perjanjian tersebut dan perkhidmatan bekalan air dikembalikan semula kepada kerajaan negeri.

Pada masa yang sama, kerajaan pusat ingin membangunkan loji penapisan air baru yang dinamakan ‘Langat 2’ yang menelan belanja yang tinggi untuk memastikan keperluan air di Selangor dan Kuala Lumpur dapat terus dipenuhi.

Jika projek ini diluluskan, kos pembinaan loji tersebut akan ditanggung pengguna menerusi caj bayaran air yang akan bertambah.

Sekali lagi hasrat Khalid untuk mengkaji semula konsensi bekalan air adalah wajar, tetapi beliau mengambil masa yang lama (hampir enam tahun) dan secara berseorangan untuk mengendalikan perkara ini.

Akhirnya apabila Langkah Kajang diumumkan dan pilihan raya kecil diisytiharkan, Khalid tiba-tiba menandatangani persefahaman dengan kerajaan pusat untuk meluluskan projek Langat 2 serta menerima pengambil alihan aset bekalan air Selangor oleh kerajaan pusat.

Ini bermaksud selepas enam tahun rundingan dan tekanan dikenakan kepada syarikat konsesi air dan kerajaan pusat, Khalid akhirnya menyerahkan aset air negeri dengan mudah.

Sekali lagi, perkara yang melibatkan berbilion ringgit ini tidak dirujuk kepada pimpinan parti sebelum ia dimeterai.

Di sinilah masalah utama gaya kepimpinan Khalid. Beliau terlalu taksub dengan keupayaan sendiri sehingga tidak menghiraukan pandangan pakar mahupun masyarakat.

Kegagalan Khalid bertindak pantas dalam isu konsensi air menyebabkan kerajaan pusat melaksana undang-undang di peringkat persekutuan yang membolehkan mereka mengambil alih pengurusan air daripada kerajaan negeri.

Akibatnya, rancangan kerajaan negeri untuk menguasai konsensi air terbantut dan yang lebih teruk nasib rakyat terjejas dengan ketidakcekapan pengurusan air di Selangor.

Jika khidmat asas seperti bekalan air pun tidak dapat diuruskan dengan baik, bagaimana PR dapat mentadbir negara?

Kepincangan kepimpinan Khalid meletakkan PR dalam keadaan dilema. Adakah ia mahu membiarkan Khalid mentadbir sesuka hati beliau ataupun menghentikan perkhidmatannya?
Ini kerana pada peringkat awal pemerintahannya, Khalid sememangnya bertindak atas dasar mementingkan rakyat, tetapi  modus operandi yang beliau ambil adalah secara bersendirian, tidak demokratik dan tidak telus.

Akhirnya kepimpinan Khalid  menyakiti rakyat dan menganggu gugat tahap pembangunan negeri. Secara tidak langsung, PR mendapat tempias daripada pandangan negatif ini yang akhirnya menjejaskan peluang pakatan parti ini untuk menjadi  kerajaan alternatif.

Cabaran yang dihadapi pimpinan pusat PR ialah mengurus seorang pemimpin negeri yang mempunyai ego yang besar dan tidak mengiraukan kesan daripada tindakan yang diambilnya.
Pada waktu yang sama, wakil-wakil rakyat Selangor terpaksa berdepan dengan aduan dan kemarahan rakyat tanpa mengira lapisan umur, bangsa dan kelas.

Para penyokong Khalid sering mendakwa atas sebab kepimpinan beliaulah PR menambah kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), mereka terlupa sesuatu, mungkinkah rakyat akan menyokong PR sekiranya bekalan asas seperti air dicatu?
Selama manakah alasan yang menyalahkan syarikat pembekal boleh diterima rakyat biasa?
Bayangkan gaya kepimpinan Khalid ini berterusan untuk empat tahun lagi sehingga pilihan raya yang berikutnya.

Apakah kesan jangka panjang dari isu-isu yang tidak dapat diselesaikan dan membawa kemarahan rakyat seperti masalah kutipan sampah, pemutihan kilang haram, permohonan pembinaan perumahan, pembinaan tapak komersil, penyelengaraan jalan raya, proses perancangan belanjawan negeri dan lain-lain lagi? Tidak dinafikan bahawa nilai integriti Khalid adalah tinggi dan wajar dipuji serta dijadikan contoh.

Namun nilai terpuji ini tidak menjadi satu-satunya kayu ukur kepada kepimpinan yang baik.
Rakyat menuntut seorang pemimpin yang jujur, responsif, demokratik, sentiasa mendengar, progresif, inklusif dan merendah diri. Ciri-ciri inilah yang tampak kurang pada diri Khalid.
Bayangkan diri anda berada dalam kedudukan PR.

Apakah yang anda akan lakukan sekiranya salah seorang pemimpin harapan anda berbuat sesuka hati tanpa menghiraukan pandangan dan nasihat parti komponen Pakatan yang lain, pemimpin partinya sendiri, ahli parti dan rakyat?

Berapa lamakah anda boleh bertahan dan sentiasa memohon maaf bagi pihaknya dan melindungi kelemahan pemimpin tersebut?

Dan apakah yang anda akan lakukan sekiranya kepincangan pemimpin ini mampu meranapkan usaha anda mempertahankan negeri yang terkaya di Malaysia dan yang lebih penting menjejaskan peluang anda merampas Putrajaya?

Adakah anda hanya berdiam diri? Adakah anda akan mengetepikan harapan 53% pengundi Malaysia? Persoalan-persoalan sukar inilah yang perlu ditangani pemimpin Pakatan sekarang.
Kesudahan Langkah Kajang:  Tersungkur atau terlonjak ke Putrajaya?

“Langkah Kajang” adalah suatu tindakan drastik yang terpaksa dilakukan untuk menghentikan hakisan kepercayaan rakyat kepada PR.

Oleh kerana Khalid tidak menghiraukan saranan, apatah lagi cadangan pimpinan PR ataupun aduan awam, adalah perlu beliau diganti dengan pemimpin lain yang boleh melaksanakan program dan urus tadbir kerajaan negeri seperti visi dan hala tuju PR.

Tindakan menggantikan menteri besar ini bukanlah perkara yang asing. Malah, Barisan Nasional (BN) sendiri baru-baru ini menggantikan menteri besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said bagi memastikan parti tersebut mampu mempertahankan Terengganu yang nampak goyah selepas PRU13.
Bezanya, BN mempunyai sumber dan kuasa penuh kerajaan pusat untuk memastikan proses pertukaran menteri besar berlaku dengan lancar (walaupun pada mulanya timbul konflik besar dalam kalangan pemimpin Umno negeri).

Pimpinan PR, bagaimanapun, hanya mempunyai kemampuan untuk mendesak.
Cubaan menggugurkan Khalid menimbulkan pelbagai reaksi serta percaturan politik yang dipengaruhi kepentingan peribadi:
  • Khalid enggan berundur kerana beliau rasa berhak meneruskan tugas sehingga akhir penggal. Di samping itu beliau turut dipengaruhi pihak lain yang berkepentingan untuk melihat Selangor terus dikepalai beliau mungkin atas dasar “musuh kepada musuhku adalah kawanku”  – lihat bagaimana Bank Islam Malaysia Berhad (anak syarikat Lembaga Urusan Tabung Haji) secara mengejut tiba-tiba melupuskan hutang RM66.7 juta Khalid. Hal ini membuatkan integriti beliau dipersoal oleh pimpinan parti;
  •  
  • Presiden PAS Datuk Seri Hadi Awang turut menyokong Khalid agar dikekalkan sebagai menteri besar atas pelbagai sebab, walaupun sumbang saran dalam kalangan akar umbi PAS Selangor mahukan Khalid diganti. Adakah pendirian presiden parti Islam ini dipengaruhi oleh ahli keluarga dan rakan/penasihat parti terdekat yang mendapat manfaat daripada Khalid menerusi syarikat GLC Selangor? Allah sahaja yang mengetahui.
  •  
  • Pimpinan Umno/BN tentu gusar sekiranya seteru abadi mereka Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat menguasai Selangor. Ini kerana Umno bimbang Anwar akan menggunakan segala kekuatan yang ada di Selangor untuk membina bala tentera politik dan jentera untuk menawan Putrajaya. Atas sebab inikah kes rayuan liwat 2.0 Anwar secara tiba-tiba diawalkan dan keputusan mendapati Anwar bersalah dikeluarkan sebelum Anwar dapat mengemukakan pencalonan untuk Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang pada bulan Februari yang lepas?
  •  
  • Masyarakat umum, media arus perdana dan penganalisis politik sering mempertikaikan motif Anwar merencanakan Langkah Kajang ini. Terdapat penyokong Khalid yang menabur dakwaan bahawa ianya dilakukan untuk merebut dana dan kedudukan dalam kerajaan negeri, ada pula yang berkata ianya perbuatan terdesak untuk menghidupkan kerjaya politik Anwar yang kian lesu. Ada pula yang muak dengan apa yang mereka lihat adalah helah politik untuk mengalih pandangan rakyat dari kelemahan PR dari memenuhi keperluan dan penyelesaian masalah umum. Sejauh manakah mereka faham implikasi sebenar langkah ini dan maksudnya untuk rakyat biasa sekiranya isu ini dibenarkan berterusan?
Kesimpulan

Punca dan implikasi kemelut politik Selangor ini sememangnya kompleks dan rumit untuk dibincang dalam penulisan singkat sebegini.

Jika diamati, ianya adalah pertembungan antara PR dan BN serta sekutu mereka (samada mereka sedar ataupun tidak).

Walaupun perlu berdepan tentangan dari parti lawan, visi dan perancangan PR di Selangor sememangnya boleh dilaksanakan, tetapi laluannya sudah pasti menjadi sukar apabila pimpinan tertinggi negeri tidak menghiraukan saranan serta keputusan pimpinan pusat, wakil rakyat negeri dan orang ramai.

PR adalah sama seperti gagasan politik lain yang sememangnya tidak sempurna. Ini ditambah lagi dengan isu kekurangan sumber, pengalaman mengelolakan kerajaan dan hayat kesepakatan yang masih muda.

Tetapi ia berpotensi menjadi gagasan politik yang terbaik untuk menandingi BN di peringkat nasional.

Oleh itu, pemimpin PR dan masyarakat umum perlu menilai kemelut Selangor ini secara menyeluruh, seimbang, pragmatik dan rasional.
 
Malaysia memerlukan pesaingan politik yang sihat dan kompetetif agar kestabilan dapat dipelihara, kebajikan rakyat diutamakan dan keadilan didaulatkan. – 1 Ogos, 2014.
Bahagian I dan II di sini.




Post a Comment

Blog Archive

My Blog List

Followers