Settpol MB digantung, bekas setpol disiasat---


Sudah jatuh ditimpa tangga. Begitulah nasib yang menimpa Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim dalam pemilihan PKR kali ini.

Tertinggal dalam pemilihan timbalan presiden menentang penyandang Azmin Ali, bahangnya turut dirasai pihak-pihak lain yang dekat dengannya.

Dalam perkembangan terbaru, setiausaha politik Khalid, Mustapha Mohd Talib (kiri) digantung keanggotaan dalam PKR selama setahun secara serta-merta.

Ini ekoran dakwaan mengugut seorang calon untuk tidak meneruskan niat bertanding jawatan ketua cabang Kuala Selangor, bagi menentang Khalid.

Dalam perkembangan sama, pendahulu Mustapha sebelum itu, Faekah Husin, pula mendapat surat tunjuk sebab daripada lembaga disiplin PKR.

Keputusan itu dinyatakan dalam kenyataan media Pengerusi Lembaga Disiplin PKR Datuk Dr Tan Kee Kwong hari ini.

Selain Faekah, surat tunjuk sebab turut dikeluarkan kepada Ketua Pemuda PKR Shamsul Iskandar Md Akin dan calon penggantinya Amiruddin Shari – dua pemimpin muda yang dikaitkan dengan kem Azmin.

Ketiga-tiga mereka terlibat dalam jawab menjawab di media berhubung isu desakan supaya Khalid berundur dari jawatan menteri besar yang disandangnya sekarang.

Sementara itu, lembaga disiplin PKR turut meneliti beberapa kes berkaitan tatatertib dan disiplin anggota yang dibentangkan dalam mesyuarat biro politik yang dipengerusikan presidennya Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail semalam.

Dalam perkembangan terbaru, empat lagi anggota parti itu daripada cabang Kota Raya dipecat kerana merampas, menendang dan memecahkan peti undi dalam pemilihan parti.

Khalid: Mereka berhak merayu

Semantara itu Khalid (bawah) dalam reaksinya berkata akur dengan keputusan lembaga disiplin itu.

"Kalau itu keputusan biro displin, itu keputusan merekalah, tetapi mereka ini (Faekah dan Mustapha) berhak membuat permohonan rayuan dan dalam parti kita ada proses rayuan," kata beliau.

Khalid bagaimanapun enggan mengulas lanjut kenyataan balas Faekah kepada ahli partinya yang lain.

MP Bandar Tun Razak itu berkata segala perbincangan tersebut tidak sepatutnya dibincangkan dalam media sebaiknya dibawa ke mesyuarat biro politik PKR.

"Saya tiada pandangan sebab saya masih teruskan tugas. Soalan spekulasi tak menguntungkan sesiapa.

"Saya yakin tujuan Pakatan Rakyat apabila diberi mandat oleh rakyat bila rakyat beri amanah kena jalankan tugas ini keutamaan kita," tegas beliau.



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

No comments: