Sunday, July 13, 2014

Rara, Ikon Baru Wanita Melayu Sertai DAP Selepas Dyana !


Populasi ‘awek cun’ di Parti Tindakan Demokratik nampaknya kian meningkat. Pasca pilihanraya kecil Teluk Intan, ramai yang akhirnya maju ke depan dan dengan berani mengisi borang keahlian sebuah parti yang telah sekian lama difitnah sebagai parti ‘komunis’ dan ‘cauvinis cina’.
Terbaru, DAP menerima permohonan keahlian daripada seorang ikon anak muda yang boleh tahan popular sejak ditemui hadir dalam perhimpunan Bersih 3.0. Young Syefura Othman, atau lebih mesra dipanggil Rara, mengisi borang keahlian DAP setelah menghadiri sesi dialog bersama pimpinan muda parti di ibu kota.
Anak gadis berusia 25 tahun ini merupakan anak perempuan tunggal daripada tujuh orang adik-beradik. Dia mendapat inspirasi politiknya daripada sang ibu yang merupakan seorang aktivis PAS.
“Kami turun perhimpunan Bersih satu keluarga,” ujarnya berkisah tentang pengalaman pertama kali menyertai perhimpunan aman membantah penipuan pilihanraya itu.
Rara bernasib baik kerana datang awal dan pulang awal, lalu tidak terkena asap gas pemedih mata atau ditembak air gatal. Beliau malah menjadi bualan anak-anak muda Malaysia setelah fotonya tersebar luas dan disebut-sebut sebagai salah satu ikon perhimpunan tersebut.
Kemasukan Rara ke dalam DAP disambut dengan reaksi bercampur-campur daripada berbagai pihak. Antara yang paling pantas memberi reaksi negatif pastinya pihak musuh yang dengan cepat melabel beliau, selain memuatnaik grafik kononnya Rara seorang pakar urut batin. Siap dengan alamat dan nombor telefonnya sekali.
“Saya menyertai DAP kerana ia menyediakan ruang untuk wanita muda Melayu terutamanya,” kata beliau memberi penjelasan.
“Kita kekurangan pimpinan wanita muda. Kita mungkin ada Nurul Izzah dalam PKR, kalau PAS saya tidak pasti siapa. Kalau kenal pun Kak Aiman (Athirah)” tambahnya, sambil berkata kemasukannya ke dalam DAP adalah dengan cita-cita untuk mengajak lebih ramai wanita untuk turut ke depan dalam perjuangan mengembalikan demokrasi dan keadilan.
Minat beliau terhadap DAP bertambah rancak pasca fenomena Dyanamania yang melanda seluruh negara, di samping dasar parti yang menolak politik perkauman dan terbuka kepada semua tanpa mengira latar belakang apa pun.
“Semua kawan-kawan terkejut bila saya masuk DAP, semua orang asyik tanya, kenapa DAP?” tambahnya sambil memberitahu bahawa keluarganya menerima keputusan beliau dan faham benar dengan kiprah politik Rara serta memberikan beliau sokongan terus-menerus.
Hentaman dan serangan terhadapnya dianggap hal biasa. Poster dan grafik di laman-laman sosial memfitnah kononnya Rara mendaftar sebagai ahli seumur hidup DAP dan kononnya berhasrat menghapuskan hak-hak orang Melayu. Padahal Deklarasi Shah Alam yang dibuat pada 8 Januari 2012 jelas mempertuntukkan bahawa DAP “Memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta hak-hak kaum-kaum lain, seperti yang termaktub dalam Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan.”
“Tapi disebabkan saya macam dah terbiasa, saya biarkan sahaja,” ujarnya yang sebelum ini sudah pun pernah difitnah dengan pelbagai tuduhan pasca perhimpunan Bersih 3.0. “Bila saya kena sekali lagi waktu masuk DAP, saya sudah boleh bersedia. Saya ketawakan saja,” ujarnya menguntum senyuman.
Tidak kalah hebat ialah tuduhan bertalu-talu daripada pihak musuh kononnya DAP mempergunakan gadis-gadis cantik jelita untuk menarik kemasukan orang Melayu. Rara melihat tuduhan itu sebagai sesuatu yang positif kerana baginya pihak musuh sudah ketandusan ide untuk mencari kesalahan. Tetapi, hakikatnya, memang benar sudah ramai yang berminat untuk menyertai DAP.
Bak kata orang, tak kenal maka tak cinta. Setelah sekian lama DAP dimomok-momok sebagai parti cauvinis Cina, kehadiran ‘awek-awek cun’ secara tiba-tiba meleburkan persepsi negatif tersebut, dan secara tidak langsung menarik minat orang ramai untuk mendekati parti yang dijaja-jaja musuhnya dengan pelbagai cerita karut.
Kekurangan wanita muda dalam aktivisme politik Malaysia bagi Rara adalah akibat daripada kerunsingan dan ketakutan untuk terlibat, selain disibukkan dengan urusan harian serta kurangnya sistem sokongan bagi mereka. Tambah-tambah pula yang bekerja dengan kerajaan.
“Mereka memang tidak berani menonjol, takut kalau apa-apa berlaku terhadap mereka,” jelasnya lagi, sambil berkata bahawa ketakutan kaum wanita yang meminggir daripada aktivisme mendorong beliau untuk lebih ke hadapan.
“Kita perlukan seseorang untuk ke depan dan menjadi contoh, pemimpin dan pembuka jalan.”
“Sekali kita maju setapak, orang yang di belakang akan ikut kita,” tambah beliau.
Ikuti bahagian kedua, kerunsingan anak muda, dan apa yang mereka boleh lakukan demi menyongsong perubahan. #sumber
Post a Comment

Blog Archive

My Blog List

Followers