Krisis Selangor: Khalid MB tanpa parti?

Tindakan Khalid yang enggan berundur dari posisi Menteri Besar walaupun Majlis Presiden Pakatan Rakyat telah bersetuju dengan pencalonan Dr Wan Azizah sebagai MB baru dilihat 'kurang ajar' dalam praktik politik.

Dalam sistem politik Malaysia seseorang dilantik ke jawatan MB dengan persetujuan parti yang menghantar beliau ke jawatan itu. Apabila persetujuan ditarik balik maka jawatan itu diserah kepada orang lain.







Tidak wujud apa yang dikata Khalid rakyat masih suka kepadanya.Sekiranya beliau masuk Umno pun akan ada rakyat yang suka kepadanya. Tetapi bukan rakyat yang dahulunya mengundi Pakatan Rakyat.




Tak suka Khalid

Pengundi PR tidak lagi suka kepada cara Khalid mentadbir. Isu catuan air di Lembah Kelang yang banyak menyusahkan orang ramai pada Mac - April lalu jelas memperlihatkan kelemahan pentadbirannya. Hanya apabila SPAN ingin catuan sehingga Julai barulah Khalid bertindak tidak lagi mengikut syor SPAN. Walaupun paras air empangan sungai Selangor di bawah 55 peratus tetapi selama beberapa bulan tanpa catuan menunjukkan bekalan air tidak bermasalah.

Tindakan mengikut telunjuk pusat itu menjadi duri dalam daging bagi PR untuk merealisasikan visinya memerintah lebih baik dan menjadikan Selangor contoh untuk PR menawan Putrajaya.

Belum lagi isu sampah yang gagal diselesaikan Khalid. Beliau menamatkan kontrak Alam Flora untuk menjimatkan RM10 juta. Bagaimanapun selepas itu sampah bertimbun-timbun dan kekerapan mengutip semakin kurang.

Sampah yang banyak tidak mampu diselesaikan oleh majlis perbandaran. Khalid tidak boleh terlalu berjimat sehingga menyusahkan pentadbiran negeri dan dalam pilihan raya kerajaan hilang kuasa. Kelemahan pungutan sampah mungkin menjadi punca demam denggi yang menjadi wabak di Selangor sekarang ini. Sampah yang tidak dipungut boleh menjadi tempat nyamuk aedes membiak.

Mungkir janji

Begitu juga dengan isu lebuh raya Kidex. Khalid secara terang-terangan memungkiri janji PR untuk tidak membina lebuh raya yang akan menambah masalah kepada rakyat. PR dalam manifesto pilihan raya tidak mahukan pembangunan yang menyusahkan rakyat. Khalid sebaliknya memberi persetujuan kepada lebuh raya itu.

Malah beliau gembira untuk membina tiga lagi lebuhraya baru yang belum tentu kesan baiknya ke atas aliran trafik. Sedangkan manifesto PR adalah mempertingkatkan kemudahan awam. Lebih banyak bas dalam laluan yang sesak bagi mengurangkan penggunaan kereta persendirian.

Sikap bertentangan dengan janji parti yang diberi kuasa tidak dialu-alukan. Bagaimanakah Khalid berkata dia mendapat sokongan rakyat terbanyak?

Sedangkan sokongan itu hanya dijana dengan menyalahguna media kerajaan negeri TV Selangor dan SelangorKini bagi mendewa-deakan beliau sebagai pemimpin terbaik abad ini.

Setelah dua penggal memerintah, rakyat mula muak, sehinggakan kajian Umcedel baru-baru ini mendapati hanya 35 peratus rakyat bersetuju dengan pemerintahan PR di Selangor daripada 50 peratus ketika PRU lalu.

Jelas Selangor akan tumbang sekiranya Khalid terus memerintah. Jadi mengapakah dia berdegil? Adakah mungkin benar spekulasi yang menyebut Khalid sengaja ingin mensabotaj Pakatan? Semua itu akan terjawab sekiranya Selangor mendapat MB Umno dalam PRU 14!




No comments: