Bubarkan saja DUN untuk selesaikan krisis Selangor

Bubarkan saja DUN untuk selesaikan krisis Selangor

Persoalan sama ada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim harus terus memimpin Selangor perlu diselesaikan segera oleh Pakatan Rakyat (PR) sebelum negeri terkaya Malaysia itu mengulangi sejarah Kedah dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang lalu.

Belum terlalu lama untuk kita lupa tentang krisis kepimpinan di negeri jelapang padi itu sebelum PRU13.
Kegagalan PR, khususnya PAS, dalam menyelesaikan masalah di negeri Kedah menyebabkan harga mahal dibayar dalam PRU13.


Akhirnya Kedah yang PR menangi buat pertama kali pada 2008 kembali ke tangan Barisan Nasional (BN) apabila pengundi menghukum melalui kertas undi.
  Selain kehilangan negeri Kedah, PR juga kehilangan beberapa kerusi Parlimen yang mereka menangi pada 2008.

Tidak mustahil sejarah ini akan berulang di Selangor. Rata-rata pengundi atas pagar yang saya temui meluahkan rasa meluat mereka dengan “pergaduhan” pemimpin-pemimpin PR Selangor tentang siapa yang harus berkuasa.

PR silap jika menjangkakan pengundi di Selangor akan terus menyokong mereka secara membuta tuli dalam pilihan raya umum akan datang tanpa menyelesaikan permasalahan di negeri yang seharusnya menjadi contoh kepada kepimpinan gabungan pembangkang di Malaysia.

Dalam suasana sebegini, pemimpin tertinggi PR seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Lim Kit Siang harus menunjukkan “kepimpinan” mereka, bukan hanya tahu mengutuk Umno dan BN sahaja.

Krisis Selangor yang berlarutan menunjukkan betapa tidak sepakatnya pimpinan PR, sehingga menyebabkan ramai yang tertanya, jika masalah Selangor tidak dapat diselesaikan, bagaimana mahu memimpin Malaysia?
Bagaimanapun caranya, Umno berjaya menyelesaikan masalah kepimpinan di negeri Terengganu walaupun Menteri Besarnya Datuk Seri Ahmad Said sempat “berdrama.”

Selemah-lemah Datuk Seri Najib Razak, beliau berjaya menyelesaikan masalah di negeri yang kaya dengan minyak itu, tanpa sebarang masalah secara zahirnya.

Secara batinnya, hanya Umno dan BN yang tahu dan tidak penting bagi rakyat, kerana mereka hanya melihat secara zahirnya sahaja.

Jika PR tidak berjaya mencapai kata sepakat sama ada mahu mengekalkan Khalid atau menggantikannya dengan yang lain agar negeri dapat terus ditadbir, lebih baiklah mandat diserahkan kembali kepada rakyat.
Itulah yang sebaik-sebaiknya kerana lebih setahun selepas PRU13, masalah kepimpinan Selangor masih belum selesai.

Hampir setiap hari kita membaca berita tentang PR mahu menukar menteri besar dan Khalid pula mahu terus kekal.

Sekurang-kurangnya apabila Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dibubarkan, rakyat Selangor boleh memilih kerajaan yang mampu membuatkan hidup mereka sejahtera.

Soal pilihan raya negeri merupakan pembaziran bukanlah satu masalah, kerana itulah harga sebuah demokrasi. Sekurang-kurangnya aktiviti ekonomi di Selangor akan rancak semasa musim pilihan raya.
Semasa tempoh berkempen dapatlah rakyat Selangor berdialog dengan calon yang bertanding tentang pendirian mereka berhubung isu-isu di negeri Selangor seperti Lebuhraya Kinrara-Damansara (Kidex), catuan air, masalah sampah tidak berkutip dan banyak lagi.

Rakyat juga berhak menentukan ke mana wang rizab berbilion ringgit simpanan kerajaan negeri Selangor dibelanjakan.

Paling penting sekali, rakyat Selangor dapat hidup dengan sejahtera selepas pilihan raya tanpa perlu melayan “politicking” yang tidak berkesudahan.

PR bernasib baik kini kerana BN Selangor masih belum mampu menawarkan barisan kepimpinan yang lebih baik daripada mereka.

Namun itu bukan alasan untuk terus bersikap sambil lewa.

Pengundi di Selangor adalah yang paling terdedah dengan maklumat, retorik tidak mampu membeli undi mereka.

Sudah tentu lebih sukar untuk memuaskan hati pengundi di Selangor berbanding negeri-negeri lain.
Kepimpinan PR harus ingat, dalam politik yang paling penting adalah “zahir” dan bukannya “batin.” – 13 Julai, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

No comments: