Wednesday, June 4, 2014

Sistem baru subsidi minyak tambah beban rakyat

Sistem baru subsidi minyak tambah beban rakyat

(Oleh Lyn Nasir)

KUALA LUMPUR 3 JUN: Kerajaan digesa membentangkan cadangan sistem subsidi baru petrol dan diesel di Parlimen untuk dibahaskan bagi mengambil kira bebanan rakyat yang sedia terbeban akibat menanggung kenaikan harga barang, sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Dalam keadaan harga barang terus meningkat dan tangga gaji masih belum berjaya dilonjakkan, sebarang perubahan drastik terhadap harga petrol dan diesel sudah tentu akan mempunyai kesan berganda kepada harga barang.

minyak“Rakyat perlu diberikan masa secukupnya, sekurang-kurangnya setahun untuk memberi pandangan sebelum sistem baru ini berkuatkuasa, mengambil kira kesusahan yang dialami rakyat akibat kenaikan harga petrol, elektrik, gula dan barang-barang keperluan lain,” kata Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli.

“Jadi Barisan Nasional (BN) wajar membentangkan cadangan rombakan sistem ini ke Parlimen sebelum membuat sebarang keputusan,” katanya lagi dalam kenyataan.
BN dilaporkan kini sedang memuktamadkan satu sistem subsidi baru petrol dan diesel untuk golongan tertentu mengikut kadar pendapatan.

Setakat ini, laporan menyebut jumlah pendapatan yang dipertimbangkan adalah RM5,000 ke bawah, manakala individu berpendapatan lebih RM10,000 sebulan perlu membeli pada harga pasaran.
Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan juga bimbang kemungkinan wujudnya pasaran gelap petrol dan diesel jika sistem baru subsidi itu tidak diperhalusi serta dibincangkan secara terbuka.

“Saya khuatir sekiranya sistem baru subsidi ini tidak diperhalusi dan dibincangkan secara terbuka, apabila dilaksanakan kelak ia mewujudkan pasaran gelap petrol dan diesel yang menimbulkan masalah baru lebih besar dari masalah penyeludupan sedia ada kerana ia melibatkan lebih ramai orang dan rakyat biasa.

“Contohnya jika harga subsidi seliter petrol RM2.10 dan harga pasaran adalah RM2.80 seliter, pasaran gelap boleh berlaku apabila kumpulan yang dibenarkan membeli petrol dan diesel pada harga subsidi menjualnya pada harga RM2.30 seliter kepada ejen pasaran gelap, manakala ejen pasaran gelap menjualnya pada harga RM2.50 seliter kepada syarikat, pengusaha dan orang persendirian yang membeli melalui pasaran gelap,” ujarnya.


“Ini sudah tentu tidak berbaloi apabila dibandingkan dengan kepayahan yang dihadapi rakyat akibat kenaikan harga petrol dan diesel serta kesan kenaikan berganda kepada harga barang, sedangkan ketirisan subsidi petrol dan diesel yang dijadikan alasan untuk menukar sistem makin berleluasa,” sambung Rafizi.


Post a Comment

Blog Archive

My Blog List

Followers