Penjawat awam berhak dapat bonus Aidilfitri, bukan ‘sagu hati’

Penjawat awam berhak dapat bonus Aidilfitri, bukan ‘sagu hati’

(Oleh: Lyn Nasir)

KUALA LUMPUR 27 JUN : Pengerusi Biro Pekerja KEADILAN, Abdullah Sani berkata, kakitangan awam di negara ini berhak mendapat bonus daripada kerajaan sempena Ramadhan dan Aidilfitri ini.

Katanya, bonus berkenaan dapat membantu meringakan beban yang ditanggung mereka berikutan kenaikan pelbagai harga barangan, terutama di musim perayaan.
“Kalau kerajaan tak boleh nak bagi, itu salah kerajaan, bukan penjawat awam.
“Pendapatan yang kerajaan dapat setiap tahun daripada cukai dan sebagainya, hasilnya lebih daripada RM220 billion. Wang itu seharusnya diagihkan sebahagiannya kepada penjawat awam,” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa kerajaan memberi pertimbangan khusus dalam memberi sagu hati kepada penjawat awam sempena Ramadhan dan Aidilfitri nanti.

Presidennya, Azih Muda berkata, penjawat awam berasa tertekan ekoran kos sara hidup masa kini dan sedikit suntikan daripada kerajaan mampu mengurangkan beban kewangan mereka. Azih bagaimanapun menafikan pihaknya menyebarkan kenyataan berhubung pemberian bonus tersebut.
Abdullah Sani dalam pada itu kesal dengan istilah saguhati yang digunapakai Cuepacs dalam menuntut pemberian bonus kepada seramai 1.4 juta kakitangan awam di negara ini.

“Sagu hati ibarat macam nak minta sedekah kepada kerajaan. Padahal duit lebihan pendapatan itu adalah duit yang sepatutnya penjawat awam dapat, dan itu dikatakan bonus, bukan sagu hati.
“Cakap saja terus terang nak bonus, apa yang takut sangat?,” Paling kurang pun, mereka berhak untuk mendapat bonus sebanyak sebulan gaji, bukannya dikira sebagai wang sagu hati,” ujarnya.

No comments: