Kedudukan MB Selangor keputusan bersama Pakatan dan kelulusan Sultan, kata Anwar


Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata semua pimpinan parti dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) perlu menghormati peraturan berkaitan isu pelantikan menteri besar Selangor. – Gambar fail The Malaysian Insider, 28 Jun, 2014.  

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata semua pimpinan parti dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) perlu menghormati peraturan berkaitan isu pelantikan menteri besar Selangor. – Gambar fail The Malaysian Insider, 28 Jun, 2014. 


 Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kedudukan menteri besar Selangor tidak pernah ditentukan secara peribadi, sebaliknya dilakukan atas keputusan bersama pimpinan Pakatan Rakyat (PR)
Beliau berkata persetujuan bersama tentang kedudukan menteri besar juga perlu diperkenankan oleh Sultan Selangor.

"Kedudukan menteri besar bukan agenda atau milik peribadi, tetapi merupakan keputusan bersama PKR dan PR dengan perkenan Sultan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Justeru itu, Ketua Umum PKR ‎berkata semua pimpinan parti dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) perlu menghormati peraturan berkaitan isu pelantikan tersebut.
  "Saya menegaskan bahawa semua Adun dan pimpinan parti harus menghormati peraturan dan tatasusila berkaitan isu ini," katanya.
Anwar berkata demikian mengulas mengenai kritikan ‎terhadap Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Khalid hari ini menegaskan beliau tidak akan meletakkan jawatan sebagai menteri besar walaupun tidak menang dalam pertandingan parti.
Ini berikutan kegagalan beliau mempertahankan jawatan sebagai ketua cabang PKR Kuala Selangor dalam menghadapi pencabarnya.

Khalid juga terus dikritik oleh ahli dan pemimpin daripada parti Pakatan Rakyat.
Semalam, Penasihat Air Selangor yang dilantik oleh Pakatan Rakyat, Tony Pua mempersoalkan secara terbuka di media mengapa Khalid pandai berjanji tetapi tidak pandai menunaikannya apabila berhubung isu air.

Pengerusi DAP Selangor itu mendakwa, walaupun awal bulan lalu Khalid berjanji tidak akan ada gangguan bekalan air serius selepas ini, kini Selangor menghadapi kekurangan air.
"Persoalannya mengapakah kerajaan negeri memberikan jaminan tetapi kini berkata 'tidak boleh mengawal Syabas'? Adakah kerajaan negeri mendapat jaminan dari Syabas sebelum memberikan jaminan kepada umum?" katanya.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara antara Ahli Jawatankuasa Penasihat Air kerajaan negeri Selangor yang dilantik Pakatan Rakyat bersama Dr Dzulkefly Ahmad dari PAS dan Rafizi Ramli dari PKR.
Mereka dilantik untuk membantu Khalid dalam urusan penstrukturan semula industri air di Selangor.
Semalam, Khalid dalam reaksinya juga mengatakan kritikan DAP melalui Tony Pua terhadap isu catuan air di Selangor sebagai tidak membina.

Menteri besar Selangor itu berkata, kerajaan negeri sentiasa berusaha keras bagi memastikan bekalan air mencukupi ketika musim panas dan kering melanda negara.

Khalid dalam kenyataannya juga meletakkan kegagalan itu kepada Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) kerana meskipun bersetuju untuk mengambil alih, namun kerajaan Selangor masih belum dapat menguasai sepenuhnya industri air.

‎Ini bukan pertama kali menteri besar itu dikritik parti sendiri. Malah rakan dalam Pakatan Rakyat (PR), PAS yang dahulunya lebih berdiam diri, kini menyertai DAP apabila menyatakan Khalid perlu berundur dari kedudukannya.

Namun Khalid seperti dalam kenyataannya terdahulu tetap menegaskan desakan untuk beliau berundur sebagai menteri besar merupakan perkara biasa yang biasa berlaku dalam arena politik. – 28 Jun, 2014.



No comments: