BN buntu cari calon tanding Anwar

BN buntu cari calon tanding Anwar


ALOR SETAR - Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan BN tenggelam punca sehingga ada cadangan supaya meletakkan jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei sebagai calon pada PRK Dun Kajang.

Berseloroh dengan cadangan itu, Anwar berkata, beliau akan angkat tangan dan menyerah kalah sekiranya perlu bertanding dengan Chong Wei.

“Saya tak mahu lawan dia (Chong Wei), kalau saya lawan dia...kalahlah saya. Tapi itu kalau lawan badminton. Badminton dia menanglah, pilihan raya lain.

“Badminton biar saya kalah, pilihan raya biar saya menanglah. Tapi saya tak fikir dia akan bertanding."

Beliau berkata demikian apabila menyentuh isu PRK Dun Kajang ketika menyampaikan ceramah di Kampung Alor Ibus, di sini, malam kelmarin.

Beliau yang mengakui turut mengagumi kehebatan jaguh badminton negara itu berkata, PRK bukan lagi melibatkan isu 'smash' di gelanggang badminton. Sebaliknya ia adalah soal pentadbiran dan pengurusan sebuah kerajaan negeri.

Dalam pada itu, Anwar turut mengulangi pendirian bahawa keputusan yang diambil beliau untuk bertanding di kerusi Dun Kajang adalah demi kepentingan dan kemantapan Kerajaan Selangor.
Mengakui wujudnya masalah peringkat Kerajaan Selangor, menurut beliau, permasalahan yang ada itu perlu dipulihkan dari awal bermula sekarang.

“Kita mahu kuatkan lagi Selangor, Tan Sri Khalid (Menteri Besar Selangor) buat kerja bagus dan kita kena jadikan beliau sebagai model, tetapi dia diserang dengan kuat.

“Jadi saya berpendapat pimpinan pakatan mesti jadikan Selangor sebagai medan untuk berkhidmat kepada rakyat dan meningkatkan ekonomi rakyat,” tegasnya.

Tambah Anwar lagi, PR akan menggunakan perbelanjaan paling minimum sempena kempen pilihan raya kali ini.

Katanya, sebagai orang yang sudah dikenali rakyat beliau tidak memerlukan perbelanjaan besar untuk mencetak poster kempen dan sebagainya.

“Kita sudah putuskan perbelanjaan paling minimum. Poster saya pun tak diperlukan, melainkan poster calon sahaja. Tetapi kita akan beri penjelasan dan penerangan sepanjang berkempen,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan, Ketua Umno Bahagian Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul berpendapat MCA perlu meletakkan calon popular untuk mengatasi Anwar dan mencadangkan Chong Wei sebagai calonnya. - Sinar Harian



No comments: