Rafizi: Anwar ke Kajang pertahan Selangor jika Najib disingkir

Rafizi: Anwar ke Kajang pertahan Selangor jika Najib disingkir

RafiziKUALA LUMPUR 29 JAN: Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli berkata, pengosongan kerusi Dewan Undangan Negeri Kajang dan meletakkan Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pilihan raya kecil sebagai tindakan untuk mempertahankan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor.

Menurut Rafizi, adalah rahsia terbuka bahawa plot untuk menyingkir Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah dimulakan oleh kem dalam Umno pro-bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Sebagai ahli strategi parti, saya tidak menolak kemungkinan bahawa Najib akan disingkir oleh kumpulan ultra Umno yang diketuai puak Dr Mahathir Mohamad,” kata Rafizi, dipetik dari blognya hari ini.

Kata Rafizi, pentadbiran Menteri Besar Tan Seri Abdul Khalid Ibrahim menunjukkan prestasi baik semenjak enam tahun lepas, namun terdapat ruang untuk diperbaiki dalam banyak bidang terutamanya berhubung dinamik terkini dalaman Umno.

“Sekiranya Najib jatuh, dijangkakan manipulasi terhadap isu-isu perkauman dan agama untuk mewujudkan ketidakpercayaan dan kekecewaan terhadap kerajaan Selangor,” katanya.


Tambah Rafizi, serangan dan rancangan untuk merampas Selangor dengan cara tidak bertanggungjawab akan bermula untuk menyingkir Najib yang kini dalam kedudukan lemah.


Justeru Rafizi menjelaskan kontroversi dan dinamik politik dalaman Umno perlu difahami pimpinan dan penyokong Pakatan Rakyat di seluruh negara berhubung rasional pilihan raya kecil N25 DUN Kajang.


No comments: