Politik anak beranak di Malaysia membimbangkan, kata penganalisis


Bahasa

Politik anak beranak di Malaysia membimbangkan, kata penganalisis

Oleh Hasbullah Awang Chik
July 07, 2013
Penganalisis politik dari Universiti Pengurusan Singapura Prof Madya Bridget Welsh melihat senario pilihan raya umum ke-13 (PRU13) kali ini cenderung mengamalkan politik keluarga apabila ada ahli Parlimen yang terdiri daripada kombinasi bapa dan anak.

Menurut Welsh, situasi ini sebagai satu hal yang tidak sihat dan memerlukan pembaharuan.
“Perkembangan ini dilihat sebagai satu situasi tidak sihat dimana bapa dan anak tidak sesuai jika digandingkan dalam satu sidang Parlimen bersama,” jelas Welsh semasa melontarkan pendapatnya berhubung perjalanan PRU13 di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) hari ini.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan anak sulungnya, Nurul Izzah Anwar masing-masing merupakan anggota Parlimen Permatang Pauh dan Lembah Pantai.

Selain itu Penasihat DAP Lim Kit Siang pula adalah Ahli Parlimen Gelang Patah sementara anaknya Lim Guan Eng adalah Ahli Parlimen Bagan.

Selain itu, Welsh melihat calon muda dan teknokrat tidak kira dari Barisan Nasional (BN) mahu pun Pakatan Rakyat (PR) mencatatkan peningkatan keanggotaan dalam Dewan Rakyat pada sidang Parlimen kali ini.
“Malaysia sebagai sebuah negara muda yang telah mencapai kemerdekaan lebih 50 tahun telah menampilkan calon muda dan pertambahan calon wanita begitu menggalakkan serta mereka yang mewakili badan bukan kerajaan,” jelas Welsh.

Penganalisis itu turut melihat Malaysia kini sebagai sebuah negara yang mempunyai minat yang tinggi terhadap politik apabila orang ramai dilihat gemar berbicara tentang isu politik setiap hari.
“Ketakutan kini seakan sudah lupus dalam hati rakyat Malaysia. Mereka cenderung membicarakan isu politik pada setiap hari.

“Jika dilihat bukan kaum Cina sahaja yang menuntut perubahan dalam PRU lalu tetapi kaum lain turut menyuarakan suara yang sama dengan dibahagikan mengikut pecahan undi di bandar dan luar bandar.
“Penduduk kampung dan mereka yang tinggal di Sabah dan Sarawak cenderung mengundi BN namun pengundi bandar dilihat memilih PR,” tambah Welsh.

Sementara itu, penganalisis politik Prof Dr Syed Arabi Idid pula berpendapat prestasi BN berterusan mencatatkan rekod buruk apabila BN telah hilang dua pertiga kerusi Parlimen dua kali berturut-turut. Beliau juga melihat tsunami Cina hanya berlaku di kawasan pengundinya majoriti berbangsa Cina.


“Pola pengundian tidak banyak terjejas dan tsunami Cina yang didakwa itu hanya berlaku di kawasan yang majoriti pengundinya Cina namun bagi kawasan Melayu tidak banyak perubahan direkodkan.


“Malaysia mengamalkan kemenangan parti dan bukanlah berlandaskan undi popular semata-mata. Imj BN dan Umno dilihat telah memperkukuhkan lagi kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Pengundi kini telah melihat bahawa kini bukan BN sahaja satu-satunya parti yang boleh dipilih malah turut mempertimbangkan PR sebagai parti pilihan mereka berdasarkan PRU lepas.


“PR berjaya mengenegahkan isu jenayah dan rasuah manakala BN pula tidak dilihat sebagai juara dalam isu berkenaan,” tambah Syed Arabi. - 7 Julai, 2013.




No comments: