MB: Isu 500,000 Pengundi Baru Akan Dibawa Ke SPR Bulan Depan


SHAH ALAM, 30 JUN: Pertambahan 500,000 pengundi baru di Selangor akan dibawa ke perjumpaan bersama Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) bulan depan bagi memastikan mereka adalah pemilih yang layak mengundi.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kerajaan negeri sudah mengenalpasti jumlah pertambahan pengundi baru di Selangor dan akan dibentangkannya pada perjumpaan tersebut.
“Perjumpaan saya dengan SPR bulan depan adalah mengenai hasil kajian yang dilakukan dalam mengenalpasti pengundi-pengundi baru dalam senarai yang dikeluarkan SPR sejak 2008,” katanya dalam media Hari Ilmu dan Pesta Buku Selangor 2012 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) hari ini.
Semalam, dilaporkan bahawa SPR mengumumkan akan berjumpa semua parti politik di peringkat nasional dan negeri sebagai persiapan menghadapi pilihanraya umum ke-13.

Timbalan Pengerusinya, Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar menyebut, langkah itu diambil selepas sesi taklimat dan latihan kepada semua pengurus pilihanraya.
Sementara itu, Abdul Khalid berkata, hasil laporan penuh kajian pengundi akan diperolehi minggu hadapan dan senarai nama pengundi baru itu akan dianalisis.
“Pertambahan pengundi baru di 56 kawasan DUN di Selangor akan didekati dan dikenalpasti sama ada mereka berada di alamat yang dicatatkan dalam maklumat yang diberikan oleh SPR,” katanya yang juga Adun Ijok.

Pada bulan April, Kerajaan Selangor melancarkan kempen “Selangorku Bersih” bagi mengenalpasti pertambahan mendadak pengundi baru di seluruh negeri yang meragukan.
Keraguan tersebut timbul kerana, seperti Abdul Khalid dedahkan hari ini, sesetangah kawasan seperti Sri Serdang merekodkan pertambahan pengundi baru seramai 21,000 orang.