AES untuk rompak duit rakyat, bukan kurangkan kemalangan


AES untuk rompak duit rakyat, bukan kurangkan kemalangan

(Oleh Sidiqin Omar)
KUALA LUMPUR 11 Oktober: Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) bukan cara yang betul untuk mengurangkan kes kemalangan jalan raya sebaliknya hanya helah kerajaan untuk mengaut duit rakyat.
Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan, Hee Loy Sian mempersoal tindakan kerajaan BN menguatkuasakan sistem saman trafik elektronik ketika rakyat sedang menghadapi kemelut kenaikan kos hidup.
“Kalau nak kurang kemalangan jalan raya, bukan dengan menggunakan sistem AES. Kerajaan gunakan dua syarikat yang rapat dengan Umno dan MCA untuk menggalakkan kutipan saman.
“Ini membebankan rakyat,” kata Hee ketika ditemui di lobi Parlimen.

Beliau berkata demikian merujuk kenyataan Timbalan Menteri Pengangkutan, Abd Rahim Bakri bahawa semua imej yang dirakam kamera itu sedang dalam proses semakan dan pengesahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebelum saman dikeluarkan.
“Syarikat yang membuat kutipan saman boleh buat ‘untung’. Jika saman kurang lima juta, syarikat tersebut dapat RM16 bagi setiap saman.
“Kalau saman lebih lima juta, syarikat akan berkongsi 50/50 dengan jumlah maksimum RM270 juta. Dari jumlah RM270 juta, dua syarikat tersebut akan mendapat 7.5 peratus dari keseluruhan kutipan saman.

“Pesalah trafik pula dipaksa menjelaskan saman dalam tempoh lima hari,” jelasnya.
Hee kesal dengan sistem saman yang tidak adil kepada pengguna jalan raya. Katanya, pesalah perlu dirujuk kepada mahkamah untuk membuat rayuan. Manakala saman pula dikeluarkan oleh bahagian trafik PDRM.

“Bayaran saman dikutip oleh kontraktor. Saman dikeluarkan oleh trafik dan rayu kepada mahkamah. Tiga pihak yang berbeza untuk bayar atau rayu. Ini menganiaya rakyat,” tegasnya.
Sebelum ini, KEADILAN mendedahkan kutipan saman jalan raya akan dikongsi antara kerajaan dengan dua syarikat pengendali AES, Beta Tegap Sdn Bhd dan Ates Sdn Bhd, yang mana kedua-dua syarikat itu mensasarkan 10 juta saman dikeluarkan setahun, lapor akhbar The Edge.

No comments: