Zunar kepada Najib: Kartunis bukan propagandis!

Saya merujuk kenyataan Perdana Menteri Najib Razak yang menggesa para kartunis supaya menerapkan mesej "1 Malaysia" melalui karya-karya.  Beliau berkata demikian dalam majlis PM Bersama Kartunis di Pasar Seni semalam.  Walau pun ia adalah satu gesaan, tetapi sekiranya ia datang dari mulut Perdana Menteri, ia ditafsir sebagai arahan.

Kartunis adalah insan seni yang melahirkan karya-karya berperanan, antara yang paling besar adalah mengkritik kepincangan, rasuah, salah guna kuasa dan kezaliman pemerintah.  Kerana itu Perdana Menteri (gambar kanan) tak perlu merendahkan martabat kartunis kepada propogandis.  Karya-karya kartun harus dibiarkan berkembang, bukan dipandu untuk menyokong dasar kerajaan.  Karya-karya kartun hanya akan tumbuh subur jika kartunis diberi kebebasan berkarya.

Selain itu, dengan mengajak kartunis menyokong gagasan 1Malaysia, PM mempamerkan sifat hipokrit kerana dalam pemerintahan Najib, kebebasan kartunis paling teruk disekat.  Selain pengalaman saya sendiri yang ditangkap dan buku-buku diharam, semua kartunis-kartunis lain yang berkarya di media-media arus perdana dilarang dari mengkritik kerajaan.  Akta-akta yang menyekat kebebasan kartunis seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan serta akta Hasutan masih dipertahan PM.

Selain itu, karya-karya kartun juga dilarang dalam kempen PRU akan datang.  Secara gambarannya, ini bererti Najib mengikat tangan dan kaki kartunis dengan akta dan peraturan dan mahukan kartunis menyokong beliau?  Mengenai saranan supaya kartunis menyokong kerajaan menerapkan nilai-nilai perpaduan kaum melalui karya-karya mereka, ia adalah wajar tetapi pihak yang hendak disokong mesti terlebih dahulu menyuburkan perpaduan kaum.

Perpaduan kaum unjuran Najib adalah satu "wayang" politik kerana beliau ke sana ke mari menjaja "1Malaysia", tetapi pada masa yang sama mempelopori dan mendokong NGO pemecah belah kaum seperti PERKASA, PEKIDA dan lain-lain.  Kerana itu, 1 Malaysia tidak dilihat lambang perpaduan kaum, sebaliknya adalah lambang rasuah.  Semua perasuah bernaung di bawah lambang tersebut.

Kerana itu, kartunis seharusnya mengkritik pentadbiran Perdana Menteri dan 1Malaysia, bukan menyokongnya!

*Zunar (gambar kiri) adalah salah seorang kartunis politik di Malaysia.  Beliau pernah ditangkap di bawah Akta Hasutan dan tujuh buku-buku kartun beliau diharam.  Tahun lepas beliau dianugerah "Keberanian Dalam Melukis Kartun Editorial 2011" oleh Rangkaian Hak Asasi Kartunis Antarabangsa, Washington.  Beliau juga mengadakan pameran kartun di Bilbao, Sepanyol dan di London hujung tahun lepas dan awal tahun ini.

No comments: