Tangguh Tayang Video BERSIH 3.0 Bukti KDN Hilang Punca


SHAH ALAM, 8 JUN : Kegagalan Kementerian Dalam Negeri(KDN) menyiarkan kompilasi video kononnya berlaku keganasan semasa perhimpunan BERSIH 3.0 membuktikan KDN ada menyembunyikan sesuatu daripada masyarakat.
Perkara ini dinyatakan oleh Pengarah Propaganda Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Edy Noor Reduan yang menyifatkan usaha penyiaran video itu semakin tidak relevan kerana dua bulan kejadian itu berlalu.
Katanya, video itu mengambil masa terlalu lama untuk disiapkan dan berkemungkinan terdapat unsur-unsur suntingan untuk meletakkan kesalahan di sebelah pihak sahaja.
“Lebih malang apabila desakan SAMM sebelum ini berkenaan rusuhan polis langsung tidak diberi perhatian seolah-olah aksi memukul demonstran itu adalah ‘SOP’ yang betul.
“Rakyat menunggu dengan sabar apakah klip keganasan polis akan dimuatkan dalam siaran tersebut ataupun tidak. Namun sehingga hari ini ‘suntingan’ masih tidak siap dan ia jelas membuktikan KDN hilang punca,” katanya.
Berbanding KDN, katanya, SAMM lebih komited memberi gambaran sebenar terhadap insiden yang berlaku semasa BERSIH 3.0 apabila hanya mengambil masa seminggu untuk menerbitkan dokumentari berdurasi 49 minit.
Jelasnya, dokumentari yang dihasilkan dalam bentuk DVD itu lengkap merangkumi peristiwa BERSIH 1.0, 2.0 dan 3.0, selain memberi fokus kepada tuntutan perhimpunan itu.
Beliau berkata, dokumentari bertajuk “Merdeka Rakyat” itu akan menjelaskan segala punca sehingga lahirnya perjuangan BERSIH sejak kali pertama ia dilancarkan pada 2006 sehingga 28 April 2012.
Tambahnya, tayangan video itu akan disiarkan pada malam Pidato Perdana Merdeka Rakyat peringkat Kelantan di Ketereh hari ini.
“Adalah menjadi peranan anak muda SAMM untuk berdepan dan memintas propaganda penuh helah oleh regim yang zalim. Selain itu, semua pihak juga perlu saling menyebarkan maklumat bagi mengambus penipuan,” ujarnya.

No comments: