http://www.suarapakatandaily.com/index.php?option=com_content&view=article&id=1328:demonstrasi-besar-besaran-peneroka-jika-resolusi-ditolak-mazlan-ali

Kerajaan BN akan menghadapi gelombang penentangan besar-besaran sekiranya berdegil meneruskan proses penyenaraian Felda Global Venture Holdings (FGVH) di bursa saham pada Jun depan.

Mazlan berucap

Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) Mazlan Aliman menegaskan, tunjuk perasaan peneroka akan dianjurkan andainya kerajaan enggan mempertimbangkan langkah-langkah alternatif selain penyenaraian.

"Konvensyen hari ini menghasilkan satu resolusi yang akan diserahkan kepada Perdana Menteri supaya beliau mempertimbangkan (kembali) keputusan (penyenaraian).

"Kebimbangan utama kami adalah Putrajaya sedang berusaha mencari dana (melalui proses penyenaraian) bagi menghadapi pilihan raya umum dan bukannya ikhlas untuk membantu meningkatkan imej Felda," katanya dalam sidang media di Konvesyen Halatuju Felda anjuran gabungan Gerakan Selamatkan Felda di Dewan Unisel, Shah Alam, 22 April lalu.

Menurut Mazlan lagi, resolusi mengandungi beberapa cadangan itu akan dihantar kepada Perdana Menteri Najib Razak pada Mei depan untuk dipertimbangkan.

"Sekiranya Perdana Menteri tidak mahu mengambil tindakan, kami akan menggerakkan 1.6 juta peneroka dari seluruh negara untuk mengadakan perhimpunan raksasa sebelum pilihan raya bagi menghalang penyenaraian tersebut," tegasnya.

Tambah Mazlan, antara kandungan resolusi tersebut ialah membayangkan kepada PM risiko penyenaraian dan langkah alternatif yang boleh diambil Felda untuk membantu meningkatkan imej organisasi itu tanpa melalui proses penyenaraian.

10 resolusi yang dicapai semalam adalah:

1. Menentang penyenaraian Felda Global Venture Holdings (FGVH) di atas tiga perkara utama;

a. Penglibatan syarikat yahudi yang merangkumi 20%;

b. Melibatkan tanah Felda Plantation yang sepatutunya diagihkan kepada generasi kedua; dan

c. Melibatkan Koperasi Permodalan Felda (KPF).

2. Tanah Felda Plantation mesti diagihkan kepada generasi kedua Felda dan rakyat yang layak;

3. Koperasi Felda di peringkat rancangan diberi peranan utama mengendalikan kebun-kebun peneroka dan bukannya Felda Technoplant;

4. Membuka peluang pekerjaan kepada generasi kedua dalam perladangan, perniagaan dan seluruh pengurusan Felda;

5. Jawatan pengerusi Felda hendaklah diberikan kepada anak peneroka;

Pemimpin Aank dan tetamu undangan


6. Memperuntukkan kuota ahli lembaga pengarah Felda dan 47 anak-anak syarikat Felda kepada generasi kedua Felda sebanyak 50%;

7. Mewujudkan Universiti Felda untuk melahirkan lebih ramai cendekiawan dan pakar-pakar dalam bidang perladangan, bioteknologi dan sebagainya dari anak-anak peneroka;

8. Mewujudkan perumahan generasi kedua Felda melalui projek Bandar baru Felda;

9. Memberi pembiayaan mudah melalui institusi-institusi kewangan kepada peneroka, generasi kedua dan kakitangan Felda untuk menambah caruman saham dalam Koperasi Permodalan Felda (KPF); dan

10. Menghapuskan hutang-hutang peneroka yang tidak munasabah.

Konvensyen sehari itu disertai oleh beberapa pembentang kertas kerja seperti Bekas Timbalan Gabenor Bank Negara Dr Rosli Yaakub Negara, Dr Kamari Kasan dan lain-lain.

Turut hadir bekas Ahli Lembaga Pengarah Koperasi Permodalan Felda (KPF) Datuk Zainal Hassan, bekas Adun Pulau Manis, Datuk Ariff Sabri, Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli dan Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said.

No comments: