Najib, bilionaire bukan kebanggaan negara la!

Najib, bilionaire bukan kebanggaan negara la!

February 20, 2012

20 FEB — PM Najib sekali lagi tersilap membuat congakan politik. Kenyataan beliau tentang 30 bilionair seperti didedahkan dalam Majalah ‘Malaysian Business’ disangkanya adalah satu yang baik baginya. Najib menyinggung perkara ini ketika memberi ucaputama dalam Debat antara Chua Soi Lek dan Lim Guan Eng semalam dan lebih malang lagi ketika beliau menyebutkan setiap seorang mereka ini menjadi kaya kerana dasar kami BN secara langsung atau tidak langsung.

Sudah sampai masanya supaya pemimpin Umno-BN khasnya Najib, memahami bahawa akibat dari urus-tadbir secara hubungan sumbang — ‘incenstuous-relationship’ antara segelintir pimpinan politik Umno-BN dengan elit bisnes inilah yang dinamakan dalam bahasa ekonominya ‘rent-seeking behaviour — crony capitalism’ atau bahasa mudahnya ‘amalan kronisme’, maka wujud pembolotan kekayaan yang keterlaluan ditangan beberapa individu yang hari ini bergelar ‘billionaires’.

Habuan elit politik mendapat ‘suapan balik’ atau kickbacks dalam pelbagai bentuk — langsung dan tidak langsung — dan susun atur hubungan ini kekal dalam satu amalan ‘patronage’ dan kronisme yang berakhir dengan fenomena elit kewujudan ‘super-rich’. Golongan ini didakwa kemudian berperanan mengekalkan sistem ‘patronage’ dan amalan kronisme ini dengan ‘membiayai kantong politik pemerintah’.

Contoh musim pemberian projek mega-besar adalah juga seperti sekarang ini, yakni sebelum pilihan raya. Lebih besar dan berbilion ringgit lebih baik untuk penguasa kerana ‘kickbacks’ atau ‘payback’ atau ‘bayaran-balik’ pun besar. Kalau 10 peratus yang dituntut seseorang menteri itu sudah difikirkan banyak bagi rakyat — ini saya tahu sendiri amalan biasa sebab didedahkan oleh seorang pemaju yang saya kenal sendiri yang mengaku ‘membayarnya kickback’ (baca rasuah) sendiri kepada menteri itu secara ‘upfront’ maka ‘kickbacks’ untuk parti-parti pemerintah sebagai ‘wang politik’ untuk pilihan raya dikatakan biasa sahaja oleh mereka yang telah mendapat projek mega-mewah ini.

Projek penswastaan seperti lebuhraya, utiliti seperti air dan tenaga (IPP) dan perkhidmatan lain telekomunikasi, pelabuhan, pembentungan, Pos, perkhidmatan kesihatan, itu yang menjadikan kewujudan ‘super-rich’ segera itu fenomena yang menjadi rahsia umum.

Meneliti setiap satu nama dari 30 bilionaire akan mendedahkan kepada umum, siapa sebenarnya entrepreneur yang bermula dari bawah dan akhirnya membina kekayaan dari titik-peluh mereka sehingga menjadi ‘bilionaire’.

Yang ‘bilionaire segera’ ciptaan Tun hari ini punya hutang sepuluh kali-keliling pinggang..nama-nama tak payah saya sebutkan dah jadi rahsia umum juga! Semasa zaman mewah atau ‘boom time’ dahulu ini, mereka digelar ‘harimau’ atau ‘tiger’ baru dunia korporat Malaysia tetapi tatkala ekonomi Asia mengalami ‘meltdown’ atau ‘merudum’ mereka dipanggil dengan joolokan ‘Fat Cat’ atau ‘Kucing Gemuk’.

Tidak semua ‘billionaires’ dunia seperti Warren Buffet, Donald Trump dan Bill Gate, lahir dari amalan kronisme pemerintah tetapi hampir semua billionaires di negara, kecuali segelintir sahaja, lahir dengan cara begitu di negara Malaysia Boleh ini! Sebab itu Najib berbangga mendedahkan hakikat itu.

Berkebetulan perkara inilah yang menjadi sanggahan utama YAM Tengku Razaleigh ketika mengecam tentang penyelewangan urusan tadbir pembangunan ekonomi di negara sejak awal tahun 80an ketika pemulaan negara mula dipimpin Tun Mahathir. Program penswastaan gelombang pertamanya secara agresif akhirnya menjana ‘jutawan segera’ dan sebilangan mereka menjadi ‘bilionaire’ segera.

Tengku menyifatkan gejala hubungan inilah yang melahirkan berleluasanya ‘politik wang’, kronisme dan kegagalan mencapai ‘pengagihan kekayaan’ yang dihasratkan ketika Rancangan Malaysia ke-dua lagi.

Najib wajar tahu bahawa negara mempunyai beberapa kegagalan utama yang beliau gagal tangani dan tidak pun menjadi fokas nya untuk ditangani, bahkan telah menjadi lebih buruk ketika beliau mengambil alih kepimpinan negara. Mutakhir ini, dalam gelombang penswastaan ke-2, Najib jelasnya hanya memberikan kepada ‘1-bilionaire’ sesuai dengan slogan 1-Msianya agaknya, yang berada dalam ranking no.5 dengan jumlah aset (NTA) RM5.9bilion.

Najib wajib malu dengan kesenjangan atau jurang kaya-miskin yang terus melebar di negara. Malaysia merupakan negara paling corot dalam tangga ‘agihan kekayaan’ dalam negara Asean. Dengan kata lain amalan kapitalisme kronisme paling tinggi di negara ini. Bilionaire bukan ciptaannya pun cuma beliau merancakkan lagi pembolotan kekayaan itu kepada kroni-kroni barunya dalam amalan legasi bos lamanya.

40 peratus pendapatan isi-rumah kurang dari RM1,440 dan hampir 60 peratus dalam lingkungan RM3,000 sebulan. 80 peratus dari pendapatan isi-rumah kurang dari RM1,000 adalah Melayu- Bumiputera (sumber EPU, 2011)!

Ini gejala ekonomi yang terperangkap dalam jajaran atau regim “Pendapatan Sederhana” yang dikiritik teruk oleh Bank Dunia dengan kenaikan gaji sebenar (real wage) hanya 2.6 peratus sahaja dalam sau dekad lalu mengikut Bank Dunia itu.

Jurang kekayaan (wealth disparity) lebih parah dari jurang pendapatan (income disparity). 90 peratus rakyat Malaysia tidak ada simpanan dan 14 peratus rakyat Malaysia tidak ada langsung apa jua kekayaan dalam bentuk aset dan dari kelompok itu 72 peratus adalah dari kelompok Melayu-bumiputera.

Lebih khusus lagi 80 peratus rakyat Malaysia yang terbawah hanya memiliki 5 peratus aset kewangan negara sementara 20 peratus golongan teratas memiliki 95 peratus dari ‘financial asset’ di negara ini (dengan tidak mengambil kira NTA yang dimiliki kelompok ‘super-rich’).

Daripada berkokok mengisytiharkan bahawa kerajaan BN lah yang menjadikan mereka ‘bilionaires’, satu perkara yang saya yakin, juga memalukan dan mengaibkan mereka, lebih baik Najib memfokas mengeluarkan negara dari pelbagai kebejatan ekonomi dan kewangan termasuk kebocoron akibat rasuah dan penyalahgunaan kuasa, ketirisan dalam sistem penghantaran (delivery), keborosan, kelembapan pelaburan asing langsung, pergantungan kepada warga asing yang ‘low-skill’ serta ketinggalan dalam pembinaan ‘human capital’ untuk membuat lonjakan kepada ekonomi berpendapatan tinggi dengan industri yang punya ‘nilai-tambah’ yang juga tinggi.

Ini yang menjadi cabaran ekonomi negara dan pengurusan yang terus-terusan tempang dan tidak pruden. Rakyat termasuk pembangkang akan boleh bersorak jika kerajaan mengatasi kemelut ekonomi ini. Tetapi ke garis penamat ini, rakyat masih memerhatikan kedudukan tetap sama bahkan di segi beberapa segi semakin buruk lagi. Rakyat tidak berbangga dengan ‘super-rich-billionaires’ ya!

Pakatan Rakyat bukan hebat sangat, tetapi nampak nya Umno-BN semakin teruk. Maka jangan mintak ‘mandat dari rakyat’ lagi, kalau hanya sekadar mahu mengulangi kerja dan kegagalan yang lama. Pakatan sedia mengambil alih tetapi mesti dengan sokongan Rakyat!

* Segala pandangan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.

No comments: