Nurul Izzah: Cinta kepada Anwar bukan hanya kerana beliau bapa saya

Nurul Izzah: Cinta kepada Anwar bukan hanya kerana beliau bapa saya

Lim Hong Siang

Seperti biasa, Anwar Ibrahim tampil berucap dengan karismanya, diselit dengan jenaka - seolah-olah tidak terusik dengan keputusan Mahkamah Tinggi yang bakal diumumkan pada 9 Januari 2012. Anak sulungnya, Nurul Izzah pula merenung bapanya yang sedang berucap di atas pentas - mungkin antara ceramah terakhir jikalau situasi paling buruk berlaku.

"Kita semua terpegun dengan semangat beliau, kerana apa yang beliau lalui bukan sesuatu yang mudah," kata Nurul Izzah (gambar kiri), bersetuju dengan apa yang disifatkan Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Faekah Husin bahawa Anwar kelihatan kuat dari segi penampilannya, namun kesemua ini gagal menafikan realiti bahawa "beliau bukan lagi muda".

Nurul Izzah tidak menyelindung kebimbangannya terhadap ayahnya, yang kini mengalami kesakitan bahagian belakang tubuhnya, pada usia 65 tahun. Pengalaman silam antara sebabnya, apabila dikhabarkan Anwar diracuni arsenik ketika berada dalam penjara. Kegelisahan sedikit pun tidak terhakis, melihat kepada sistem pada hari ini, yang tidak diyakini Nurul Izzah.

"Saya merenung kembali, cuba menahan rasa takut, rasa sedih. Kerana pada saya, apapun, bila kita berbuat sesuatu, kita kena ikhlas, termasuk bila ayah berbuat sesuatu. Ayah ada semangat dan sebab musababnya sendiri," kata Nurul kepada MerdekaReview, selepas ceramah umum di Dewan Gasing Indah, Lembah Pantai, semalam.

Untuk seorang anak, tiada pengganti untuk bapanya, biar apapun yang dipertikaikan untuk tujuan perkiraan politik. Pertarungan politik terdedah kepada pelbagai kemungkinan dan risiko, dan ada sebab untuk ahli parlimen Lembah Pantai ini gusar terhadap keadaan bapanya - yang akan berdepan dengan ketidaktentuan pada 9 Januari 2012.

"Semua perjuangan kita setakat ini memberi lebih banyak sebab kenapa kita mesti terus melawan Barisan Nasional. Kerana selagi tidak digantikan pimpinan yang dapat mengembalikan kewibawaan sistem kehakiman, pihak polis, media, selagi itu kita akan berhadapan dengan perkara-perkara sedemikian," katanya.

Bagaimanapun, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat ini tidak melihat keluarganya sahaja yang mengharungi penderitaan ini, ketika ditanya perasaan beliau selaku ahli keluarga Anwar Ibrahim. "Bukan soal Anwar Ibrahim sahaja, saya nampak begitu ramai keluarga, keluarga Ahmad Sarbani, Aminulrasyid, Teoh Beng Hock, yang merana kerana tidak mendapat keadilan. Maka, mereka tahu ada campur tangan luar dalam penghukuman, dalam penghakiman."

Beliau mengambil kesempatan membuat seruan, "Harap kita jangan terlepas peluang dalam PRU 13 kerana tidak banyak peluang yang akan datang lagi."

Sebelum tamatnya wawancara yang singkat ini, Nurul Izzah ditanya apakah yang paling ingin diucapkan kepada bapanya, sebagai seorang anak, "Beliau tahu, apa yang saya rasakan untuk beliau, bagaimana saya ambil berat dan sayang kepada beliau. Dan beliau tahu cinta dan sayang saya untuk beliau disokong dengan prinsip, dan kerana apa yang beliau perjuangkan untuk rakyat."

"Itu bukan hanya kerana beliau bapa saya. Kerana saya membesar, melihat apa yang beliau lakukan. Dan saya ingin berterima kasih kepada papa," luahan Nurul Izzah.

Baca Wawancara pada November 2010: Nurul Izzah: Dia bukan Anwar kalau tak berjuang untuk kepercayaannya

No comments: