Selepas Wan Azizah Siapa Pula Mangsa Shahrizat?

KOMENTAR : Setelah diserang dengan pelbagai pendedah dan pembongkaran skandal Projek Fitlot Kebangsaan (NFC) serta dihimpit dengan tekanan Perhimpunan Agung Umno yang baru lengsai akhirnya Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil 'melatah sumbang' menyerang Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Ismail.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu bagaikan tidak lagi mempunyai jalan keluar selain menebar 'peluru penabur' kepada sesiapa sahaja asalkan mengena.

Shahrizat mungkin telah menduga skandal penyelewengan peruntukan kerajaan berjumlah RM250 juta kepada NFC, yang mana suami beliau, Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail menjadi pengerusi eksekutifnya akan menjadi perhatian utama perwakilan dalam perhimpunan Agung Umno kali ini.

Dalam ucapannya di Perhimpunan Agung Wanita Umno baru-baru ini, Shahrizat berkata beliau tidak ada kaitan dengan projek NFC itu. Shahrizat mungkin menarik nafas lega apabila tiada perwakilan wanita menimbulkan isu penyelewengan tersebut ketika perbahasan ucapan dasar beliau.

Setelah enggan melayan pertanyaan wartawan sebelum ini yang meminta respon berhubung cabaran Ketua Wanita PKR, Zuraidah Kamaruddin supaya beliau segera meletak jawatan sebagai anggota kabinet, Shahrizat bagaikan 'kerasukan' dan hilang kawalan.

"Saya cabar Ketua Wanita PKR yang mendesak saya letak jawatan hanya kerana suami saya Pengerusi NFC, sedangkan saya tidak ada kene mengena.

"Saya nak minta hari ini supaya Wan Azizah letak jawatan sebagi Presiden PKR kerana angkara suaminya yang tidak tergamak saya sebutkan." katanya ketika ucapan dasar perwakilan Wanita Umno.

Berdasarkan kenyataan Shahrizat, jelas beliau tidak memahami antara kepentingan peribadi dan kepentingan awam yang membabitkan dana rakyat dan wang pembayar cukai.

Atau mungkin inilah juga mentaliti pemimpin-pemimpin Umno yang beranggapan harta dan khazanah negara adalah milik peribadi.

Dana rakyat

Shahrizat mungkin lupa bahawa perlantikan Wan Azizah melalui sistem pemilihan yang sah dalam parti dan deretan fitnah yang di kenakan ke atas Anwar (Suami Wan Azizah) tidak melibatkan satu sen pun wang rakyat.

Sedangkan kes NFC yang membabitkan suami beliau bukan sahaja melibatkan wang rakyat malah berlaku penyelewengan yang dashat.

Shahrizat salah sekiranya menyatakan bahawa apa yang suami beliau lakukan tidak ada kena mengena dengan beliau. Projek tersebut diperoleh suami beliau di saat beliau menjawat jawatan sebagai menteri kabinet dan Ketua wanita Umno.

Sekiranya Shahrizat mempunyai nilai murni seorang pemimpin yang peka dengan rakyat setentunya apabila projek tersebut di peroleh oleh suami, Shahrizat akan mengelak dari melibatkan suami beliau dalam projek kerajaan.

Sebagai seorang menteri dan orang politik senior, Sharizat setentunya faham dengan delima kronisme dan konflik kepentingan yang selama ini dikaitkan dengan salah guna kuasa dalam kerajaan.

Atau mungkin inilah amalan turun temurun yang ada dalam Umno-BN sehingga semua pemimpinnya dan keluarga serta suku sakat mereka akan diberi projek-projek berjuta-juta ringgit.

Justeru istiadat turun temurun ini telah menutup mata hati Shahrizat untuk melihat kesan sekiranya penyelewengan sebegini dibongkar rakyat.

Harga diri wanita

 Gesaan oleh Ketua wanita PKR, Zuraidah Kamaruddin supaya Shahrizat berundur dari kabinet Najib bukan diasaskan oleh serangan peribadi.

Kenyataan Zuraidah ketika Kongres PKR ke-8 di Johor Bharu baru-baru ini mempunyai hubung kait dengan martabat kaum wanita yang perlu di terjemah bukan sahaja hebat sebagai ibu dan pengasuh yang baik tetapi sebagai pemimpin yang bermaruah.

Tuntutan Wanita PKR yang mahukan penyertaan 30 peratus wanita sebagai calon dalam PRU ke-13 adalah relevan memandangkan penyertaan wanita dalam politik bukan lagi sekadar mengisi koata tetapi suatu keperluan.

Pelbagai kes yang membabitkan pengabaian kadak-kanak dan remaja yang amat membimbangkan di lihat perlu ditangani dengan segera. Dan peranan dan suara wanita diperlukan untuk membawa iu-isu sebegini kehadapan.

Justeru skandal melibatkan keluarga Shahrizat serta kedudukan beliau sebagai seorang menteri wanita dalam kabinet kerajaan telah memalit 'aroma' yang memalukan kaum hawa tersebut.

Saranan Zuraidah supaya Shahrizat meletak jawatan sebagai anggota kabinet sangat bertepatan dengan usaha untuk memertabatkan kaum wanita yang bakal menjadi pemimpin di masa depan.

Dalam kata lainnya, dengan pendedahan oleh Laporan Ketua Audit negara itu telah meletakkan Shahrizat sebagai antara wanita pertama yang telah mencemarkan nama baik kaum wanita di negara ini.

Sentimen ini sekali gus akan menghilangkan keyakinan rakyat kepada kemampuan wanita dalam mengendalikan urusan politik negara.

Shahrizat seharusnya lebih 'rendah diri' untuk meletak jawatan dan bukannya menyerang Zuraidah, Wan Azizah atau sesiapa sahaja. Beliau harus melihat sejarah dan sedar bahawa lantikannya sebagai menteri bukan berdasarkan prestasi sokongan rakyat.

Shahrizat kalah di parlimen Lembah pantai kepada anak Wan Azizah, Nurul Izzah Anwar.

Lalu beliau 'dipungut' oleh Najib disebabkan ketiadaan calon wanita dalam kabinet. Justeru sebagai Ketua Wanita Umno, Shahrizat mendapat ihsan tersebut.

Keuntungan politik

Berdasarkan ritual politik, keengganan Shahrizat meletak jawatan sebagai menteri memberi kemenangan besar kepada Pakatan Rakyat. Ini membenarkan lagi betapa skandal kronisme dalam Umno dan kerajaan bukan sekadar polimik pembangkang tetapi sebuah kenyataan yang ada realitinya.

Lantaran itulah Zuraidah dan lain-lain pemimpin Pakatan Rakyat tidak mendesak Shahrizat meletak jawatan sebagai Ketua Wanita Umno. Ini disebabkan beliau telah menjadi 'ikon' kepada amalan kronisme dalam Umno yang berjaya didedahkan kepada umum walaupun banyak kes-kes sebegini masih tertutup rapat.

Dalam masa yang sama, kredibiliti Najib sebagai perdana menteri yang tidak mengambil sebarang tindakan juga dilihat sebagai kelemahan beliau sebagai pentadbir yang menerajui kepimpinan negara.

Ini membenarkan lagi tanggapan selama ini bagaimana pemimpin-pemimpin Umno cuba mempertahankan kroni-kroni mereka sehingga sanggup berpatang arang berkerat rotan.

Mungkin juga sekiranya tidak dipertahankan akan lebih terbongkar lebih banyak kes-kes kronisme yang gagal diselidik oleh Ketua Audit negara.

Sikap pasif sebegini sekali gus membuktikan retorik Dasar tranformasi yang cuba diketangahkan Najib sama nilainya dengan 'transfer-money' oleh NFC dari menternak lembu kepada membeli kondominium mewah, membeli tanah dan kereta mewah oleh syarikat yang diberikan kepada keluarga Shahrizat.

Desakan letak jawatan

Shahrizat tidak perlu 'kerasukan' apabila disaran untuk meletak jawatan. Bukan sahaja pembangkang menggesa beliau berbuat demikian malah dikalangan pemimpin Umno sendiri.

Persoalannya, mengapa beliau tidak meluahkan kerasukan tersebut kepada Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Mokhtar yang juga menggesa beliau meletak jawatan.

Bung Mokhtar mendakwa kes Shahrizat bukan sahaja mencemar imej parti malah menggadai maruah beliau sebagai pemimpin.

Bung yang juga Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BNBBC) berkata beliau akan melepaskan jawatan sekiranya berada di posisi Shahrizat.

Sementara Ketua Umno Bahagian Cheras, Syed Ali Alhabsee juga mempunyai pendirian yang sama agar beliau melepas jawatan sebelum menunggu isyarat dari pimpinan tertinggi memberikan lampu hujau.

Sebelum itu juga, Presiden Kongres Melayu Pulau Pinang, Rahman Ishak membuat kenyataan yang sama yang menyifatkan skandal tersebut sebagai sesuatu yang amat malang kepada negara sehingga menghilangkan keyakinan rakyat kepada pemimpin negara.

Apapun Shahrizat perlu melihat isu perletakan jawatan beliau sebagai menteri dan skandal NFC yang melibatkan suami beliau sebagai isu moral dan harga diri yang membabitkan kepentingan wang rakyat dan pembayar cukai.

Shahrizat juga harus sedar, sejarah negara tidak akan mencatatkan beliau sebagai 'wanita besi' yang sanggup mempertahankan jawatannya. Tetapi nama beliau akan dipahat sebagai 'replika' betapa'dahsyat' amalan kronisme dalam Umno yang tidak memilih sesiapa, hatta seorang wanita.

No comments: