Jerat UMNO, Utusan untuk Hasan Ali

Daing Yahya

Setelah perhimpunan agung UMNO puas memaki dan memfitnah DAP, kini lidah rasmi parti itu Utusan Malaysia kembali memasang jerat "percintaan" di antara PAS dan UMNO. Isu yang dibangkitkan adalah pemimpin PAS Selangor Hasan Ali yang diketahui umum berbeza pandangan dalam beberapa perkara melibatkan pelaksanaan dasar kerajaan negeri Selangor.

Perbezaan pendapat

Walau pun perbezaan pendirian itu tidak bermakna prinsip perjuangan politik beliau sudah berubah, Utusan melalui kolum "Cuit" tulisan pengarang kanannya Zaini Hasan, sengaja membangkitkan pergeseran politik di antara Hasan Ali yang juga EXCO kerajaan negeri Selangor dan beberapa tokoh politik Pakatan Rakyat.

Perbezaan pendapat dalam proses pelaksanaan sesuatu agenda sebenarnya indikasi politik yang demokratik. Mungkin itu sesuatu yang tidak akan difahami oleh Utusan Malaysia yang menganut ajaran ketuanan satu kaum.

Sedangkan jika Utusan dan pengarang kanannya membuka mata, mereka akan melihat perbezaan pendapat di antara Presiden UMNO Najib Razak dan tokoh besar UMNO Tengku Razaleigh Hamzah dalam banyak perkara.

Perbezaan mereka begitu ketara sehingga Ku Li menubuhkan Angkatan Amanah Merdeka (AMANAH) untuk bersuara kerana ruang untuk meluahkan pandangan semakin sempit dalam parti itu.

Adakah ini bermakna Ku Li membenci UMNO yang didokongnya sekian lama dan mahu keluar dari UMNO?

UMNO memancing Hasan Ali

Memancing Hasan Ali agar segera melompat ke dalam UMNO dalam persiapan Barisan Nasional untuk menawan kembali Selangor pada pilihan raya yang akan datang, hanya akan merosakkan imej pemimpin PAS itu sendiri secara peribadi.

Malah ia tidak membawa apa-apa makna kepada UMNO kerana parti itu sangat menolak pelaksanaan hukum hudud sedangkan Hasan mendukung hudud. Bukankah itu sangat hipokrit kepada kedua-dua belah pihak?

Strategi murahan pengarang kanan Utusan itu tidak menunjukkan sikap politik yang bijak. Tetapi apalah yang diharapkan sangat daripada lidah rasmi UMNO itu. Seperti mana UMNO sekarang, Utusan hari ini bukan lagi suara perjuangan umat Melayu menentang Malayan Union pada 1946 atau menuntut Merdeka pada 1957.

Hasan sebagai pemimpin PAS bukanlah ahli politik yang mudah gelap mata dengan tawaran wang, jawatan atau gelaran sebagai hero Melayu di Selangor. Rakyat di Selangor tahu bahawa beliau tidak bercita-cita untuk menjadi wira, apatah lagi hero buatan UMNO.

Malah beliau sendiri pernah menuturkan bahawa perjuangannya hanya untuk mengharapkan keredhaan Allah dan balasan syurga.

Erti gelaran hero

Apalah sangat gelaran hero UMNO ini. Malah kita pelik, mana dia hero Melayu dari parti UMNO yang sebelum ini diwarwarkan sebagai yang paling hebat di Selangor? Senator Ezam Mohd Noor sudah tidak bertenaga lagikah? Atau Noh Omar sudah karamkah?

Maka tidak perlulah Utusan bersusah payah untuk memancing Hasan Ali menyeberangi ke kapal UMNO yang hendak karam itu. Hasan lebih sedar bahawa jika UMNO menang sekali pun di Selangor, tiada apa-apa yang UMNO janji dan berani lakukan kecuali hanya "janji-janji manis" yang biasa dituturkan sepanjang zaman.

Sekali pun Hasan Ali mempunyai pengaruh besar di Selangor, kita yakin beliau lebih redha jika gelaran hero yang ingin Utusan nobatkan itu datangnya dari rakyat Selangor sendiri.

Tiada apa-apa harga gelaran hero yang diberi oleh Utusan. Ia lebih merupakan jerat terhadap Hasan.

Jika Sultan Selangor mengurniakan anugerah kepada Hasan Ali, ia adalah pengiktirafan kepada PAS dan kerajaan negeri Pakatan Rakyat.

Tentunya rakyat Selangor gembira dengan pengiktirafan diraja untuk pemimpin kerajaan negeri Pakatan Selangor.

*Tulisan ini dipetik dari Roketkini.com.

No comments: