UMNO gagal ditubuhkan jika RUUPA dikuatkuasa tahun 1946

UMNO gagal ditubuhkan jika RUUPA dikuatkuasa tahun 1946

Lim Guan Eng | Nov 29

Tuan yang dipertua,

Di ambang Hari Malaysia yang ke-48 pada 15 September 2011, Perdana Menteri telah mengumumkan bahawa Kerajaan akan mengkaji semula Seksyen 27 Akta Polis untuk menyelaraskannya dengan Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan rakyat untuk "berhimpun secara aman dan dengan tidak bersenjata", dan supaya mematuhi norma-norma antarabangsa.

Malangnya, tidak disangka bahawa negara-negara "antarabangsa" yang dirujuk beliau merupakan negara-negara Zimbabwe dan Myanmar.

Namun sekarang, nampaknya negara Myanmar pun sudah menjadi sebuah negara demokratik yang lebih bebas jika dibandingkan dengan Malaysia. Rang Undang-Undang yang baru diluluskan oleh Parlimen Myanmar hanya memerlukan pemberitahuan awal kepada pihak polis selama 5 hari, manakala Rang Undang-Undang yang dibentangkan dalam Dewan yang mulia ini memerlukan pemberitahuan yang jauh lagi awal.

Sungguhpun Perdana Menteri mengumumkan pindaan akan dibuat agar notis pemberitahuan dipendekkan daripada 30 hari kepada 10 hari, ia jauh lebih panjang daripada apa yang diamalkan daripada sebuah negara berkuku besi seperti Myanmar. Adakah Malaysia kini lebih teruk daripada Myanmar?

Ini jelas membuktikan bahawa Program Transformasi Politik yang diuar-uarkan adalah satu penipuan semata-mata. Dalam ucapannya tempoh hari, Perdana Menteri telah menyatakan bahawa Rang Undang-Undang ini akan menjamin hak rakyat untuk berhimpun secara aman dan tanpa bersenjata, tetapi hakikatnya Rang Undang-Undang ini adalah satu cubaan untuk meningkatkan kawalan dan larangan ke atas hak rakyat untuk berhimpun secara aman.

Jelas juga bahawa Rang Undang-Undang yang dicadangkan ini telah mengambil petikan-petikan yang berbunyi merdu daripada undang-undang negara demokratik lain seperti Queensland dan United Kingdom, dan telah memutar-belitkannya kepada alat untuk menindas rakyat. Saya ingin bertanyakan samada Rang Undang-undang ini diciplak daripada model Queensland Peaceful Assembly Act 1992 dan sekiranya ia mengapa tidak mengikuti keseluruhannya yang berteraskan hak asasi manusia. Sebaliknya yang baik tidak diikuti iaitu Rang Undang-undang ini telah ambil yang keruh, buang yang jernih pula.

Dalam versi Queensland, hanya notis lima hari diperlukan di bawah seksyen 10 di mana ia dianggap diluluskan sekiranya tidak ada perintah mahkamah yang menghalang/mengharamkannya seperti berikut:-

Approval of public assembly

(1) A public assembly is taken to have been approved for the purposes of section 7(c) if, after the giving of the assembly notice for the assembly -


(a) the required notice of permission for the assembly has been given to the organiser of the assembly; or
(b) if the assembly notice was given not less than 5 business days before the day on which the assembly is held—a Magistrates Court has not made an order under section 12 refusing to authorise the holding of the assembly; or
(c) if the assembly notice was given less than 5 business days before the day on which the assembly is held—a Magistrates Court has made an order under section 14 authorising the holding of the assembly.

(2) The required notice of permission for a public assembly is—

(a) a notice by the Commissioner stating that the Commissioner does not oppose the holding of the assembly; and
(b) if the assembly notice was given to a local authority—a notice by the local authority stating that the authority does not oppose the holding of the assembly; and
(c) if the place of assembly is a place for the time being open to or used by the public by the express or implied consent of the owner or occupier or on payment of money—a notice by the owner or occupier of the place consenting to the holding of the assembly.

(3) A notice mentioned in subsection (2) must be in writing.


Tuan yang dipertua, biarkan saya mengulas.

Pertama sekali, saya ingin menyentuh tentang salah satu kehendak atau keperluan dalam Rang Undang-Undang ini yang telah menjana pelbagai kontroversi. Keperluan untuk memberi pemberitahuan awal kepada pihak polis jelas bertujuan untuk menangguhkan perhimpunan selama mungkin supaya tujuan perhimpunan akan menjadi lapuk. Ini adalah satu muslihat yang kotor, dan sekarang Kerajaan pun terpaksa membuat "go-astern" untuk mengkaji semula tempoh pemberitahuan. Walau pun dikurangkan kepada 10 hari, ia tetap 10 hari terlalu lama.

Di UK dan Queensland, langsung tidak ada kewajipan untuk memberi pemberitahuan awal kepada pihak polis, melainkan dalam keadaan tertentu. Di UK, pemberitahuan enam hari awal hanya diperlukan apabila perarakan awam akan diadakan, iaitu untuk tujuan mengurus dan menyenggarakan aliran trafik. Di Queensland, pemberitahuan lima hari bekerja hanya diperlukan apabila perhimpunan itu memerlukan imuniti daripada kesalahan menghalang laluan awam di bawah Akta Trafik.

Bagi Rang Undang-Undang yang sedang dicadangkan dalam Dewan yang mulia ini pula, pemberitahuan diperlukan bagi semua perhimpunan awam kecuali di sesuatu tempat perhimpunan yang ditetapkan oleh Menteri atau jika jatuh di bawah Jadual Ketiga.

Definisi tempat awam pula termasuk apa-apa kawasan yang terbuka kepada umum seperti hotel, restoran atau dewan kuliah, dan kegagalan untuk memberi pemberitahuan awal akan mengakibatkan denda maksima RM10,000. Lagipun kegagalan untuk bersurai akan dikenakan denda maksima RM20,000. Denda dua kali ini RM10,000 dan RM20,000 adalah lebih berat berbanding dengan hukuman perhimpunan haram sebelum ini sekali sahaja sebanyak maksima RM10,000/-.

Kedua, definisi perhimpunan yang digunakan adalah terlalu lebar sampai pelbagai acara yang biasa juga termasuk sebagai sesuatu perhimpunan dalam konteks Rang Undang-Undang ini. Oleh kerana itu, Jadual Ketiga terpaksa ditambah untuk menjelaskan jenis-jenis perhimpunan awam yang dibenarkan tanpa pemberitahuan kepada pihak polis.

Namun begitu, skop Jadual Ketiga ini jelas mempunyai pelbagai kekurangan. Sebagai contoh, perhimpunan keluarga dibenarkan tetapi bagaimana dengan perhimpunan sekumpulan sahabat? Perhimpunan perkahwinan dibenarkan tetapi bagaimana pula dengan majlis harijadi yang tidak ternyata dalam Jadual Ketiga?

Mengikut Rang Undang-Undang yang dibentangkan ini, pemberitahuan 10 hari perlu diberi kepada pihak polis jika sesiapa ingin mengadakan majlis ulangtahun perkahwinan atau majlis harijadi di sebuah tempat awam seperti hotel atau restoran, kecuali jika tempat perhimpunan itu telah ditetapkan oleh Menteri.

Tambahan pula, Menteri mempunyai kuasa tanpa batasan untuk meminda Jadual Ketiga dan untuk menetapkan atau menarik balik tetapan yang diberi kepada sesuatu tempat. Apakah yang akan berlaku jika Menteri secara tiba-tiba membuat keputusan bahawa majlis keluarga juga tidak boleh diadakan tanpa pemberitahuan kepada pihak polis? Bagaimana jika Menteri memutus untuk menarik balik ketetapan sesuatu hotel sebagai tempat perhimpunan yang sah? Kuasa arbitrari yang terletak di tangan Menteri ini adalah tidak wajar sama sekali dan akan mengakibatkan banyak masalah.

Ketiga, Rang Undang-Undang ini memberi pihak polis kuasa untuk mengenakan pelbagai sekatan dan syarat ke atas tarikh, masa dan tempoh sesuatu perhimpunan, tempat perhimpunan, kaedah perhimpunan, kelakuan para peserta perhimpunan, atau apa-apa perkara lain yang difikirkan perlu atau sesuai. Dalam erti kata lain, pihak polis akan mempunyai kuasa untuk memutuskan bila, berapa lama, mana, siapa yang mengambil bahagian dan juga isi kandungan sesuatu ceramah. Jelas Rang Undang-Undang ini bukan digubal untuk menggalakkan kebebasan untuk berhimpun, tetapi sebaliknya menjadikan rakyat sebagai boneka polis.

Rekod polis yang memihak kepada BN dan menentang PR tidak menimbulkan keyakinan orang ramai. Perhimpunan ganas oleh BN atau pro-BN dibiarkan tanpa sebarang tindakan manakala perhimpunan aman yang dianggap pro-PR ataupun anti-BN dikenakan tindakan ganas.

Lihatlah. Reaksi polis terhadap perhimpunan aman BERSIH telah dikutuk kuat seluruh dunia. Bandingkanlah dengan perhimpunan ganas oleh UMNO di Komtar dan tengah-tengah Jambatan Pulau Pinang pada 1 Julai 2011 yang dihadiri oleh Senator Ezam Mohd Nor.

Dalam perhimpunan ganas itu, Ezam (gambar kiri) bukan sahaja mahu menggulingkan kerajaan negeri saya tanpa menunggu pilihanraya tetapi para demonstrasi telah menghentikan trafik di tengah Jambatan Pulau Pinang yang menyebabkan kesesakan trafik sepanjang 10km. Lagi teruk dua wartawan yang meliputi demonstrasi dipukul. Sehingga sekarang mereka serta samseng yang pukul wartawan tidak diambil tindakan.

Bolehkah polis dipercayai bertindak adil dan bebas. Sungguhpun hampir setiap minggu ada protes jalanraya di Pulau Pinang oleh mereka yang pro-BN hak demonstrasi secara aman haruslah disokong. Tetapi tindakan keras harus diambil ke atas mereka yang mengganas ataupun mahu mengancam dengan menghantarkan keranda. Mana negeri yang akan membenarkan Mat Rempit pun demonstrasi sampai Mat Rempit pun boleh "di-escort" polis buat demonstrasi menggelarkan saya "rasis" kerana tidak sediakan "racing track" Mat Rempit. Kalau di negeri BN pula, Mat Rempit yang cuba buat demonstrasi akan ditahan polis dengan serta-merta.

Keempat, terdapat larangan mutlak ke atas semua perhimpunan yang diadakan dalam lingkungan 50 meter daripada tempat-tempat larangan yang disenaraikan dalam Jadual Pertama. Tempat-tempat larangan ini termasuk stesyen minyak, hospital, balai bomba, lapangan terbang, landasan keretapi, terminal pengangkutan awam darat, pelabuhan, terusan, limbungan, dermaga, jeti, jambatan, marina, tempat ibadat, tadika dan sekolah. Saya ingin menegaskan di sini bahawa larangan mutlak ke atas tempat-tempat larangan ini tidak boleh ditarik balik dengan apa-apa pemberitahuan, permit atau pengecualian daripada Menteri, dan pelanggaran larangan ini akan mengakibatkan denda RM10,000.

Larangan mutlak ke atas tempat-tempat larangan ini juga bermakna bahawa semua perhimpunan sekolah adalah haram kerana berlaku di dalam tempat larangan. Ini juga bermakna segala perhimpunan atau acara sukan di Stadium Merdeka adalah haram kerana berada dalam lingkungan 50 meter dari SMK Victoria. Ini juga bermakna segala mesyuarat yang berlaku di dalam Badan Peguam Malaysia adalah haram kerana berada dalam linkungan 50 meter daripada sebuah jambatan.

Ini juga bermakna apa-apa perhimpunan yang berlaku di Persiaran Gurney atau Padang Kota di Pulau Pinang, termasuk "Sudut Pidato", adalah haram kerana berada dalam linkungan 50 meter daripada laut antara Pulau Pinang dan Butterworth, iaitu had yang diwartakan sebagai Pelabuhan Pulau Pinang. Ini juga bermakna jika rumah seseorang itu berada di sebelah stesyen minyak, orang itu tidak boleh mengadakan kenduri atau rumah terbuka, melainkan beliau tidak kisah didenda RM20,000.

Hujah kelima saya berkenaan dengan larangan mutlak ke atas protes jalanan. Adakah Kerajaan begitu takut dengan Perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai yang lalu sampai mereka sanggup melakukan apa sahaja untuk menghindari daripada berlakunya perhimpunan sedemikian?

Tidak ada mana-mana negara demokratik dalam dunia ini yang melarang sama sekali protes jalanan. Namun di Malaysia, sesiapa yang mengambil bahagian dalam protes jalanan akan didenda RM10,000. Ataupun kemungkinan ini merupakan salah satu cara untuk mengurangkan hutang Kerajaan yang kian mendadak, kerana jika kesemua 50,000 peserta BERSIH 2.0 dikenakan denda RM10,000, Kerajaan akan mengumpul sebanyak RM500 juta. Tidak cukupkah dengan GST yang ingin diperkenalkan, sampai orang yang hendak berhimpun pun terpaksa dikenakan cukai?

Kenapa Kerajaan begitu gentar dengan rakyat? Adakah Kerajaan ingat bahawa pada tahun 1946, beribu-ribu rakyat Melayu telah mengambil bahagian dalam perhimpunan gergasi di seluruh Malaya untuk menentang gagasan Malayan Union? Jika Rang Undang-Undang ini berkuatkuasa pada tahun 1946, perhimpunan anti-Malayan Union sudah tidak mungkin dapat berlaku dan UMNO tidak mungkin akan dibentukkan. Sememangnya UMNO ini mudah lupa.

Tuan yang dipertua,

DAP dan PR menentang Rang Undang-undang Perhimpunan "Haram" yang akan mengharamkan hak berhimpun, memberikan kuasa mutlak kepada polis yang memihak kepada BN untuk membenarkannya atau tidak dan menghakis lagi hak asasi manusia di Malaysia. Jangan cemarkan imej negara Malaysia dengan meluluskan Rang Undang-undang ini. Rang Undang-Undang ini tidak boleh diselamatkan dengan apa-apa pembetulan atau pindaan, dan harus ditarik balik dengan serta merta dan digubal semula.

Sekian, terima kasih.

*Ucapan Lim Guan Eng (gambar kiri) selaku Setiausaha-Agung DAP dan Ahli Parlimen Bagan semasa Menentang Rang Undang-undang Perhimpunan Aman di Dewan Rakyat.

No comments: