Pemandu teksi pun nak dikenakan BN...


Daing Yahya | Oct 13

Jika boleh diungkapkan, inilah kemungkinan ayat kerajaan Barisan Nasional kepada para pemandu teksi; senada dengan watak Haji Bakhil yang mengherdik budak-budak yang berada di depan laman rumahnya, "Nah! Ambil gula-gula ini, pergi main jauh-jauh".

Perumpamaan dari satu daripada filem legenda P. Ramlee ini mudah difahami semua, setelah kita menghalusi Belanjawan kerajaan BN yang cuba menawarkan sesuatu kepada para pemandu teksi di negara ini.

Insentif yang dicadang untuk diberikan, sebagaimana yang ditawarkan oleh Najib Razak adalah:

  • Pengecualian 100% duti eksais dan cukai jalan ke atas pembelian teksi baru buatan tempatan.
  • Pengecualian bayaran balik duti eksais dan cukai jalan ke atas teksi berusia lebih tujuh tahun yang dijual atau ditukar milik.
  • Memansuhkan cukai jalan ke atas teksi bajet persendirian.
  • Subsidi kadar faedah dua peratus untuk teksi baru buatan tempatan.
  • Pemberian bantuan menggantikan teksi usang (RM3,000 bawah 7 hingga 10 tahun dan RM1,000 lebih 10 tahun)
  • Kerajaan BN mendakwa semua insentif ini memberi manfaat kepada pemandu teksi bajet dengan penjimatan berjumlah RM7,560.

Jadi, apa pula kaitannya ungkapan Haji Bakhil dengan belanjawan BN ini?

Tampi padi untuk dapatkan beras

Pengumuman Najib selaku Menteri Kewangan itu sekadar mengurangkan sakit, seperti menelan pain killer, dan ianya bersifat sementara.

Kos-kos ini bukan sekadar kos berbentuk wang kertas kerana ia juga melibatkan birokrasi yang sangat rigid dalam proses-proses lain juga. Karenah birokrasi juga memakan kos iaitu masa dan tenaga, dan kadang kalanya melibatkan "duit kopi".

Dalam ilmu ekonomi, masa dan tenaga juga akan membawa makna wang, dan dalam bahasa seharian, semua orang tahu apa itu duit kopi.

Bagaimana pula dengan pemandu teksi yang tidak ada pilihan lain dalam hidup kecuali memandu teksi sebagai kerjaya mereka? Memang tiada jaminan bahawa karenah birokrasi untuk mendapatkan kelulusan membawa teksi ini tidak berlanjutan.

Cukai jalan telah pun diketahui bahawa jumlahnya sudah berpatutan dan murah. Ia bukan satu beban utama kepada pemandu teksi. Ibarat kata, seperti menawarkan diskaun kepada orang tua untuk menaiki LRT dan monorel atau jika imaginasi lebih jauh menjalar, menawarkan diskaun untuk rakyat membeli helikopter, mana-mana kerajaan mana pun sanggup berbuat begitu.

Respon pemandu teksi


Tinjauan selepas pengumuman Belanjawan BN mendapati salah seorang dari ribuan pemandu teksi di Lembah Klang telah sempat mengirim SMS, katanya "lepas ni aku tak nak 'kayuh' lagi la, duit sewa cab aku masih sama, bajet NR tak bagi impact sangat kat 'pilot' macam aku ni, penat je kayuh cab orang."

Bagi yang tidak begitu memahami bahasa SMS pemandu teksi…
"kayuh" - memandu/bawa teks
"cab" - teksi
"NR" - Najib Razak
"pilot" - pemandu teksi

Kekecewaan pemandu teksi ini rupanya masih berterusan sekali pun insentif kerajaan BN telah diumumkan. Kebanyakan mereka hanya pemandu, bukan pemilik. Yang memiliki teksi ialah syarikat-syarikat; mungkin yang ada kabel politik dengan parti pemerintah.

Tanda-tanda jika sesuatu pihak itu tidak ikhlas dan tidak jujur adalah kefahamannya dalam sesuatu situasi. Hairan bagaimana kerajaan BN yang dikatakan cukup sumber untuk mengkaji dan mencari penyelesaian terhadap masalah rakyat, telah gagal memahami dan melaksanakan keperluan utama rakyat, dalam hal ini pemandu teksi.

Tawaran Pakatan Rakyat


Bukankah Pakatan Rakyat dalam Belanjawan Alternatifnya dengan tema Kesejahteraan Untuk Semua telah menunjukkan jalan yang mudah dan jelas tentang apa yang diinginkan oleh pemandu teksi - memberi permit penuh kepada pemandu teksi.

Ini bererti PR lebih faham keperluan dan kehendak rakyat, termasuk pemandu teksi. Bagi pemandu teksi, memiliki teksi sendiri adalah serupa seperti seorang petani atau peneroka FELDA mendapat hak milik tanah.

Pemandu teksi tidak mahu membawa kereta yang disewa dari syarikat kerana kos sewaan mahal, malah kerajaan tidak ada banyak kuasa untuk menentukan harga sewaan yang dikenakan syarikat tesebut. Kerajaan BN seolah-olah mahu pemandu teksi makan gaji semata-mata tanpa membenarkan mereka berdikari.

Kerajaan BN yang gah dengan sebegitu ramai penasihat dan perunding, termasuk dari luar negara yang dibayar berpuluh juta ringgit tetapi berpura-pura tidak faham masalah asas dan penting bagi pemandu teksi.

Mengapa permit hak milik teksi ini begitu liat mahu diberikan kepada individu pemandu teksi? Adakah kerana permit-permit ini hanya untuk syarikat yang sudah menjadi kuota kepada ketua-ketua bahagian UMNO?

Adakah kerana permit ini masih telah menjadi satu-satunya aset kaum Bumiputera yang mesti dipegang amanahnya oleh segelintir elit UMNO hingga menafikan hak-hak pemandu teksi Melayu sendiri? Malah pemandu teksi berketurunan Cina, India dan lain-lain juga menggigit jari sahaja.

Sekali lagi, terbukti Belanjawan BN 2012 hanya ingin mengabui mata golongan berpendapatan rendah (baca: Melayu) untuk jangka masa yang amat singkat, sekadar untuk UMNO dan BN menang dalam pilihan raya umum akan datang.

Kalau ada yang masih kurang faham dengan politik UMNO-BN, selain dari tepuk dada tanya selera, luangkan sedikit masa untuk menonton filem klasik yang berwatakkan Haji Bakhil untuk kesekian kalinya. Mungkin ada ilham baru untuk rakyat yang semakin dihimpit tekanan kenaikan kos hidup.

*Tulisan ini dipetik dari Roketkini.com.

No comments: