PAS Berkecuali Dari Menyertai HIMPUN




KUALA LUMPUR 19 OKTOBER : PAS mencapai kata sepakat untuk tidak menyertai Perhimpunan Sejuta Umat (HIMPUN) yang bakal berlangsung Sabtu ini.

Keputusan ini diputuskan dalam mesyuarat biro politik parti Islam itu dalam mesyuarat di ibu pejabatnya di Kuala Lumpur pada Selasa malam.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata keputusan PAS bersikap berkecuali untuk melibatkan diri dalam himpunan tersebut kerana menghormati kehendak penganjur program yang tidak mahu melibatkan mana-mana parti politik.

"PAS memperingatkan pihak yang terlibat bertindak selaras dengan peruntukan undang-undang dalam menjamin keharmonian negara yang berbilang bangsa dan agama,"

Hadi berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sejurus selepas mempengerusikan mesyuarat itu.

Mengulas lanjut pengecualian PAS dari menyertai HIMPUN, Hadi menjelaskan bahawa sebarang usaha untuk menimbulkan polemik perkauman dan agama akan membawa negara kepada satu suasana yang tidak menguntungkan mana-mana pihak.

Perhimpunan Sejuta Umat (HIMPUN) akan di adakan di Stadium Shah Alam pada hari Sabtu, 22hb Oktober ini bermula jam 2 petang hingga 5.30 petang.

Panganjuran HIMPUN adalah satu inisiatif dari pelbagai pertubuhan dan individu Islam sebagai satu wadah untuk menentang apa yang dikatakan percubaan untuk menyebar ajaran Kristian kepada orang Islam.

Penganjur HIMPUN pada Selasa lalu memberi jaminan bahawa HIMPUN tidak mempunyai kaitan politik ataupun akan digunakan bagi menyerang mana-mana kumpulan.

Pengerusi bersama HIMPUN, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, ia tiada kaitan dengan beberapa ahli politik kontroversi seperti Datuk Zulkifli Noordin, Ezam Mohd Noor dan Datuk Ibrahim Ali.

Dalam masa yang sama, katanya, PAS memandang berat usaha mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan untuk kepentingan politik dan pilihan raya.

"Agenda menyelamatkan akidah merupakan agenda murni tetapi ia mesti diurus dengan cara berhemah," kata Hadi.

Beliau juga menegaskan PAS menyokong segala usaha sebegitu tetapi berpendirian bahawa pengukuhan akidah hendaklah dilaksanakan "menerusi jalan dakwah secara damai".

Ia sebagaimana Islam diterima masyarakat rantau ini secara damai, tambahnya.

No comments: