Nik Aziz : Mahad Tahfiz Pulau Pinang Perlu Bantu Selamatkan Islam Dari Polemik Perkauman


PULAU PINANG 31 OKT: Mahad Tafiz di Pulau Pinang disaran memainkan peranan penting supaya tangapan bahawa Islam hanya untuk orang Melayu dapat dibaiki dan diperjelaskan kepada umum terutama orang bukan Islam.

Perkara ini dinyatakan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada majlis perasmian Ijtimak Al- Huffaz anjuran Kerajaan Negeri Pulau Pinang di sini.

Beliau yang juga Mursyidul Am PAS turut meminta Mahad Tahfiz supaya meningkatkan penglibatan golongan mualaf bagi menunjukan Islam itu agama semua bangsa.

Langkah ini juga katanya akan menangkis tanggapan bahawa orang Melayu itu sahaja yang Islam sedangkan dunia intelektual Islam penuh dengan ilmuan yang bukan dari negara Arab dan ini telah memperhebatkan penyebaran mesej Islam kepada orang bukan Islam.

Dalam konteks Malaysia, peningkatan hafiz dan ilmuan dari komuniti bukan Melayu boleh memperbetulkan imej Islam yang tercalar
akibat sentimen kaum yang diapi-apikan kumpulan pro-Ketuanan Melayu.

"Sesungguhnya tidak ada kelebihan sesuatu bangsa ke atas bangsa lain kecuali mereka bertaqwa kepada Allah.," katanya.

Turut hadir Menteri Besar Pulau Pinang Lim Guan Eng.

Dalam ucapannya, Lim berkata pentadbirannya akan terus menganjurkan program-program keagamaan walaupun seringkali dilabelkan anti-Islam dan anti-bukan Islam oleh parti komponen Barisan Nasional.

"Tapi pada masa yang sama saya dilabel anti-Islam. Parti lawan yang lain pula melabelkan saya anti-bukan Islam kerana menambah peruntukan kepada hal ehwal Islam.

"Sebelum ini saya rasa semua tahun ada tuduhan yang perarakan Maulud Nabi dibatalkan. Tetapi semua tahu pada setiap tahun perarakan Maulud Nabi tetap dijalankan dengan keadaan yang lebih meriah lagi.

"Ada yang mengatakan bazar Ramadan di Komtar diharamkan sungguhpun ia tetap berjalan seperti biasa. Kita dalam kerajaan negeri akan menghadapi semua fitnah ini dengan tabah dan sabar,"katanya.


No comments: