MB Selangor: Azmin Sokong Khalid




KUALA LUMPUR 11 OKT : Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali menyokong Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor.

Azmin yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri Selangor berkata walaupun ada setengah anggota parti yang berpandangan Abdul Khalid patut ditukar tetapi beliau terus mendapat sokongan dari Majlis Pimpinan Pusat.

Jelas Azmin, tidak pernah timbul desakan daripada Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail mahupun Penasihat Ekonomi Negeri Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Soal pandangan yang diberikan oleh anggota parti harus kita raikan, tetapi kita telah bincang dan muafakat bahawa Tan Sri Khalid akan meneruskan tugasnya sebagai Menteri Besar," kata Azmin kepada media di lobi parlimen.

Ahli Parlimen Gombak itu juga berkata Pakatan Rakyat juga secara sebulat suara menyokong peranan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar yang telah meletakkan asas yang kuat di negeri Selangor.

Katanya polisi-polisi yang dilaksanakan Abdul Khalid semenjak mengambil alih pentadbiran dari kerajaan Barisan Nasional (BN) diterima baik oleh rakyat secara keseluruhan.

"Ini isu lama sebab itu saya kata tidak timbul lagi sekarang. Kita mahu maju ke depan dan perkara ini mungkin dibangkitkan kerana pilihan raya semakin hampir.

"Tetapi bagi kita dalam PKR, ini bukan isu dan kita telah membuat keputusan dan mempertahankan Tan Sri Khalid sebagai Menteri Besar," tambah Azmin.

Sebuah portal berita semalam melaporkan bahawa wujud sekumpulan wakil rakyat PKR mendesak Anwar agar memecat Khalid atas alasan prestasi yang merudum di Selangor berbanding Pulau Pinang.

Anwar yang ditemui semalam berkata, Abdul Khalid akan kekal sebagai Menteri Besar Selangor dan tiada cadangan dari Pakatan Rakyat untuk menggantikan tempatnya.

Sementara itu Abdul Khalid dalam responnya semalam menyatakan perkara tersebut tidak akan mengganggu-gugat tugas beliau untuk menguruskan negeri Selangor dengan lebih baik.

No comments: