Bob Lokman: JAIS Perlu Lebih Terbuka



SHAH ALAM 11 OKT - Berikutan penahanan artis popular Bob Lokman oleh Jabatan Agama Islam Selangor(JAIS) ketika memberi tazkirah di sebuah surau di Hulu Langat mengundang reaksi pelbagai pihak.

Antaranya Ketua Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abdul Rani Osman yang mengesa JAIS agar lebih bersikap terbuka dalam menjalankan tugasnya sebagai institusi yang memperkasakan Islam di negeri ini.

Dr Rani menjelaskan pihaknya tidak mempertikaikan tindakan JAIS menghalang penceramah yang tidak bertauliah, tetapi usaha ini dikhuatiri mengekang proses pembelajaran agama di negeri ini.


"Kes-kes seperti ini JAIS sepatutnya terlebih dahulu dengar ceramah tersebut, sekirannya orang itu berceramah tidak betul, tegur golongan itu.

"Saya sendiri sebagai Pesuruhjaya PAS tidak setuju dengan ceramah berunsur politik kepartian di dalam masjid mahupun surau, tetapi sekirannya ceramah itu bersifat politik Islam ia tidak menjadi masalah.

"Siapa yang menyatakan politik berasingan daripada Islam, maka golongan itu perlu mengucap kembali," katanya.

Bob Lokman dipercayai ditahan atas alasan menyampaikan ceramah agama tanpa tauliah dan dibawa ke balai polis berdekatan.

Penulis lirik lagu Isabella itu difahamkan mencerita pengalamannya sewaktu bergelumang dengan kegiatan seni kepada hadirin surau itu malam tadi.

Dr Rani yang juga ADUN Meru berpendapat tindakan JAIS menggunakan alasan tiada tauliah sebagai menghalang sesorang dari berceramah dilihat kurang tepat.

"Sekirannya benar Bob Lokman bercakap benda yang tidak betul, beritahu, jangan terus tangkap, kalau benar Bob Lokman salah dakwanya di mahkamah, soal tahan seseorang dengan alasan tanpa tauliah, itu tidak berapa tepat,"jelasnya.

Usaha TVSelangor bagi menghubungi JAIS untuk mendapatkan reaksi mereka masih belum berhasil.

Sebelum ini, Pengarah JAIS, Tuan Haji Marzuki Hussin berkata pihaknya tidak membenarkan mana-mana ahli politik dari mana-mana parti untuk berceramah dan berpolitik di masjid sejajar dengan titah Sultan Selangor yang tidak mahu masjid menjadi gelanggang politik.

Marzuki menjelaskan sekiranya ahli politik dipanggil untuk mana-mana upacara mahupun perasmian yang bertempat di masjid dan surau haruslah dibuat dipekarangan premis tanpa ucapan berunsur politik dan lambang parti.

"Kita telah mengeluarkan surat edaran dan peraturan masjid, ianya hanya dibenarkan diluar pekarangan masjid tanpa sebarang lambang mana-mana parti politi, banner mahupun risalah politik dan ucapannya bebas dari unsur politik," jelas Marzuki.

Susulan daripada itu, pihak JAIS tidak akan memperbaharui tauliah kepada mana-mana ahli politik yang sebelum ini memiliki sijil tersebut daripada pihaknya.

No comments: