Konsensus Pakatan Dalam Isu Hudud Rabu Depan




PETALING JAYA 25 SEPT : Pakatan Rakyat akan membincangkan isu hudud dalam mesyuarat bulanan mereka Rabu depan kata Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut beliau berbeza dengan Barisan Nasional, Pakatan bergerak menerusi persetujuan bersama semua komponennya dalam isu yang melibatkan kepentingan awam.

"Kontroversi diperbesarkan di media daripada (keadaan) sebenarnya kerana (ia) bukan isu baru. Sebagai Muslim saya menyarankan sesiapa tolak hukum Islam kalau pemimpin Umno nak buat, itu hak mereka. Tetapi mesti ada muafakat dalam Pakatan Rakyat, mesti ada perbincangan dalam perjanjian ikut perlembagaan. Itu akan dibincangkan Rabu ini.

"Kita dengar kebimbangan dia (Karpal), tapi bagi saya ini bukan perkara baru. Kita sedia bincang. Ini prinsip Pakatan Rakyat. Kita bukan Umno. Mengarahkan. Kita mesti ada konsensus,"katanya ketika ditemui pada rumah terbuka Aidilfitri Parti Keadilan Rakyat, di sini, hari ini.

Isu hudud disensasikan media aliran utama yang mendakwa hubungan Pakatan Rakyat semakin retak disebabkan isu ini.

Hari ini muka depan surat khabar Mingguan Malaysia dengan jelas melaporkan kenyataan Pengerusi DAP Karpal Singh membidas Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkenaaan isu ini.

Khamis lalu, Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS berkata beliau lebih rela jika DAP mahu keluar daripada Pakatan Rakyat jika tidak bersetuju dengan pendiriannya mahu menegakkan hukum hudud dan menubuhkan negara Islam.

Karpal yang juga ahli parlimen Bukit Gelugor berkata, kelewatan menangani isu semasa ini akan menjejaskan keyakinan rakyat ke atas Pakatan Rakyat khususnya di kalangan bukan Islam.

Bagaimanapun, menurut Anwar, persoalan mengenai hudud ini adalah cubaan untuk mengalihkan rakyat dari isu yang membelenggu kerajaan Barisan Nasional.

Beliau menyatakan isu ini adalah isu yang berlarutan dan boleh dibincangkan dalam kerangka berbeza di peringkat Persekutuan dan Kelantan.

Malah, Umno turut dikecam MCA dan Gerakan berkenaan isu ini.

"Dalam konteks Persekutuan, kita akan dikekang rangka perlembagaan. Dan (perbincangan) dapat lihat bagaimana PAS artikulasikan visi mereka dan untuk DAP untuk suarakan pendapat mereka. Itu semangat yang kita perlukan. Saya tak fikir apa-apa akan berlaku dengan cepat tapi media digunakan untuk sorok isu korupsi, pembunuhan, salah guna kuasa. Isu ini digunakan dan MCA, ambil kesempatan masuk, apa yang baru dalam hal ini?," soal beliau.

Kelmarin, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek serta pemimpin-pemimpin parti berkenaan sepatutnya sudah mengetahui pendirian Umno berhubung hukum hudud dan ia tidak perlu dijadikan isu.

Muhyiddin berkata, pendirian Umno adalah sama seperti dahulu dan perkara itu sepatutnya tidak berbangkit di kalangan parti komponen Barisan Nasional (BN) kerana ia berbeza dengan PAS.

No comments: