Keadilan Mahu Rundingan Projek NCO Dihentikan Segera

KUALA LUMPUR 8 SEPT : Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini mendesak Kementerian Pertahanan dan Kewangan untuk menghentikan segera rundingan dengan Sapura Secured Technologies Sdn Bhd sehingga inkuiri penuh diadakan.

Menurut ahli parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar, Sapura yang diberikan kepercayaan untuk mengendalikan projek Network Centric Operations (NCO) untuk Angkatan Tentara Malaysia (ATM) itu memerlukan kajian yang menyeluruh sama ada sistem itu benar-benar diperlukan oleh agensi itu atau sebaliknya.

"Hingga saat ini, Keadilan difahamkan projek NCO ini masih belum mempunyai pelan tindakan yang memuatkan program ini dalam kerangka pertahanan negara di masa hadapan.

"Jadi kita mempersoalkan apakah keberkesanan program sebegini jika hala tuju tidak ditetapkan dari mula?," katanya dalam satu sidang media yang diadakan khas di perkarangan Mindef hari ini.

Malah Izzah juga turut melahirkan kekhuatirannya sekiranya projek yang dianggarkan menelan belanja RM 2 bilion ringgit ini turut mengalami lonjakan kos pada masa hadapan.

"Adakah ketiadaan pelan tindakan ini bermakna perbelanjaan projek akan melambung tinggi tanpa had, dan pihak mana yang bakal mengambil peluang keuntungan atas ketiadaan hala tuju mahupun perbelanjaan buat NCO ini?," soalnya tegas.

Program NCO adalah sebuah projek untuk mengintegrasikan semua aplikasi sistem, pengesanan, sistem arah dan kawal serta persenjataan untuk ATM.

Keadilan sebelum ini difahamkan bahawa pihak ATM telah pun memiliki sistem yang hampir sama, yang dimajukan beberapa tahun yang lalu.

Apatah lagi, projek ini telah mendapat kritikan menyeluruh daripada anggota ATM sendiri, namun keprihatinan mereka tidak diendahkan oleh semua yang mengarahkan projek ini untuk diteruskan.

Apa yang lebih membimbangkan,difahamkan bahawa projek ini sedang dirundingkan secara terus demi kepentingan Sapura.

Difahamkan juga, Sapura tidak memiliki kebolehan teknikal untuk melaksanakan projek ini.

Dalam pada itu, naib presiden PKR, Tian Chua turut menggesa agar projek NCO ini dihentikan.

Beliau berkata projek ini seharusnya melalui satu proses yang rapi melalui pemeriksaan tata kelola atau urus tadbir yang telus.
Berita lanjut menyusul.................

No comments: