Monday, June 20, 2011

Pak Samad : Sejarah Buktikan Demonstrasi Jalanan Capai Matlamat


KUALA LUMPUR 20 JUN : Hasrat merealisasikan demokrasi tulen di negara ini boleh dijayakan melaluinya turunnya rakyat ke demonstrasi-demonstrasi jalanan, kata Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said.

Menurut beliau, sejarah membuktikan betapa perubahan boleh dicapai apabila rakyat turun secara beramai-ramai untuk meluahkan rasa tidak puas hati mereka mengenai polisi yang dibawa oleh sesebuah kerajaan.

"Itu orang kata, (tapi) mana-mana demonstrasi pun, mesti turun ke jalan raya. Takkan nak duduk dalam dewan saja kan? Ini fenomena dunia dan saya fikir kalau tak di jalan raya takkan berhasil," kata beliau kepada TV Selangor selepas Majlis Pelancaran Bersih 2.0 di Dewan Himpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pendapat bahawa demonstrasi jalanan bukan merupakan budaya demokrasi di negara ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammudin Tun Hussein sebelum ini mencadangkan agar Bersih 2.0 melakukan himpunan di stadium atau tempat tertutup lain.

Bagaimanapun Datuk A. Samad Said atau lebih dikenali dengan panggilan Pak Samad menyatakan, hal itu tidak tepat dan bersesuaian dengan agenda tuntutan perubahan mereka.

Malah ketika memberi ucapan ringkas perasmian Bersih 2.0, beliau menyampaikan sepotong Ucapan dari bekas gabenor Massachusetts yang membawa kepada kemerdekaan Amerika dari jajahan kolonial British.

"200 tahun lalu, tokoh Amerika Samuel Adams dan kelompok kecil telah menumpahkan teh di pelabuhan Boston. Samuel berkata, ia tidak memerlukan majoriti untuk berjaya, tetapi minoriti yang bekerja terus dan tanpa penat untuk menyalakan unggun semangat.

"Kita nyalakan unggun api itu malam ini," tegas beliau disambut dengan laungan semangat para hadirin.

Bersih bersama Pakatan Rakyat dan aktivis pelbagai NGO bersedia menggerakan Himpunan Bersih 2.0 menuntut pilihan raya adil dan bebas sebagai kesinambungan himpunan yang kali pertama diadakan pada November 2007, pada 9 Julai hadapan.

Lapan tuntutan Bersih adalah agar SPR membersihkan senarai undi, mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, akses media yang bebas dan adil, tempoh kempen minimum 21 hari, diperkukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.

Justeru menurut beliau, permintaan rakyat untuk lapan tuntutan Bersih seharusnya dihormati oleh pihak berwajib.

"Saya fikir dalam demokrasi mesti ada benda yang tak lengkap, mesti dilengkapkan. Jadi saya fikir lapan tuntutan ini waraslah dan wajar dilaksanakan." ujar beliau.

No comments:

Blog Archive

My Blog List

Followers