Majlis Perkahwinan ADUN Teja jadikan Melayu sebagai balaci?HAMIDAH OSMAN

Melayu pun banyak pakai macam orang putih dah,,,apa yang hang dok melalut ni Hamidah>>>???

Ia mungkin di luar dugaan ADUN Teja, Chang Lih Kang ketika merancang untuk menjalankan majlis perkahwinannya mengikut dua adat tradisional, iaitu Cina dan Melayu. Gambar pemimpin muda PKR bersama isterinya dalam pakaian tradisional Melayu, disambut dengan paluan kompang - dikritik "menjadikan Melayu sebagai balaci".

Kritikan ini dimuatkan di blog Sungai Rapat Online, dengan tulisan:-

"Sejak perjuangan Islam telah digugurkan oleh parti PAS kerana menyahut seruan Karpal Singh umat Islam tidak langsung terkejut jika perkara sebegini dan lebih teruk dari ini akan berlaku dalam masyarakat Islam hari ini. Orang Melayu khasnya dijadikan balaci kekal bagi melaksanakan apa sahaja arahan yang diarahkan oleh DAP atau PKR. Begitulah yang berlaku di rumah Anak yatim berdekatan Gopeng apabila Chang Lih Kang dan pasangan kafirnya berjaya menjadikan anak yatim darul Hikmah sebagai taruhan. Pengerusi Darul Hikmah adalah penganut PAS.

Dua Melayu yang memainkan peranan dalam perkara ini adalah Ostat Jamal (PAS) dan Cikgu Hamdan (PKR).

Ini kelebihan ADUN PR, yang berjaya menjadikan orang Melayu sebagai balacinya bagaimana pula apabila mereka memerintah."

Demikianlah ulasan terhadap majlis perkahwinan Chang Lih Kang, pada blog Sungai Rapat Online, kawasan DUN Hamidah Osman (gambar kanan). Bagaimanapun, EXCO kerajaan negeri Perak yang pernah mencungkil pertikaian dengan kenyataan "jumpa ular dan orang India, pukul orang India?" ini menafikan bahawa blog ini milikannya.

Hamidah ketika dihubungi MerdekaReview pada jam 7.40 semalam, menafikan bahawa dirinya adalah pengendali blog tersebut, sebaliknya mendakwa bahawa blog itu dikendalikan penyokongnya. Beliau meminta agar wartawan menghubungi pengendali blog tersebut, tetapi menamatkan panggilan apabila wartawan bertanyakan nombor telefon pengendali itu.

Sebelum ini, Hamidah Osman didapati memuatkan gambar majlis perkahwinan Chang Lih Kang ke twitternya, dengan ulasan "demi undi, rakyat jangan dipedaya".

Chang Lih Kang: Hamidah rasis

Sementara itu, Chang Lih Kang ketika dihubungi MerdekaReview menjelaskan bahawa beliau mempunyai ramai kawan keturunan Melayu, dan beliau ingin berkongsi kegembiraannya bersama kawannya. Maka beliau mengadakan majlis perkahwinannya mengikut adat tradisional Melayu di sebuah rumah anak yatim dalam kampung Melayu.

Beliau menambah, adat tradisional Melayu hanya salah satu daripada pelbagai adat yang sedia ada, malah pemimpin Barisan Nasional pernah memuji apabila orang asing menjalankan majlis perkahwinan mengikut adat Melayu. Malah, pada tahun 2007, satu jawatankuasa kampung di Pulau Pinang yang mengadakan majlis perkahwinan adat Melayu untuk orang asing mendapat sokongan daripada jabatan pelancongan.

Chang Lih Kang (gambar kiri) menganggap kenyataan Hamidah adalah cetek, untuk menyerang musuh politik semata-mata dengan satu majlis perkahwinan yang biasa. Malah, kenyataan sedemikian memperlihatkan Hamidah seorang yang rasis, katanya.

"Beliau menyifatkan Melayu yang membantu saya untuk menjayakan majlis ini sebagai balaci, ini adalah kenyataan yang menghasut sentimen bermusuhan terhadap kaum lain. Kenyataan yang rendah darjatnya ini tidak harus keluar dari mulut seorang EXCO kanan," kata Chang Lih Kang.

Bagaimanapun, Chang Lih Kang berkata mereka yang mempunyai minda ini hanya terbatas kepada pimpinan atasan UMNO, ramai kawan Melayunya tidak berpandangan sedemikian.

Kira-kira seribu orang tetamu Melayu hadir ke Majlis Perkahwinan Chang Lih Kang pada 12 Jun 2011, di rumah anak yatim Darul Hikmah Kampung Pintu Padang Gopeng. Pasangan Chang Lih Kang telah menderma RM1000 kepada rumah anak yatim tersebut.

No comments: